23 October, 2011

Surat Rasmi

A. Jenis surat rasmi:

i. Surat aduan – sampah, gejala sosial, kafe siber, masalah pencemaran, kilang haram dan sebagainya.
ii. Surat permohonan – pekerjaan, kemudahan asas, kemudahan sekolah dan sebagainya.
iii. Surat bantahan – bantahan sesuatu perkara yang mendatangkan masalah atau kesan negatif.
iv. Surat cadangan – cadangan mengadakan sesuatu, cadangan mengatasi sesuatu masalah dan sebagainya.
v. Surat jemputan – perkahwinan, menghadiri majlis dan sebagainya.

B. Penerima dan alamat surat rasmi.
i. Penerima surat rasmi – penerima perlu sesuai dengan situasi surat yang ditulis.
Contohnya,
jika kebakaran (bomba – Ketua Balai Bomba),
kecurian (polis – Ketua Balai Polis XXXXXX),
sampah sarap (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur – Ketua Penguat Kuasa),
jabatan kerajaan (Pengarah) dan sebagainya.

ii. Alamat penerima – Jika anda tidak pasti alamat penerima, jangan bimbang kerana anda boleh menciptanya sendiri. Contohnya, jika alamat individu (ada nombor rumah, ada nama jalan, ada nama taman, ada poskod, ada nama bandar, ada negeri). Jika alamat jabatan kerajaan atau agensi kerajaan (ada tingkat, ada nama bangunan, ada nama jalan, ada poskod, ada nama bandar, ada nama negeri).

Contoh : Masalah sampah sarap tidak diangkut.

Ketua Penguat Kuasa
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur,
Tingkat 5, Bangunan Menarajaya,
Jalan Bunga Raya,
56000 Kuala Lumpur.


B. Format Surat Rasmi:


1. Nama dan alamat pengirim – di sudut kiri surat.
(Selepas itu langkau sebaris dan lukis garisan panjang)
(Sebaiknya selepas setiap perenggan berakhir, langkau satu baris)

2. Penerima dan alamat penerima – di sudut kiri surat.

3. Tarikh dengan huruf besar – di kanan dan selari dengan baris terakhir alamat penerima.

4. Panggilan hormat (Tuan/ Puan/ Datuk dan sebagainya yang sesuai) – di kiri dan tanda koma.

5. Tajuk surat – Semua perkataan awal dengan huruf besar, kecuali untuk kata hubung, sendi dan kata bantu. Garisi tajuk dan jangan letak tanda titik pada akhir ayat.

6. Pengenalan surat – nyatakan siapa anda + mewakili siapa (jika anda sebagai wakil) + tujuan surat ditulis. (tulis rapat di kiri surat dan jangan letak sebarang nombor)

7. Isi surat: (Bermula dari perenggan kedua dan seterusnya, letak nombor bermula dengan 2 dan seterusnya pada setiap perenggan dan mulakan perenggan agak ketengah – 2 ½ sm dari nombor)

i. Huraian isu atau huraian masalah yang ditulis (di mana + sejak bila + nama pihak penyebab masalah + masa masalah berlaku + siapa terlibat + dan apa-apa juga maklumat awal tentang isu atau masalah itu yang dapat digunakan bagi membantu pihak yang anda beritahu)

ii. Kesan daripada isu atau masalah itu kepada anda atau orang yang anda wakili. Kesan ini mesti diulas, sama seperti anda menulis karangan biasa (ada isi, huraian, contoh dan kesimpulan kecil) Sebaik-baiknya, 1 kesan ditulis dalam satu perenggan)

iii. Cadangan mengatasi masalah – anda boleh memberi cadangan awal untuk mengatasi masalah atau isu yang anda tuliskan.
8. Penutup surat – tuliskan harapan anda dan iringan terima kasih.

9. Tulis ucapan terima kasih – di kiri dan rapat dengan garisan. (Jangan letak nombor)
(Selepas itu, langkau 3 hingga 4 baris)

10. Tulis pengesahan:
- “Yang menjalankan tugas” (jika tujuan rasmi) dan “Yang benar” (jika tujuan persendirian)
- Tandatangani
-(NAMA) dengan huruf besar dan dalam kurungan
-Nama jawatan (Ikut kehendak soalan jika dinyatakan), jika tidak tulislah Setiausaha. Jika tujuan persendirian, tidak perlu menulis jawatan.
-Nama institusi, persatuan atau taman perumahan yang anda wakili.

11. Pastikan anda menggunakan frasa gramatis, peribahasa atau kata-kata hikmat seperti anda menulis karangan yang lain.

...................................................................................................................................



CONTOH: MENULIS SURAT KIRIMAN RASMI

Soalan :
Di kawasan tempat tinggal anda terdapat pelbagai masalah keselamatan yang timbul berpunca daripada pendatang asing yang terlalu ramai di kawasan itu. Sebagai wakil penduduk di tempat anda. tulis sepucuk surat kepada pihak yang berkuasa bagi mengadukan hal tersebut agar masalah ini dapat diselesaikan.

Contoh jawapan surat rasmi.


Bong Lai Hee,
No.6, Jalan Merpati Putih,
Taman Khatulistiwa,
94003 Sri Aman, Sarawak.

____________________________________________________________________
Ketua Balai,
Balai Polis Sri Aman,
Jalan Temakol ,
94003 Sri Aman, Sarawak. 16 JULAI 2011


Tuan,
Aduan Tentang Masalah Pendatang Tanpa Izin di Taman Khatulistiwa

Merujuk perkara di atas, saya Bong Lai Hee selaku setiausaha penduduk Taman Khatulistiwa, ingin membuat aduan tentang masalah pendatang tanpa izin yang begitu ramai bilangannya di kawasan tempat tinggal kami. Akibat bilangannya yang terlalu ramai, pelbagai masalah sosial telah timbul sehingga mengganggu ketenteraman hidup penduduk di kawasan ini.

2. Untuk makluman pihak tuan, kawasan ini menjadi tumpuan pendatang tanpa izin kerana banyak bangunan baru didirikan di kawasan ini. Hal ini menyebabkan ramai pekerja tanpa izin bertumpu di kawasan ini untuk bekerja sebagai pekerja bangunan kerana di mana ada gula, di situ ada semut. Kebanyakan daripada pendatang tanpa izin itu tertumpu di Jalan Limau Manis 4 dan Jalan Tembikai 3. Mereka tinggal di dalam pondok-pondok sementara yang disediakan oleh pemaju dan didirikan daripada kayu. Perkara yang membimbangkan kami ialah sebahagian daripada pendatang tanpa izin tersebut melakukan pelbagai jenayah dan mengancam keselamatan penduduk tempatan di kawasan ini.

3. Sebelum kedatangan mereka di kawasan ini, kehidupan kami amat aman dan makmur. Namun begitu, kehadiran mereka sejak lima bulan yang lalu telah mengubah segala-galanya. Kejadian kecurian dan rompakan sering kali berlaku di kawasan tempat tinggal kami. Sehingga kini terdapat 4 kejadian pecah rumah dan rompakan yang telah diadukan kepada pihak polis. Kebanyakan rompakan tersebut melibatkan senjata tajam seperti parang dan senjata tajam yang lain. Hal ini menyebabkan kami berasa takut sekiranya kejadian seperti itu berulang semula. Kami juga percaya bahawa kejadian jenayah tersebut melibatkan pendatang tanpa izin melalui pertuturan mereka semasa kejadian jenayah itu berlaku. Hal seperti ini amat merungsingkan penduduk di kawasan ini.

4. Selain itu, sebahagian pendatang tanpa izin di kawasan ini turut berkelakuan tidak sopan terhadap penduduk tempatan di sini. Beberapa orang gadis yang pulang lewat daripada bekerja telah diganggu dengan kata-kata yang tidak menyenangkan. Mereka juga sering mengeluarkan kata-kata berbau lucah kepada penduduk di kawasan ini sehingga pernah menyebabkan pergaduhan di antara pendatang tanpa izin dengan penduduk di taman ini. Sebagai ibu bapa di kawasan ini, kami berasa bimbang jika berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini ke atas keluarga kami. Justeru, kami berharap agar pihak tuan mengambil tindakan awal seperti kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Kami tidak mahu ada di antara penduduk di kawasan ini yang akan menjadi mangsa akibat kelewatan kita mengambil tindakan kerana nasi sudah menjadi bubur.

5. Pada masa yang sama, sebahagian daripada pendatang tanpa izin tersebut juga melakukan pelbagai jenayah seperti berjudi dan menyalahgunakan dadah. Hal ini telah kami maklumi melalui beberapa orang penduduk yang pernah terserempak dengan mereka ketika melakukan jenayah tersebut. Sebelum ini, kejadian seperti itu tidak pernah berlaku di kawasan tempat tinggal kami. Keadaan ini juga amat membimbangkan penduduk di kawasan ini kerana kami takut sekiranya ada di antara anak-anak kami yang akan terpengaruh dengan gejala yang tidak sihat tersebut. Justeru kami meminta agar pihak tuan mengambil tindakan awal kerana mencegah lebih baik daripada mengubati.


6. Sehubungan dengan itu, kami mencadangkan agar pihak tuan dapat mengambil tindakan dengan secepat mungkin. Antara cadangan kami termasuklah meminta pihak tuan membuat serbuan dan menangkap pendatang tanpa izin di kawasan kediaman kami. Kami juga mencadangkan agar pihak tuan dapat membuat rondaan dengan lebih kerap supaya kejadian jenayah yang membimbangkan kami tidak berlaku di sini. Sekiranya pihak tuan memerlukan bantuan dan kerjasama daripada penduduk di kawasan ini, kami sedia menghulurkan bantuan yang diperlukan.


7. Akhir kata, saya berharap agar pihak tuan dapat mengambil tindakan yang sewajarnya dengan segera demi keselesaan dan keselamatan penduduk di kawasan ini. Kerjasama daripada pihak tuan amat kami hargai dan didahului dengan jutaan terima kasih.

Sekian, terima kasih.


Yang menjalankan tugas,

Bonglaihee
...................
(BONG LAI HEE)
Setiausaha,
Persatuan Penduduk Taman Khatulistiwa.
Ayat Aktif dan Ayat Pasif

1. Kedua-dua ayat ini berlainan bentuk stuktur perkataannya tetapi mempunyai maksud sama.
2. Ayat Aktif ialah ayat yang menekankan objek.
3. Ayat Pasif menerangkan benda atau orang yang dikenakan perbuatan ke atasnya.
4. Ayat aktif ialah ayat yang kata kerja berawalan men-. Contohnya:
(a) Emak memasak nasi dan sebagainya
(b) Pasukan pengakap telah mendirikan khemah itu.
(c) Ketua murid menaikkan bendera sekolah.
5. Ayat pasif ialah ayat yang kerjanya……
(a) tidak berawalan men- dan didahului kata ganti diri pertama dan kata ganti diri kedua.
Contohnya:
i. Bola itu saya tangkap.
ii. Latihan itu perlu anda tulis.
(b) berawalan di- dan diikuti kata sendi oleh serta kata ganti diri ketiga.
Contohnya: Kasut itu dibasuh oleh emak.
6. Ayat pasif terdiri daripada:
(a) ayat pasif diri pertama, iaitu ayat yang kata kerjanya tidak berawalan men-
dan didahului kata ganti diri pertama seperti aku, kami, kita, saya, dan sebagainya.
(b) ayat pasif diri kedua, iaitu ayat yang kata kerjanya tidak berawalan men-
dan didahului kata ganti diri kedua seperti awak, anda, kamu, engkau, dan sebagainya.
(c) ayat pasif diri ketiga, iaitu ayat yang kata kerjanya berawalan di-, diikuti kata sendi oleh serta kata ganti diri ketiga seperti ia, dia, beliau, baginda, dan sebagainya.
7. Kedua-dua ayat aktif dan pasif membawa maksud yang sama walaupun bentuknya berbeza.
Contohnya:
Ayat Aktif
(a) Saya mencuci kasut sekolah.
(b) Kita menerima keputusan itu.
(c) Ali akan membeli baju itu.
(d) Kami sudah menyusun jadual itu.

Ayat Pasif Diri Pertama
(a) Kasut sekolah saya cuci.
(b) Keputusan itu kita terima.
(c) Baju itu akan Ali beli.
(d) Jadual itu sudah kami susun.



Ayat Aktif
(a) Anda harus menyiapkan kerja itu.
(b) Awak mesti mengeposkan bungkusan itu.
(c) Engkau patut memulangkan duitnya.
(d) Kamu perlu membaiki kereta itu.

Ayat Pasif Diri Kedua

(a) Kerja itu harus anda siapkan.
(b) Bungkusan itu mesti awak poskan.
(c) Duitnya patut engkau pulangkan.
(d) Kereta itu perlu kamu baiki.




Ayat Aktif
(a) Mereka mengecat rumah.
(b) Baginda meminta rakyat supaya bersabar.
(c) Ali mengarahkan orang ramai supaya tidur.
(d) Dia sedang menjahit baju.

Ayat Pasif Diri Ketiga
(a) Rumah dicat oleh mereka.
(b) Rakyat diminta oleh baginda supaya bersabar.
(c) Orang ramai diarahkan oleh Ali supaya tidur
(d) Baju sedang dijahit olehnya.



Ayat Aktif
1. Ali membaca buku itu.
2. Ibu memasak nasi lemak.
3. Kita mesti mendengar nasihat guru kita.
4. Salmah memukul adiknya dengan kuat.
5. Ismai membawa meja patah.

Ayat Pasif

1.Buku itu dibaca oleh Ali.
2.Nasi lemak dimasak oleh ibu.
3.Nasihat guru kita, mesti kita dengar.
4.Adiknya dipukul dengan kuat oleh Salmah.
5.Meja patah dibawa oleh Ismail

04 October, 2011


Prosa Tradisional (Ting.4): 

Pelayaran Yang Penuh Peristiwa

Tema : Kelebihan dan kehebatan anak raja
Awang Sulung Merah Muda digambarkan memiliki kelebihan dan kehebatan seperti boleh menggerakkan geliung tanpa memegang kemudi, menenangkan air laut dengan mecmpakkan tulang pelanduk  putih, menukarkan air laut yang masin menjadi manis,  semasa ketibaan Awang  Sulung ke Negeri Pati Talak Terengganu, alat-alat kebesaran dan seluruh isi alam berbunyi seolah-olah menyambutnya . Satu lagi kelebihannya, ketika ia menyeru ayamnya Kinantan Suci yang hampir tewas semasa menyabung sehingga akhirnya dapat mengalahkan lawannya, Si Jalak .
Persoalan
1. Persoalan cinta tidak mengenal rupa paras.Tuan Puteri Dayang Seri Jawa jatuh hati kepada Awang Sulung kerana melihat kelebihan   yang dimiliki oleh  Awang Sulung walaupun ketika itu Awang Sulung comot dan hitam.
2. Persoalan perasaan dengki dan iri hatiJurumudi sangat dengki kepada Awang Sulung yang mendapat layanan yang baik daripada Tuan Puteri Dayang Seri Jawa sehingga sanggup menyuruh Si Kembang Cina memberi sisa-sisa nasi di dalam tempurung berbulu kepada Awang Sulung.
3. Persoalan kewibawaan dan pengaruh yang kuatLanun-lanun tidak berani menyerang geliung yang dinaiki Tuan Puteri Dayang Seri Jawa apabila mendengar suara Awang Sulung Merah Muda.
4. Persoalan menipu untuk mencapai sesuatu tujuan Jurumudi menipu Tuanku Nakhoda Tua dengan mengatakan dialah yang menyelamatkan geliung daripada serangan Tuan Puteri Dayang Nuramah dan daripada serangan lanun dengan menunjukkan keris yang berdarah ayam. Tujuannya supaya dia dapat berkahwin dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa.
5. Persoalan menghormati tetamu Awang Sulung disambut oleh pembesar istana dan rakyat Negeri Pati Talak Terengganu semasa naik ke balairung seri.Watak dan Perwatakan
Watak Utama
Awang Sulung Merah Muda
 Berasal dari Negeri Bandar Mengkalih
 Anak kepada Tuanku Si Helang Laut
 Cucu kepada Tuanku Si Helang Mawai
 Menyamar sebagai budak hitam yang comot dan hodoh di geliung Tuan Puteri Dayang Seri Jawa
 Berwajah tampan  – setelah mandi dengan menggunakan limau selimpat pagar dan sabun wangi terserlahlah ketampanannya .
 Memiliki keris dan pedang sakti Memiliki gigi yang cantik bercahaya
 Berhutang dengan Nakhoda Tua dan Datuk Batin Alam
 Berkahwin dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa
 Ditakuti lanun
 Memiliki pelbagai kesaktian  – Dia  dapat menenangkan air laut yang bergelora, menukarkan air masin menjadi manis dan tidak perlu memegang kemudi untuk menggerakkan geliung.
 Patuh kepada peraturan  - Dia meminta Bujang Selamat bertanyakan adat bergelanggang sebelum menyabung ayam.
 Merendah diri – apabila disuruh mengemudi geliung menggantikan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa dia mengatakan sekiranya berada di daratan bolehlah dia menjadi penghalau ayam, penunggu itik atau tukang sapu rumah .

Watak Sampingan
Tuan Puteri Dayang Seri Jawa
 Anak Tuanku Nakhoda Tua
 Mengemudi geliung setelah jurumudi pengsan Mudah jatuh cinta  - Jatuh hati kepada Awang Sulung Merah Muda setelah melihat kelebihan dan kehebatan Awang Sulung
 Suka menguji  - dia menguji kelebihan Awang sulung dengan menyuruhnya mengambil air
 Prihatin  - Marah apabila Si Kembang Cina memberi sisa-sisa nasi dalam tempurung berbulu dan ketika  jurumudi dengki kepada Awang Sulung
 Sensitif  – dia cuba membunuh diri hendak terjun ke laut  apabila mendengar Awang Sulung hendak kembali ke Bandar Mengkalih.

Jurumudi
 Jjurumudi geliung yang dinaiki Tuan Puteri Dayang Seri Jawa
 Penipu  - Menipu Tuanku Nakhoda Tua  bahawa  dialah yang telah menyelamatkan geliung dengan menunjukkan keris berdarah
 Pendengki – Dia berasa dengki kepada Awang Sulung
 Pengecut - Lari menyelamatkan diri semasa serangan lanunTuanku Nakhoda Tua
 Ayahanda kepada Tuan Puteri Dayang Seri Jawa
 Mudah terpedaya – terpedaya dengan penipuan jurumudi.
 Insaf  - berasa kesal dengan kesilapannya yang memandang rendah kepada Awang Sulung
 Menepati janji  - Dia  mengahwinkan  puterinya dengan Awang Surung Merah Muda yang berjaya menyelamat baginda dan puterinya daripada serangan lanun.

Si Kembang Cina
 Orang suruhan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa
 Taat perintah – Taat akan suruhan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa
 Pandai memujuk – Dia memujuk Awang Sulung sehingga bersetuju untuk mengemudi  geliung

Latar
Latar Tempat

Geliung panjang
 Tuan Puteri Dayang Seri Jawa belayar menaiki geliung panjang dari Bandar Mengkalih  menuju ke negeri Semarang di Tanah Jawa.

Pulau Tapai
 Tempat  Geliung berlabuh  di Pulau Tapai  untuk mendapatkan kayu dan air. Pada  mulanya geliung tidak boleh berlabuh kerana laut bergelora. Awang Sulung  menggunakan kelebihannya dengan mencampakkan tulang pelanduk putih yang diikat dengan benang banyak warna. Akhirnya air laut menjadi tenang dan geliung dapat berlabuh.

Pulau Salah Nama
 Sekumpulan lanun menyerang geliung di Pulau Salah Nama. Anak-anak kapal lari  menyelamatkan diri termasuk jurumudi.  Tuan Puteri Dayang Seri Jawa meminta  bantuan Awang Sulung menentang lanun.
.
Negeri Pati Talak Terangganu
 Awang Sulung menyabung ayamnya Kinantan Suci .

Latar Masa
 Tiga hari tiga malam semasa geliung berlabuh di Pulau Tapai.
 Waktu siang - ketika anak-anak kapal mencari kayu api dan air di pulau.

Latar Masyarakat
Golongan bangsawan  – Awang Sulung, Tuan Puteri Dayang Seri Jawa, Tuanku Nakhoda Tua, Tuan Puteri Pinang Masak, Raja Negeri Pati Talak Terengganu.
 Golongan bawahan – anak-anak kapal
 Masyarakat lanun yang melakukan rompakan di laut
 Golongan taat kepada perintah  – Si Kembang Cina dan Bujang Selamat taat akan perintah Tuan Puteri Dayang Seri Jawa dan Awang Sulung Merah Muda.
 Masyarakat  penipu – jurumudi menipu Tuanku Nakhoda Tua  bahawa  dialah yang telah menyelamatkan geliung dengan menunjukkan keris berdarah
 Masyarakat yang suka menyabung ayam   - Awang Sulung  Merah Muda  menyabung ayam dan rakyat Negeri Pati Talak Terengganu

Gaya Bahasa

 Bahasa klasik – geliung
 Bahasa istana  - beta, santap, kakanda, ayahanda
 Peribahasa – enau mencari sigai, dan lesung mendapatkan antan, berkecil hati
 Simile  – bagai pucuk dilancarkan, bagai air di kuali, bagai purnama empat belas haribulan, bagai kilat sembur-menyembur
 Puisi : Pantun :
          Bintang tujuh tinggal enam,
          Jatuh satu ke Gunung Daik;
          Bercahayalah sepuh hilang senam
          Itulah tanda emas yang baik.            
              
Seloka:
Nobat merpati di gunung,
Memberi salam murai di pintu,
Berbega burung di bumbungan,
Berkokok si tambang denak,
Membalas kinantan suci,
Bertutu ketitir jantan,Berkokok balam tembaga tiga gaya,
Berbunyi sekalian bunyi-bunyian.                      


Nilai
 Nilai  merendah  diri  – contohnya Awang Sulung yang berketurunan raja sanggup menyamar sebagai budak hitam yang comot
 Nilai  keyakinan – contoh Tuan Puteri Dayang Seri Jawa sanggup mengambil alih mengemudi kapal sewaktu jurumudi pengsan
 Nilai berani  – contoh Awang Sulung berani menentang lanun yang cuba menyerang geliung kenaikan Tuan puteri Dayang Seri Jawa.
 Nilai kasih Sayang  – contoh  Awang Sulung dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa saling menyayangi selepas berkahwin.
 Nilai bertimbang rasa- contohnya Awang Sulung membantu Tuan Puteri Dayang Seri Jawa mengemudi geliung.
 Nilai keinsafan – contoh Tuanku Nakhoda Tua insaf dan memohon maaf atas kesalahan kepada Awang Sulung.
 Nilai rasional – contoh Tuanku Nakhoda Tua sanggup menerima pandangan puterinya agar tidak terpengaruh dengan kata-kata jurumudi.
 Nilai hormat  kepada raja  – contoh lanun tidak menyerang geliung setelah mendapati Awang Sulung berada di atas geliung tersebut.

Pengajaran

 Kita hendaklah sentiasa merendah diri di mana-mana sahaja kita berada supaya kita akan dihormati.
 Kita hendaklah berani menghadapi pelbagai rintangan demi mencapai matlamat.
 Kita hendaklah bijak agar dapat menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul.
 Kita hendaklah bersedia memberi bantuan terhadap orang yang memerlukan pertolongan.
 Kita hendaklah berani mengaku kesalahan yang dilakukan  agar tidak menimbulkan kekesalan pada masa hadapan.

Prosa Tradisional (Ting.4)

Hikayat Indera Nata

Tema : Pengembaraan Anak Raja Menempuh Pelbagai Cabaran
Indera Nata mengembara mencari gajah bergading emas atas perintah ayahandanya, Raja Rom. Pelbagai cabaran dihadapi dalam pengembaraan tersebut antaranya menemui binatang buas di dalam hutan, mendaki bukit yang terlalu tinggi, menyelamatkan tujuh orang puteri daripada tawanan raksasa, dan hampir ditangkap dan dibunuh oleh raksasa.

Persoalan

1. Persoalan keberanian dan kehebatan anak raja
 Indera Nata berani menentang binatang buas dan menyelamatkan Indera Jenaka daripada dibaham binatang buas yang terdapat di dalam hutan.
 Indera Nata berani masuk ke mahliga raksasa dan menyelamatkan tujuh orang puteri.
 Indera Nata mempunyai kebolehan bercakap atau berinteraksi  dengan haiwan.

2. Persoalan kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya
 Si Batu Kembar memeluk dan mencium anaknya Indera Jenaka yang baru balik darpada mengembara.
 Ibu Indera Nata iaitu Tuan Puteri Cenderawati sangat bimbang dan bersedih ketika menunggu kepulangan anaknya itu daripada mengembara.

3. Persoalan kebijaksanaan untuk mendapatkan sesuatu dan menyelamatkan diri
 Tuan Puteri Cendera Kesuma membuat helah dengan menyuruh raksasa mencari gajah bergading emas sekiranya raksasa mahukan mereka cepat besar, tetapi sebenarnya dia bertujuan membantu Indera Nata mendapatkan gajah bergading emas segera.
 Tuan Puteri Cendera Kesuma membuat helah sekali lagi dengan menyuruh raksasa lelaki mencari kijang putih bertanduk emas dan raksasa perempuan mencuci kain hitam menjadi putih sebagai tanda sayang kepada mereka. Sebenarnya dia bertujuan untuk melarikan diri bersama Indera Nata dan puteri-puteri yang lain semasa ketiadaan raksasa.

4. Persoalan tolong-menolong sesama manusia
 Indera Nata membantu menyelamatkan Indera Jenaka daripada serangan binatang buas di hutan.
 Indera Nata membantu menyelamatkan ketujuh-tujuh puteri daripada tawanan raksasa.

Watak dan Perwatakan

Watak Utama

Indera Nata
 Anak kepada Raja Rom dan Tuan Puteri Cenderawati
 Digelar Si Piatu
 Sangat disayangi oleh ibunya - Ibu Indera Nata iaitu Tuan Puteri Cenderawati sangat bimbang dan bersedih ketika menunggu kepulangan anaknya itu daripada mengembara.
 Mempunyai kesaktian – Indera Jenaka hairan melihat kelakuan Indera Nata yang boleh bercakap dengan binatang.
 Seorang yang berani –Menyelamatkan Indera Jenaka daripada serangan binatang buas
 Seorang yang baik hati - Menyelamatkan tujuh orang puteri daripada tawanan raksasa.


Watak Sampingan
Tuan Puteri Cendera Kesuma
 Anak Raja Mesir
Memiliki rupa paras yang cantik
 Menjadi tawanan raksasa .
 Petah berkata-kata  -Tuan Puteri bukan sahaja cantik malah pandai berkata-kata dan berpantun.
 Bijaksana – pandai membuat helah untuk membantu Indera Nata dan untuk menyelamatkan diri daripada raksasa

Raksasa suami isteri
 Tinggal di mahligai di atas sebuah bukit yang tinggi.
 Kejam – menawan tujuh orang puteri untuk dijadikan makanan.
 Besar, kuat dan gagah. – gerakan mereka berbunyi seperti rebut
 Pemarah dan ganas – membunuh semua rombongan Raja Rom yang pergi berburu untuk mendapatkan gajah bergading emas yang dinaiki oleh Raja Rom
 Mudah diperdaya – percaya helah yang dibuat oleh Tuan Puteri Cendera Kesuma

Indera Jenaka
 Anak Tuanku Syah Alam dan Si Batu Kembar
 Menghargai jasa – Indera Jenaka menghargai Indera Nata dengan menceritakan kebaikan dan kelebihan Indera Nata kepada kedua-dua ibu bapanya.
 Seorang yang berterus terang - Memberitahu kedua-dua ibu  bapanya siapa sebenarnya Si Piatu iaitu Indera Nata.

Latar

Latar Tempat
i. Negeri Rom (rumah Si Batu Kembar)
 Indera Jenaka menceritakan kepada ibu bapanya siapa Si Piatu dan darihal Indera Nata
ii. Negeri Pattani
 Indera Nata menentang haiwan buas dan menyelamatkan Indera Jenaka dan Indera Nata boleh bercakap dengan haiwan.
iii. Sebuah bukit yang tinggi
 Tempat tinggal sepasang raksasa suami isteri di sebuah mahligai yang indah bersamasama tujuh orang puteri yang ditawan.
iv. Sebuah peti emas
 Tempat Indera Nata disembunyikan oleh Tuan Puteri Cendera Kesuma semasa raksasa balik ke mahligai.
v. Tepi Laut / Pantai
 Tempat isteri raksasa mencuci kain hitam supaya menjadi putih.
  Rumah Bonda Indera Nata (Tuan Puteri Cenderawati)
 Kepulangan Indera Nata bersama tujuh puteri.
 Ketujuh-tujuh puteri menetap di situ.

Latar Masa
Waktu pagi – raksasa keluar mencari kijang putih bertanduk emas.
 Waktu petang – raksasa tidur.
 Waktu siang – raksasa keluar mencari gajah bergading emas.
 Tujuh hari tujuh malam – perjalanan Indera Nata pulang ke rumah bondanya bersama tujuh puteri.
 Waktu tengah malam – Indera Nata tiba di rumah bondanya bersam tujuh puteri.


Latar Masyarakat
 Golongan bangsawan – Raja Rom, Tuanku Alam Syah, Tuan Puteri Cenderawati, Tuan Puteri Cendera Kesuma
 Golongan bawahan –  rakyat yang mengikut Raja Rom pergi berburu yang semuanya dimakan oleh raksasa
 Masyarakat taat kepada perintah – Indera Nata mengikut perintah Raja Rom mengembara mencari gajah bergading emas
 Masyarakat yang memiliki kesaktian dan hikmat-  Indera Nata boleh berinteraksi dan bercakap dengan haiwan, mempunyai gemala hikmat yang boleh menyeru dan meminta bantuan Betara Gangga.
 Masyarakat raksasa – sepasang suami isteri raksasa yang tinggal di atas sebuah bukit.
 Masyarakat haiwan – gajah bergading emas, ular sakti dan naga


Gaya Bahasa

 Bahasa Klasik – sebermula, hatta
 Bahasa istana  - tuanku ,  kakanda , anakanda .
 Simile –  maka ia mendengar bunyi seperti ribut , ia berani dengan segala binatang itu adalah ia berkata-kata seperti ia berkata dengan manusia juga.
 Puisi – pantun contoh:
              Ikan pari bertelur beribu
              Bertelur sejengkal juga;
              Hujan arah ke langit biru,
              Tawakalku dapat juga.                      
 Bahasa Arab – Allah
 Hiperbola – gajah bergadingkan emas , kijang putih bertandukkan  emas , parasnya gilanggemilang, cahayanya kilau-kilauan.      

Nilai

 Nilai Bijaksana – Tuan Puteri Cendera Kesuma membuat helah untuk melepaskan diri.
 Nilai Keberanian – Indera Nata berani masuk ke mahligai raksasa dan menyelamatkan tujuh puteri.
 Nilai Kasih Sayang – Tuan Puteri Cenderawati amat menyayangi Indera Nata.
 Nilai Tolong-menolong - Indera Nata menyelamatkan tujuh puteri daripada  tawanan raksasa dan Tuan Puteri Cendera Kesuma membuat helah supaya raksasa mencari gajah bergading emas bagi membantu Indera Nata.


Pengajaran

 Kita mestilah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai  sesuatu yang dihajati.
 Kita mestilah saling menyayangi antara satu sama lain supaya dapat  hidup harmoni.
 Kita hendaklah bijak menyelesaikan masalah yang timbul.
 Kita mestilah menghargai budi yang diterima dan membalas dengan sebaik-baiknya.
 Kita hendaklah tolong-menolong antara satu sama lain.

Puisi Tradisional (Ting.4)

Syair Definisi Orang Berakal

Tema 
Ciri-ciri orang yang berakal. 

Persoalan 
1. Persoalan ketinggian status orang yang berilmu (rangkap 1) 
2. Persoalan kebijaksanaan orang yang berakal menyelesaikan masalah (rangkap 2) 
3. Persoalan keinsafan seseorang akan kuasa Tuhan (rangkap 4) 
4. Persoalan kepatuhan kepada hukum syarak (rangkap 4) 
5. Persoalan keikhlasan dalam persahabatan (rangkap 6) 

Bentuk 
1. Terdiri daripada tujuh rangkap. 
2. Setiap rangkap terdiri daripada empat baris. 
3. Jumlah perkataan dalam setiap baris antara 3 hingga 5. 
• Tiadalah ia melanja-lanja (3 perkataan) 
• Sangatlah mengasihi tuan dan sahabat (5 perkataan) 
4. Terdiri daripada sembilan hingga tiga belas suku kata. 
• Jika ia dikasihi raja (9 suku kata) 
• Sangatlah mengasihi orang yang jahat (11 suku kata) 
5. Rima akhir syair ini ialah aaaa 
6. Syair ini ialah puisi terikat. 


Gaya Bahasa 
1. Asonansi - Menjadi kepala bela bermacam - pengulangan vokal e 
2. Aliterasi - Menjauhkan tamak hendak tawakal - pengulangan konsonan k 
3. Sinkope – Ibanya tahu dunia tak kekal 
4. Anafora - Tiadalah ia melanja-lanja 
                 Tiadalah menyombong pada bekerja 
5. Penggunaan kata klasik - tersunjam, ibanya, melanja-lanja, tersemu 

Nilai 
1. Nilai kebijaksanaan. 
   Orang yang bijaksana akan dilantik sebagai pemimpin dan dipandang mulia. 
2. Nilai kasih sayang 
   Seseorang yang berakal sangat mengasihi ketua dan rakan-rakannya. 
3. Nilai ketaatan. 
   Seseorang yang berakal akan taat kepada hukum syarak. 
4. Nilai kerajinan. 
   Orang yang berakal sentiasa menelaah untuk mendalami ilmu pengetahuan tanpa rasa jemu. 

Pengajaran 
1. Kita haruslah mencontohi ciri-ciri orang yang berakal seperti para anbia dan aulia agar       kehidupan akan lebih bahagia. 
2. Kita mestilah menyayangi sahabat yang baik dan menjauhi orang-orang yang bersikap negatif agar tidak terpengaruh. 
3. Kita haruslah merendah diri walaupun berilmu dan disayangi ramai agar terhindar daripada sifat riak dan takbur. 
4. Kita hendaklah patuh pada hukum syarak agar terhindar daripada kemungkaran. 



Puisi Tradisional (Ting.4)

Gurindam 12 fasal Yang Keenam
1.Huraian Bentuk
- terdiri dari 4 rangkap
- bilangan @ jumlah sukukata adalah
  antara 9-13.
- bentuk terikat / tradisional

2.Huraian Maksud
a. Rangkap 1
- pengarang menyeru supaya kita mencari sahabat yang baik dan beguna kepada kita

b. Rangkap 2
- Pengarang menyuruh kita mencari guru yang pintar dan dapat menunjukkan kepada kita siapa musuh kita.

c. Rangkap 3.
- Pengarang menyarankan kita mencari isteri yang sangup sehidup semati dengan kita.

d. Rangkap 4.
- Pengarang menyeru supaya kita mencari kawan yang setia.


3. Tema
Tema bagi gurindam ini ialah kemasyarakatan. Dalam konteks ini pengarang menjuruskannya kepada sikap kita dalam mendampingi orang lain, contohnya dalam mencari sahabat, guru, isteri, dan kawan.

4. Persoalan
a. Dalam mencari sahabat, kata pengarang biarlah itu boleh menolong kita. Mungkin sahabat itu boleh menasihati kita dalam hal-hal yang penting, memujuk kita tatkala berada dalam kesusahan dan sentiasa mengingatkan kitaseandainya kita lalai dan leka. Inilah yang dimaksudkan sebagai ‘ubat’. Sahabat yang tidak baik akan menghumban kita ke dalam kerosakkan dan kemusnahan hidup.

b. Begitu juga kalau kita hendak mencari guru. Guru akan menunjukkan kita jalan yang membolehkan kita mengetahui siapa yang menjadi seteru  atau musuh kita.

c. Kata pengarang, kalau hendak mencari isteri, tentulah seseorang yang bersedia untuk hidup bersama. Maksud yang boleh menyerahkan diri  adalah sanggup berbakti, setia dan berjasa kepada suami dengan menjalankan tanggungjawabnya dengan sempurna selain sanggup untuk melayarkan bahtera hidup bersama.

d. Dalam mencari kawan pula, seharusnya kita mencari orang yang benar-benar setia kepadanya, yakni ikhlas dan jujur dalam persahabatan.


5. Nilai
a. Kejujuran – contohnya, sahabat yang jujur
b. Baik hati – umpamanya guru yang baik hati dengan memberikan nasihat atau tunjuk ajar ataupun member pedoman.
c. Kemesraan – misalnya isteri yang boleh dijadikan pasangan sejati untuk melayari bahtera hidup bersama.
d. Kesetiaan – seperti sahabat yang setia


6. Pengajaran
a. Kita hendaklah mengatur kehidupan dengan sempurna seperti mencari sahabat, guru, isteri mahupun kawan.

b. Kita hendaklah menyedari bahawa orang-orang yang harus didampingi adalah seorang yang ikhlas serta jujur kepada kita yang dapat membantu ataupunmemnadu jalan hidup kita.


Cerpen : Aku, Kris Dan Kristal (Ting.4)

TEMA
Kejituan prinsip hidup dan kekentalan iman anak muda ketika merantau ke luar negara untuk menuntut ilmu.

PERSOALAN
1.          Persahabatan yang terjalin tanpa mengenal agama, adat resam, budaya    dan darjat.
2. Sikap berani menempuh kehidupan di rantau orang dalam usia muda.
3. Peranan ibu bapa dalam mengawasi pergaulan anak-anak dengan cara
memberikan nasihat walaupun tinggal berjauhan.
4. Didikan agama yang sempurna dapat melahirkan insan yang teguh imannya dan dapat mengawal nafsu.

WATAK DAN PERWATAKAN

AKU (HANA HASHIM)
1.   Anak gadis kelahiran Malaysia yang menuntut di Universiti College Cardiff, Britain
2. Berusia 22 tahun
3. Ayahnya bernama Hashim
4. Berkulit sawo matang ,berwajah cantik , peramah , bijak dan pandai menjaga hati.
5. Sahabat baik Kris, Kristal, dan Samantha.
6. Berhemah tinggi dan berpegang teguh pada ajaran agama

KRIS
1. Sahabat baik Hana (Aku) dan Kristal.
2. Fasih berbahasa Melayu .
3. Berbangsa Inggeris.
4. Anak duta ke Malaysia yang kacak.
5. Rambutnya ikal dan matanya berwarna hazel.
6. Belajar di universiti yang sama.
7. Suka membantu orang lain. Apabila Hana menghadapi masalah tempat tinggal, Kris
mengajak Hana tinggal bersama dengan keluarganya.
8. Dalam diam-diam Kris mencintai Hana tetapi berpindah ke Jerman Barat apabila
mengetahui kononnya Hana sudah bertunang.
9. Memeluk agama Islam akhirnya.

KRISTAL
1.   Kawan baik Kris dan Hana.
2. Gadis berbangsa Inggeris yang cantik dan bertubuh tinggi lampai.
3. Fasih berbahasa Melayu kerana pernah mengikut program pertukaran pelajar ke
Malaysia.
4. Bersahabat dengan Kris sejak kecil dan secara diam-diam mencintai Kris tetapi cintanya
tidak dibalas.
5. Mempunyai rasa cemburu menyebabkan persahabatannya dengan Kris dan Hana
musnah.
6. Membunuh diri dengan menelan pil tidur secara berlebihan kerana kecewa ditinggalkan Kris.

LATAR
LATAR TEMPAT
- Universiti College Cardiff , Malaysia Hall, Barry Island, Jabatan Pulteney di Bath, Luxembourg, rumah Mrs. Doogan, dan apartmen Hana.

LATAR MASA
~ Zaman sekarang dan mengambil tempoh selama 3 tahun.
~ Musim sejuk
~ Malam, iaitu ketika Kris mengajak Hana ke majlis jamuan makan malam di rumah
seorang kawan.
~ Petang, iaitu ketika Hana menerima surat daripada Acik di kampung atau ketika Hana
menerima kehadiran semula Kris.

LATAR MASYARAKAT
~ Masyarakat berbangsa Inggeris dan Melayu di luar negara.
     Contohnya, Hana melanjutkan pelajaran di Cardiff.
~ Masyarakat pelajar universiti.
     Contohnya, Hana, Kris, dan Kristal.
~ Masyarakat yang memahami adat resam atau budaya orang lain.
     Contohnya, Kris memahami adat dan budaya orang Melayu yang beragama Islam.
~ Masyarakat yang mementingkan pelajaran.
     Contohnya ,Hana, Kris, dan Kristal sentiasa tekun belajar untuk memperolehi kejayaan.

PLOT
1.   Permulaan - Pengarang memperkenalkan watak aku (Hana) yang telah tiga tahun
      belajar di Cardiff. Ketika ?aku? termenung pada petang itu , dia terkenang kembali
      akan peristiwa lalu . Kisah berikutnya disampaikan secara imbas kembali.
2.   Perkembangan - Hana yang berkenalan dengan Kris dan Kristal lalu menjadi
      sahabat baik. Kris menyintai Hana, manakala Kristal menyintai Kris.
3.  Perumitan - Kristal mula mencemburui Hana apabila Hana mengikut Kris
      melawat ke Luxembourg. Kristal tidak turut serta kerana ada urusan lain. Kris
      meluahkan perasaan cintanya kepada Hana.
4.  Puncak/klimaks - Hana menolaknya kerana dia menganggap Kristal hanya
      sebagai sahabat, selain alasan perbezaan agama dan budaya. Kris kecewa lalu
      membawa diri ke Jerman. Kristal yang kecewa dengan pemergian Kris membunuh
      diri dengan menelan pil tidur secara berlebihan.
5.   Peleraian - Sedang Hana mengelamun, pintu diketuk dan terdengar suara
      orang memberi salam. Apabila pintu dibuka, dia melihat Kris datang sebagai
      seorang Islam.

GAYA BAHASA
1. Penggunaan bahasa Inggeris. Contohnya: "Not even once?", Well, "Oh! That blond
    handsome guy!".

2. Simile. Contohnya: "kerana iman yang menjadi bekalan cuma senipis kulit bawang.
3. Pengulangan. Contohnya: "Sesungguhnya saat itu amat manis, amat indah.
4. Simpulan bahasa. Contohnya: "tunjuk belang
5. Personifikasi. Contohnya: " tudungku melambai-lambai mengikut gerak angin.

NILAI
1. Hemah tinggi. Contohnya , Hana sentiasa menjaga hati sahabatnya.
2. Kasih sayang. Contohnya, Hana menyayangi Kris dan Kristal sebagai sahabat semasa         belajar di rantau orang.
3. Peramah. Contohnya, Kris, pemuda yang peramah kerana dia menegur Hana yang ketika itu pelajar baru.
4. Kerajinan. Contohnya, Hana rajin belajar dan tidak menghabiskan masa berfoya-foya walaupun dia mempunyai peluang untuk berbuat demikian.
5. Keberanian. Contohnya, Hana berani melancong ke Luxembourg hanya bersama dengan Kris.

PENGAJARAN
1. Kita hendaklah pandai membawa diri ketika melanjutkan pelajaran di luar negara.
2. Kita hendaklah menjaga adat sopan dan maruah diri.
2. Kita hendaklah berusaha memelihara ikatan persahabatan.
3. Kita hendaklah mendengar nasihat ibu bapa.
4. Kita hendaklah bertindak secara rasional semasa mengalami kekecewaan.