04 October, 2009

Pemimpin Sekolah Pengamal Iklim Dan Budaya Sekolah Cemerlang

Pengenalan

Dunia pendidikan hari ini sangat memerlukan seorang pemimpin yang berkualiti di sesebuah sekolah. Ia sesuai dengan hasrat dan agenda kerajaan untuk melahirkan pendidikan bertaraf dunia. Ini selaras dengan Misi Nasional yang memberi penekanan yang tinggi ke atas pembangunan modal insan ”Minda Kelas Pertama” sebagai pendekatan yang utama bagi melonjakkan status negara maju pada tahun 2020. Justeru, iklim dan budaya sekolah dilihat sebagai dua unsur yang penting bagi memacu kecemerlangan sekolah. Dua unsur ini merujuk kepada sejumlah nilai, budaya, hal-hal keselamatan dan keselesaan serta struktur organisasi di sekolah yang mampu memberi impak terhadap proses pembentukan tingkah laku, kemenjadian murid dan keselamatan, keseronokan serta kebajikan pelajar di sekolah. Walaupun dua unsur ini dikatakan sebagai saling berkaitan namun ia membawa konsep yang berbeza. Iklim sekolah adalah merujuk kepada kesan persekitaran sekolah terhadap pelajar. Manakala budaya sekolah pula merujuk kepada cara dan gaya guru dan kakitangan bekerja dalam satu pasukan.

Definisi

Iklim Sekolah didefinisikan sebagai keadaan atau suasana sekolah yang tenang dan nyaman, sesuai untuk proses pengajaran dan pembelajaran dianggap sebagai mempunyai iklim sekolah yang berkesan. Halpin dan Croft (dlm. Ahmad Zabidi, 2006) mengatakan bahawa iklim sekolah menggambarkan personaliti seseorang individu sendiri dan bagaimana guru tersebut berusaha untuk mencapai tahap organisasi iklim sekolah berkenaan. Howard (dlm. Ahmad Zabidi, 2006) pula menyebut iklim sekolah sebagai keadaan sosial dan budaya sekolah itu yang mempengaruhi tingkah laku orang di dalamnya. Pusat Perkembangan Kurikulum (dlm. Ahmad Zabidi, 2006) telah mendefinisikan iklim sekolah sebagai suasana sekolah yang baik, keadaan persekitarannya dirasakan selesa, tenteram, mesra, riang dengan pembelajaran yang lancar. Mengikut Moss (dlm. Ahmad Zabidi, 2006), beliau mendefinisikan Iklim Sekolah sebagai suatu sistem sosial yang membentuk persekitaran pembelajaran. Fenomena ini berlaku adalah kerana pelajar dari pelbagai latar dan pengalaman yang berbeza berada di dalam satu kumpulan di mana tingkah lakunya banyak bergantung cara pengurusan dan pentadbiran pihak sekolah terutama daripada pentadbir, guru dan kakitangan sekolah berkenaan.

Lantas, iklim sekolah dikatakan sebagai sifat dan suasana yang terdapat di sekolah dan ini berbeza antara satu sekolah dengan sekolah yang lain. Ia merupakan hasil daripada interaksi sesama warga sekolah berkenaan dalam semua aspek yang turut mempengaruhi perkembangan psikomotor dan kognitif pelajar-pelajarnya. Umumnya, iklim sekolah merupakan gambaran pengurusan dan pentadbiran sekolah yang teratur, terkawal, tenang dan dapat menyediakan situasi yang kondusif untuk bekerja dan proses pengajaran pembelajaran.

Perkara ke dua yang hendak dibincangkan adalah budaya sekolah. Budaya sekolah dikatakan sebahagian daripada budaya masyarakat kerana sekolah itu lahir daripada keperluan masyarakat. Semua pelajar sekolah didedahkan kepada norma, nilai, simbol dan bahasa yang akan mencorak masa depan mereka. Budaya sekolah bermaksud budaya yang dihasilkan oleh sebahagian pelajar dan warga sekolah yang lain supaya aktiviti pelajar dapat dikawal. Pendidikan nilai sangat diutamakan.Pembudayaan di sekolah dilaksanakan menerusi kurikulum formal dan kurikulum tidak formal.

Budaya yang formal adalah unsur yang dirancang seperti aktiviti kurikulum dan aktiviti kokurikulum. Pelajar yang berprestasi baik atau pandai akan mendapat ganjaran berupa sanjungan daripada guru dan sekolah. Manakala pelajar yang lemah atau kurang cerdik akan tersisih. Sekiranya situasi ini berlaku, pelajar yang lemah sangat berpotensi akan melakukan gejala-gejala yang kurang sihat dan negatif supaya dapat menarik perhatian pihak-pihak tertentu ataupun untuk melepaskan keinginan apa yang tersimpan di hati. Pelajar-pelajar ini bebas untuk memilih budaya-budaya yang dianjurkan oleh rakan sebaya, media massa atau keluarga mereka sendiri sama ada di dalam atau di luar sekolah. Jika mereka memilih budaya yang negative, pastinya akan mewujudkan masalah sosial.

Di sekolah, pembentukan tingkahlaku pelajar dipengaruhi oleh norma, pemikiran dan nilai-nilai yang sedia ada. Antaranya adalah seperti budaya hormat-menghormati dan budaya membaca. Setiap budaya yang cuba diamalkan itu akan diselitkan dengan aktiviti-aktivit sebagai pengukuhan dan penghayatan budaya tersebut. Umpamanya dalam budaya hormat-menghormati, setiap warga digalakkan bertegur sapa atau member salam walau di mana bertemu. Manakala dalam budaya membaca, projek NILAM diperkenalkan iaitu setiap pelajar dikehendaki mencatat laporan atau secara ringkas buku yang telah mereka baca.

Prosser (dlm. Yahya Don et al. 2007) menjelaskan istilah budaya sekolah digunakan oleh penyelidik-penyelidik penambahbaikan sekolah dan ahli-ahli sosiologi manakala istilah iklim sekolah digunakan oleh penyelidik-penyelidik sekolah berkesan. Manakala Hobby (dlm. Yahya Don et al. 2007) pula mendefinisikan budaya sebagai kepercayaan-kepercayaan dan nilai-nilai sekolah dikongsi bersama, Apa yang dipersetujui betul dan benar. Budaya dipindahkan dan diperkuatkan dengan komunikasi tidak rasmi dan kurang sedar. Budaya sekolah penting bagi mengubah dan menambahbaik sekolah. Tanpa memperdulikan aspek budaya sekolah segala inisiatif seperti memfokus strategi pengajaran, pembangunan kepimpinan, struktur, pasukan kerja ataupun kerjasama menjadi sia-sia.

Justeru, setiap warga sekolah akan bergerak bersama-sama dalam satu budaya yang diterima oleh kebanyakan ahlinya yang lain. Ini jelas menunjukkan bahawa budaya di sesebuah sekolah boleh mengeratkan hubungan sesama ahlinya.

Ciri-Ciri Pengetua Sebagai Pengamal Budaya Sekolah Cemerlang

Pengetua adalah individu yang bertanggungjawab menjadi sekolah berfungsi sepenuhnya sebagai organisasi penyampaian ilmu kepada pelajarnya. Prasyarat sebagai pemimpin pengajaran dan sebagai pengamal budaya untuk sekolah cemerlang perlu memahami Falsafah Pendidikan Kebangsaan, menjalankan strategi bersepadu dan dapat menterjemahkannya melalui pelaksanaan kurikulum peringkat sekolah. Ini adalah kerana sekolah yang berbudaya cemerlang adalah sekolah yang mencapai tahap terbaik, bermutu dan terunggul dalam segala aspek terutama dalam kurikulum, kokurikulum, pengurusan, perhubungan luar dan sahsiah pelajar. Dalam hal ini, sebagai seorang pemimpin atau pengetua di sebuah sekolah, saya perlu mengamalkan perkara-perkara berikut untuk menjadikan sekolah saya adalah sekolah yang berbudaya cemerlang.

1. Menguasai kemahiran teknikal.

Ini adalah penguasaan asas yang sepatutnya ada pada diri pengetua yang melibatkan penguasan ilmu, teori teknikal, kaedah, proses, prosedur, pedadogi, pengurusan kewangan, tindakan tatatertib, penyelenggaraan bangunan dan sistem jadual waktu untuk pengajaran pembelajaran. Saya harus dapat menumpukan teknik pengurusan yang cekap dan mahir untuk memanipulasikan strategi dan keadaan demi keberkesanan dan kecemerlangan yang maksimum.

2. Menguasai kemahiran kemanusiaan iaitu harus dapat berinteraksi dan berhubung dengan semua manusia di sekolah yang terdiri daripada pelajar, guru, kakitangan sokongan dan yang bukan di sekolah seperti ibu bapa, komuniti, pegawai-pegawai atasan di jabatan malah sesiapa sahaja yang berkepentingan. Saya perlu berkomunikasi dan berinteraksi sama ada secara perseorangan ataupun dalam kumpulan. Saya mesti mengambil berat tentang keperluan guru, pelajar, maklumat pencapaian akademik dan keperluan kakitangan serta ibu bapa pelajar. Ini juga termasuk membina dan mengekalkan moral yang tinggi dikalangan staf serta menggalakkan inovasi dan kreativiti staf.

3. Menguasai kemahiran konseptual.

Saya harus dapat dan berkebolehan untuk meneliti, menganalisis, mentafsir dan membuat ramalan sesuatu situasi. Dengan adanya kebolehan ini saya dapat menyediakan pelan strategik bagi mengatasi sebarang kemungkinan dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

4. Sebagi pemimpin pendidikan. Dalam hal ini saya harus berperanan sebagai penyumbang kepakaran dan berkemahiran dalam bidang yang khusus iaitu pendidikan dan persekolahan. Kemahiran-kemahiran itu merangkumi bidang kurikulum, mendiagnosis keperluan pelajar, guru dan staf, penilaian dan penyeliaan yang berkesan dan bermutu.

5. Sebagai sumber informasi

Sebelum menyampaikan maklumat kepada sesiapa, saya harus menganalisis maklumat yang benar atau sebaliknya. Maklumat-maklumat yang diterima perlu dislurkan kepada pihak yang sepatutnya atau kumpulan sasaran. Dalam masa yang sama saya mempastikan bahawa maklumat yang diterima mencukupi supaya pelaksaan kerja berjalan dengan lancar.

6. Sebagai pembuat keputusan secara partisipatif.

Saya harus mengamalkan pemantauan berkumpulan. Perjumpaan atau mesyuarat perlu diadakan dengan melibatkan subordinat untuk membuat keputusan, mengeratkan kerjasama dan kolaboratif dan berusaha menyelesaikan masalah.

7. Sebagai Penyelaras

Saya harus dapat menyelaras susun atur atau memantau semua aktiviti yang dijalankan di sekolah seperti sebagai pemimpin pengajaran dan pemantau proses atau perkembangan pelajar di dalam bilik darjah. Pelajar-pelajar yang lemah harus dibantu supaya kumpulan ini tidak ketinggalan. Begitu juga dengan aktiviti kokurikulum. Ia harus dipantau untuk mempastikan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan tercapai bagi melahirkan insan yang seimbang. Dalam hal ini saya akan ’turun padang’ untuk memperlihatkan penglibatan saya malah guru-guru dan pelajar akan terasa akan ’kehadiran’ saya walaupun sekali sekala tugas itu dilepaskan terus kepada Penolong Kanan Kokurikulum.

8. Sebagai ibu bapa kepada semua guru, kakitangan dan pelajar.

Saya harus dapat menunjukkan perlakuan-perlakuan yang mesra dan menyenangkan semua warga sekolah, memberikan sokongan dan galakan, pengiktirafan serta panduan selain bimbingan dan maklumbalas. Saya juga harus mengambil tahu amalan pengajaran pembelajaran oleh setiap guru di dalam kelas, memantau atau menyelia proses pengajaran pembelajaran di dalam kelas, membimbing dan memberi tunjuk ajar kepada guru dari segi perkaedahan, amalan dan penilaian serta berbincang bersama guru atau kakitangan untuk penambahbaikan perkhidmatan. Peranan ini juga diumpamakan sebagai penghulu kerana pengetua akan memberi isyarat akan kepentingan sesuatu perkara yang hendak dicapai itu. Saya akan melawat ke kelas-kelas dan persekitaran sekolah, mengetuai upacara-upacara rasmi di sekolah sekaligus akan dapat mengenali setiap pelajar saya dengan lebih dekat lagi.

9. Sebagai pengurus hal ehwal pelajar iaitu mengendalikan sumber manusia dan fizikal berkaitan dengan pelajar di sekolah. Beberapa peraturan boleh dijadikan panduan tetapi pelaksanaannya bukanlah suatu kerja yang mudah. Oleh itu, tugas ini perlu dilakukan dengan berhati-hati seperti menarik tali di dalam tepung. Penguatkuasaan peraturan bukanlah jaminan kepada penyelesian sesuatu masalah tetapi menuntut kemahiran yang tinggi sebagai penyelesai masalah agar keputusan yang diambil tidak menyenangkan semua pihak.

10. Sebagai pemimpin budaya. Peranan ini sangat penting untuk mencapai tahap kecemerlangan sekolah. Ia dilakukan dengan menjalankan pelbagai usaha dengan memperkukuhkan nilai-nilai yang telah dirancang melalui aktiviti-aktiviti sosialisasi seperti Hari Penyampaian Hadiah, Hari Keluarga, Hari Persatuan Ibu Bapa dan Guru atau mengadakan majlis untuk memberi penghargaan kepada sesuatu pencapaian atau kejayaan. Kepimpinan pengetua dalam situasi ini dapat menggambarkan usaha untuk meningkatkan prejtij dan imej sekolah kerana aktiviti sebegini akan melibatkan ramai pihak seperti guru, kakitangan sokongan, pelajar, ibu bapa malah tidak mustahil pegawai-pegawai atasan di jabatan ataupun orang politik.

11. Mempastikan semua urusan sekolah berjalan lancar (Azlin Norhaini Mansor, Roselan Baki, 2007). Sebagai pengetua yang mahukan kecemerlangan iklim dan budaya di sekolah, saya harus dapat mempastikan semua urusan di sekolah sedang dan akan berjalan dengan lancar dan berkesan. Dalam hal ini saya bertanggungjawab menjadi role model dalam menjalankan tugas. Saya akan melakukan kerja-kerja secara bekerjasama dengan semua pihak di sekolah tanpa mengira jantina, status atau jawatan seseorang guru, kakitangan atau pelajar saya.

Kecemerlangan Sekolah

Kecemerlangan bolehlah dianggapkan sebagai suatu kejayaan yang bermutu. Justeru, di peringkat sekolah kecemerlangan bermakna kejayaan yang bermutu yang dicapai oleh sesebuah sekolah. Namun ia bukanlah kecemerlangan dari aspek akademik sahaja. Ia adalah kejayaan dalam pelbagai sudut. Dalam hal ini, Astin (dlm. Hussein Mahmood, 2008) menjelaskan konsep kecemerlangan itu harus mencakupi perkembangan intelektual dan kendiri para pelajar serta kerelevanan sajian kurikulum itu dengan keperluan pelajar. Merujuk kepada kenyataan itu, sebagai pengetua yang mahu mengamalkan budaya sekolah yang cemerlang, saya harus mempastikan berlakunya situasi penyuburan kreativiti dan perkembangan bakat, kebolehan berfiir setiap pelajar, malah pendidikan yang diterima oleh pelajar mampu memberi pendidikan atau kemahiran yang diperlukan oleh pelajar. Ini adalah kerana dalam pendidikan konsep relevan bermaksud semua pelajar adalah aktif dan semua pelajar boleh diajar.

Dalam masa yang sama juga saya harus mempastikan tidak berlaku keciciran pelajar di sekolah saya. Ini adalah kerana konsep kecemerlangan juga membawa makna tiada pelajar yang gagal, berhenti sekolah atau takut untuk pergi ke sekolah. Malah tidak berlaku juga deskriminasi pelajaran di kalangan pelajar kerana kecemerlangan budaya di sekolah juga mengaitkan ciri-ciri keadilan dan layanan yang saksama daripada pihak sekolah dan guru.

Kepimpinan Dan Pembentukan Iklim Dan Budaya Cemerlang

Seperti yang telah dijelaskan, iklim dan budaya kerja yang cemerlang adalah dua elemen atau suasana yang perlu ada di sesebuah sekolah. Sebagai pemimpin sekolah, saya harus bertanggungjawab dapat membentuk sejumlah nilai, budaya, unsur-unsur keselamatan, iklim dan struktur organisasi di sekolah kerana ia mempengaruhi perkembangan tingkahlaku pelajar yang sekaligus ada kaitannya dengan budaya dan iklim sekolah. Moos (dlm. Yahya Don et al. 2007) menyatakan kepimpinan berbudaya adalah mereka yang berjaya membentuk persekitaran pembelajaran yang baik. Ia turut dipengaruhi oleh tiga perkara iaitu ;

i. Hubungan iaitu merangkumi penglibatan, perkongsian dan kerjasama dengan rakan dan guru di bilik darjah.

ii. Pembangunan diri yang meliputi pencapaian matlamat individu secara bersama, dan,

iii. Perubahan dan kemantapan sistem. Ia melibatkan peraturan dan undang-undang yang jelas dan tindakan guru bagi memastikan peraturan dipatuhi.

Iklim dan budaya yang cemerlang di sekolah dapat dilihat berdasarkan suasana sekolah yang damai, selesa, selamat, tersusun, bebas dari masalah disiplin yang serius sama ada daripada kalangan guru, kaki tangan sokongan atau pelajar. Dalam hal ini, Yahya Don et al.(2007) menjelaskan sekolah yang mempunyai budaya yang positif, kebiasaannya perlakuan kepimpinan, staf dan pelajar adalah asli, baik dan jujur. Pelajar dan staf bangga dengan sekolah, mempunyai kesepakatan, kepimpinan yang jelas dan guru memberi penuh komitmen tanpa rasa tertekan. Manakala iklim yang selamat dan selesa menggambarkan wujudnya perancangan keselamatan sekolah. Lencana pengenalan diri, kad kebenaran, tanda nama pelawat dan kawalan pengawal keselamatan antara aspek yang perlu diberi perhatian bagi mengawal keselamatan pelajar dan seluruh warga dalam sekolah amnya.

Strategi Penambahbaikan Dalam Mencorak Iklim Dan Budaya Sekolah Cemerlang.

Menyedari hakikat bahawa iklim dan budaya mempunyai pengaruh yang besar dalam penambahbaikan sekolah, usaha mengubah iklim dan budaya sekolah yang kurang menonjol kepada situasi yang lebih cemerlang perlu dilaksanakan. Saya akan melakukan perkara-perkara berikut berdasarkan apa yang telah dinyatakan oleh Yahya Don et al (2007) ;

1. Mempastikan warga sekolah bekerja secara kolaboratif dalam semua aspek seperti kurikulum, pengajaran dan pembelajaran, dan penilaian pelajar secara berterusan.

2. Warga sekolah memperlihatkan persekitaran pembelajaran yang ideal, meneroka jurang antara persekitaran sekarang dengan persekitaran ideal dan mempertimbangkan alternatif bagi merapatkan jurang itu.

3. Merancang, melaksana, menilai, membaiki, dan menyelaras tujuan perubahan bagi penambahbaikan secara berterusan di bilik darjah dan sekolah secara kolaboratif dengan memahami budaya yang sedia ada.

4. Menghidupkan budaya positif dikalangan staf dengan cara memupuk perkongsian tujuan, kepercayaan, nilai dan teras konsep yang memberi fokus kepada pengajaran dan pembelajaran, pembinaan komuniti, kesetiakawanan, perkembangan karektor dan isu-isu semasa.

5. Berpandangan jauh, mempunyai kefahaman mendalam tentang budaya yang berakar umbi dan perlu menunjukkan semangat dan etika yang tinggi.

Kepentingan Iklim Dan Budaya Sekolah Yang Cemerlang

Keberkesanan sekolah adalah merujuk kepada kewajaran matlamatnya dan sejauh manakah matlamat itu tercapai. Sesebuah sekolah akan dikategorikan sebagai berkesan apabila kualiti dan pencapaian pelajar dan kerja keseluruhan staf melebihi matlamat yang disasarkan. Dalam hal ini pencapaian sekolah dapat ditingkatkan melalui penglibatan, kerjasama dan kepercayaan. Pengurusan sekolah harus sentiasa bekerjasama untuk menyediakan sekolah yang produktif, kondusif, seronok untuk dihuni. Apabila perkara-perkara ini diketepikan oleh pengurusan sekolah, kemajuan untuk sekolah tersebut akan terbantut dan hanya tinggal mimpi sahaja.

The Southwest Educational Laboratory (dlm. Yahya Don et al.2007) menjelaskan kepentingan sekolah adalah seperti berikut ;

1. Budaya boleh membantu usaha menambahbaik sekolah bagi pelajar yang berisiko.

2. Budaya menyediakan fokus dan tujuan sekolah yang jelas kerana budaya menjadi gam yang mengikat ahli bersama bagi menjayakan misi sekolah.

3. Budaya boleh menjadi penghalang kepada kejayaan sekolah dan budaya boleh mewujudkan penindasan dan deskriminasi kepada sub kumpulan dalam sekolah.

4. Apabila sekolah ingin maju, fokus perlu diberikan kepada nilai-nilai, kepercayaan-kepercayaan dan norma-norma di sekolah dan persekitaran sekolah.

5. Perubahan yang fundamental seperti perubahan dalam amalan pengajaran dan struktur pembuatan keputusan memerlukan kefahaman, mengubah budaya sekolah dan perubahan budaya mengambil masa yang lama.

Manakala Stolp (dlm. Yahya Don et al. 2007) menjelaskan budaya sekolah yang sihat mempunyai hubungan yang kuat dengan pencapaian akademik dan motivasi pelajar, produktiviti dan kepuasan guru. Beliau menambah adalah sukar untuk menidakkan kepentingan budaya sekolah pada pencapaian pelajar.

Bagi Peterson (dlm. Yahya Don et al. 2007) pula, beliau mengatakan kepentingan budaya sekolah terbukti melalui kajian demi kajian yang menunjukkan sekiranya budaya tidak menyokong pembaharuan yang diperkenalkan, pembaharuan itu akan gagal.

Merujuk pendapat-pendapat di atas, pengetua dan pengurusan sekolah serta para guru dan kaki tangan sekolah perlu bersama-sama bertindak mengubah budaya sekolah ke arah yang lebih cemerlang. Segala ketetapan yang dirancang perlu disesuaikan dengan elemen-elemen budaya yang sedia ada agar ia bergerak selari dengan matlamat sekolah.

Penutup

Menurut Wan Liz Ozman (1996), menyatakan bahawa ketua sesebuah organisasi berperanan yang penting dalam mencorak suasana kerja, motivasi, kelicinan dan keberkesanan organisasi tersebut. Seseorang pemimpin yang tidak berwawasan yang jelas mengenai objektif dan arah tujuan organisasinya sudah tentu tidak dapat mengemudikan organisasi tersebut ke arah matlamat yang tepat. Dalam hal ini maju atau mundurnya sesebuah organisasi itu bergantung kuat kepada kualiti dan gaya kepimpinan pemimpin yang memegang tanggungjawab tersebut. Penerimaan ahli organisasi kepada pemimpin akan menentukan kecemerlangan organisasi tersebut.

Dalam usaha untuk membina iklim dan budaya sekolah yang cemerlang, refomasi penambahbaikan adalah tindakan pembangunan yang utama. Tindakan ini menuntut penglibatan semua warga sekolah bagi mempastikan kewujudan sekolah berkesan.

Menjadi seorang pemimpin di sekolah, tugas pengetua tidaklah semudah yang dijangka. Keperibadian terpuji yang disertai dengan gaya kepimpinan cemerlang akan menetukan visi, misi dan matlamat sekolah akan tercapai. Justeru, bagi merealisasikan sebuah sekolah yang berkesan dan berwatak, iklim yang positif dan budaya yang cemerlang memerlukan usaha, kerja berpasukan dan semangat yang tinggi. Semua warga sekolah harus memahami konsep keberkesanan dan kecemerlangan secara menyeluruh agar iklim dan budaya sekolah cemerlang bukan tertulis sebagai catatan sahaja tetapi suatu yang reality dan membanggakan. Ini adalah kerana sekolah yang beriklim dan berbudaya cemerlang meningkatkan semangat dan komitmen sekaligus akan menjadikan sekolah itu cemerlang dan berkesan.

No comments: