23 September, 2012

Program Pecutan SPM Sesi ke 2

Malam esok adalah sesi kedua Program Pecutan SPM untuk pelajar-pelajarku yang diadakah di masjid kampung. Ia diadakan secara percuma semata-mata mahu melihat anak-anak kampung berjaya seperti rakan-rakan mereka yang lain juga.
Kepada pelajar-pelajarku, datanglah dan kita berbincang serta belajar bersama-sama.
Tanpa kalian siapalah saya...

Kesalahan Ejaan Dan Kesalahan Imbuhan Dalam Ayat


TEKNIK MENGESAN DAN MEMBETULKAN KESALAHAN AYAT

A. Langkah yang perlu diikuti:
1. Kenal pasti jenis kesalahan yang hendak dibetulkan sama ada ‘kesalahan ejaan’ atau ‘kesalahan imbuhan’,
2. Baca ayat berulang-ulang supaya anda dapat mengenal pasti kesalahan ayat itu.
3. Perhatikan kesalahan dengan meneliti perkataan demi perkataan serta cuba kaitkan dengan hukum tatabahasa yang telah dipelajari.
4. Biasanya anda dikehendaki menyalin semula ayat yang sudah dibaiki dengan lengkap.
5. Sebaik mungkin, garisilah perkataan atau frasa yang telah dibaiki.
6. Biasanya, dalam satu ayat terdapat 2 kesalahan yang perlu dibaiki.
7. Semasa menulis ayat itu semula, jangan ubah struktur dan maksud asal ayat tersebut.
8. Biasanya, satu ayat yang dibetulkan dengan sempurna akan diberi 2 markah.

B. Jenis kesalahan dalam ayat:
Kesalahan-kesalahan yang ditulis dalam soalan adalah seperti berikut;
i. Kesalahan ejaan
ii. Kesalahan penggunaan imbuhan


Contoh Kesalahan Ejaan dan Imbuhan dalam ayat.
1.       Kepulangan peterjun negara yang memperolehi pingat gangsa dalam Sukan Olimpik telah disambut dengan meriah.
Kesalahan Ejaan       : peterjun  = penerjun
Kesalahan Imbuhan  : memperolehi = memperoleh

2.       Wabak selsema burung akan menjadi merbahaya kepada penduduk dunia sekiranya tidak dicegah dari awal.
Kesalahan Ejaan       : selsema = selesema
Kesalahan Imbuhan  : merbahaya = berbahaya

3.       Pengusaha gerai satay itu telah memperisteri anak lelakinya dengan anak pengusaha Restoran Azizah.
Kesalahan Ejaan        : satay = sate
Kesalahan Imbuhan   : memperisteri = memperisterikan


Latihan 

Dalam ayat-ayat di bawah terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Kenalpasti dan betulkan kesalahan-kesalahan itu dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah maksud asal dan strukturnya.

Latihan 1
1.       Persekolahan pada peringkat pra-sekolah  mustahak untuk memberikan dedahan awal tentang alam persekolahan.
2.       Dalam baget tahun ini kerajaan telah membuat peruntukkan yang banyak untuk memajukan sektor pertanian.
3.       Filem Seniman Bujang Lapuk telah mempopularkan nama Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dan beberapa orang pelakun yang berzaman dengan beliau.

Latihan 2
1.       Pada hari Selasa ini semua calun SPM boleh mengambilkan keputusan peperiksaan di     sekolah masing-masing.
2.       Kami tidak harus berbincang isu-isu yang berbau perkauman kerana dikhuatiri dapat mengancam keharmunian negara.
3.       Pelajar lepasan sekolah vokesyenal berpeluang melanjut pelajaran ke politeknik dan institusi teknikal yang lain.

Latihan 3
1.       Latihan di tempat kerja tidak akan menjejaskan prodaktiviti syarikat kerana latihan itu tidak memerlukan kakitangan meninggal tempat kerja mereka.
2.       Bidang pelancongan di Malaysia mampu dimajukan memandang prospetnya yang besar pada peringkat antarabangsa.
3.       Kanak-kanak itu perlu menjalankan rawatan menggunakan anti-biotik untuk mengelakkan penyakitnya itu berlarutan.


CAKAP AJUK DAN CAKAP PINDAH


LANGKAH-LANGKAH  PENUKARAN:
A. AYAT CAKAP AJUK KEPADA AYAT CAKAP PINDAH.
a. Langkah menukarkan ayat:

1. Jangan mengubah makna asalnya.

2. Susunan ayat hendaklah dikekalkan (yang dahulu didahulukan)

3. Lakukan perubahan perkataan:
contoh:
- saya .....................dia
- kamu ...................dia
- kami ....................mereka
- hamba.................dia
- di sini...................di situ/di sana
- begini..................begitu
- kini.......................ketika itu
- dan sebagainya.

4. Jangan gunakan "kata tanya". Tukar pada fungsinya.
contoh:
- mengapa...........................punca/sebab
- bagaimana........................cara/keadaan
- berapa...............................jumlah/harga
- bila....................................masa

5. Tukar penggunaan "kata" atau "tanya" dalam ayat asal.
contoh:
i. Ayat penyata : berkata, memberitahu, menjelaskan, menceritakan, menerangkan dan sebagainya yang sesuai dengan situasi.
ii. Ayat silaan : mempersilakan, menjemput, mengundang, mengajak.
iii. Ayat permintaan : meminta, merayu, menggesa, mencadangkan, menasihati.
iv. Ayat suruhan : menyuruh, mengarahkan, memerintahkan.
v. Ayat larangan : melarang, tidak membenarkan, menegah, menghalang.
vi. Ayat tanya : bertanya, menanyakan, ingin tahu, ingin kepastian.
vii. Ayat seruan : (bergantung kepada situasi ayat itu diucapkan sama ada "marah, hairan, terkejut, menyindir, memarahi, mencabar, merayu dan sebagainya".

6. Contoh penukaran ayat:

i. "Orang itu menerpa dan memberi hadiah ini kepada saya" kata Ali kepada Chan.
Jawapah: Ali memberitahu Chan bahawa orang itu menerpa dan memberinya hadiah tersebut.

ii. "Dunia pada hari ini semakin panas kerana berlaku penipisan ozon" kata guru itu.
Jawapan: Guru itu menerangkan bahawa dunia pada hari ini semakin panas kerana berlakunya penipisan ozon.

iii. "Mengapakah kamu datang lewat ke sekolah hari ini, Raju?" tanya guru disiplin itu.
Jawapan: Guru disiplin itu ingin tahu punca Raju datang lewat ke sekolah pada hari tersebut.

iv. "Jemput makan kuih itu!" kata Mak Chan kepada Cik Lim.
Jawapan: Mak Chan menjemput Cik Lim supaya makan kuih itu.

v. "Pak cik mesti makan ubat yang saya beri ini" kata doktor kepada pesakit itu.
Jawapan: Doktor tersebut menasihati pesakitnya seorang tua supaya makan ubat yang diberinya itu.

vi. "Amboi, bagusnya anak dara. Pukul 11.00 baru bangun tidur!'' kata Mak Tan kepada Michelle.
Jawapan: Mak Tan menyindir Michelle yang baru bangun daripada tidur walaupun sudah pukul 11.00 pagi.

vii. "Hai, apa khabar Sally?" kata Fai Jun Pui.
Jawapan: Fai Jun Pui menegur Sally sambil bertanyakan khabar.


b. Contoh menukarkan ayat dan jawapan:

Contoh 1:
Tulis semula perbualan di bawah dalam bentuk cakap pindah. Anda dikehendaki mengekalkan susunan isi dalam petikan ini.

Kamariah        : Malaysia mempunyai banyak tempat menarik untuk dikunjungi.
Samad             :  Negara ini mempunyai pantai-pantai yang bersih dan hutan semula jadi yang  indah.
Aziz                  : Ramai rakyat Malaysia yang suka melancong ke luar negara seperti Indonesia,  Thailand, Singapura dan negara-negara Eropah.
Samad             : Keadaan ini berlaku kerana kurangnya promosi untuk menarik pelancong tempatan ,  pelancong di dalam negeri.
Kamariah        :Pihak swasta seperti pusat-pusat pelancongan tempatan perlu memberi potongan    harga istimewa kepada pelancong tempatan yang mengunjungi pusat percutian mereka.
Samad             : Kesedaran rakyat Malaysia tentang faedah melancong di dalam negeri perlu ditanam dalam diri.

Jawapan:
Kamariah berkata kepada Aziz dan Samad bahawa negara Malaysia memang banyak mempunyai tempat menarik untuk dikunjungi. Pendapatnya itu disokong oleh samad dengan mengatakan bahawa negara ini mempunyai pantai-pantai yang bersih dan hutan semula jadi yang indah. Aziz pula menyatakan kehairanannya tentang ramai orang Malaysia yang masih suka melancong ke luar negara seperti ke Indonesia, Thailand, Singapura dan negara-negara Eropah. Kamariah menyetujui pandangan itu. Samad berpendapat mungkin keadaan ini berlaku kerana kurangnya promosi untuk menarik pelancong tempatan melancong di dalam negeri. Aziz bersetuju dengan pendangan Samad itu. Kamariah pula mencadangkan supaya pihak swasta seperti pusat-pusat pelancongan tempatan memberi potongan harga istimewa kepada pelancong tempatan yang mengunjungi pusat percutian mereka. Samad pula mengatakan bahawa di samping itu, kesedaran rakyat Malaysia tentang faedah melancong di dalam negeri perlu ditanam dalam diri. Kamariah dan Samad mengiakan pendapat itu.


Contoh 2:

Tulis semula petikan di bawah dalam bentuk karangan biasa dengan menggunakan cakap pindah.

Redwan dan Kamarul berkawan baik. Mereka sangat rapat dengan Cikgu Hassan.
“ Oh, cikgu, kami ada di rumah ! “ Sahut Kamarul setelah mendengar sapaan Cikgu Hassan di halamannya.
Cikgu Hassan sudah berada di tangga rumah Redwan. “ Jemputlah naik, cikgu. Redwan ada di dalam, “ pelawa Kamarul dengan hormat.
“Naik. Mestilah naik, kalau tidak buat apa datang, “ gurau Cikgu Hassan
“Rumah kami berselerak. Tak sempat nak berkemas, “ Redwan mencelah.
“ Manalah sempat nak berkemas, kerja-kerja menuai baru selesai dua hari yang lepas, “ Kamarul memberikan alasan.

Jawapan:
1. Redwan dan Kamarul berkawan baik dan hubungan mereka dengan Cikgu Hassan sangat rapat.
2. Kamarul telah menyahut sapaan Cikgu Hassan yang berada di halaman rumah dengan mengatakan bahawa mereka berada di dalam rumah.
3. Setelah berada di tangga rumah Redwan, Kamarul dengan hormat mempersilakan Cikgu Hassan naik ke rumah dan/ sambil mengatakan bahawa Redwan berada di dalam rumah.
4. Dengan nada mengusik Cikgu Hassan membalas ajakan itu dengan mengatakan bahawa dia tentu akan naik kerana kalau tidak masakan dia datang ke situ.
5. Redwan memohon maaf kerana keadaan rumahnya belum berkemas/ tidak teratur.
6. Kamarul pula menjelaskan bahawa mereka tidak berkesempatan mengemas rumah kerana kerja-kerja menuai padi baru selesai dua hari sebelumnya



Latihan 1
Tulis semula perbualan di bawah ke dalam bentuk karangan biasa dengan menggunakan cakap pindah.

“ Bagaimana dengan rancangan awak ? “ tanya Salleh.
“ Rancangan apa? “ jawab Ani.
“ Rancangan mendaki gunung yang awak kata pada saya tempoh hari, “ kata Salleh.
“ Oh, itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Sabtu depan. “ jelas Ani.
“ Bagus Ani, bagus. Saya sokong rancangan itu ! “
Ani tersenyum puas apabila mendengar kata-kata sahabat karibnya itu.




Latihan 2:
Tukarkan cakap ajuk di bawah ini kepada cakap pindah.

“Ani tak ada sapa-sapa. Ani sorang.......”
“Ani tak boleh tinggal sini.Di sini bahaya,” kata Tuk Yahya sambil meneliti mata belolok anak itu.
“Ani tak ada sapa-sapa,” rengek Ani lagi.
“Ya, Tuk Yahya tahu.........”
“Ani tak mahu tinggal di rumah lagi.Nanti bom jatuh lagi. Datuk tak ada, datuk tak ada”,jelas anak itu hampir meraung.
“Ani ada Tuk Yahya, Ani ada comot,” pujuk Tuk Yahya


Latihan 3:
Tukarkan cakap ajuk di bawah ini kepada cakap pindah.

“Salim, mengapakah awak kelihatan muram sahaja?” tanya Nizam.
“Pagi tadi, Cikgu Khairul bertanyakan saya tentang yuran peperiksaan yang masih belum saya bayar,” beritahu Salim dengan perasaan sayu.
“Eh, bukankah awak mendapat biasiswa! Mengapakah kamu tidak gunakan duit tersebut untuk membayar yuran?” tanya Nizam dengan perasaan hairan.
“Duit biasiswa itu telah saya gunakan untuk perbelanjaan rawatan abang saya yang dimasukkan ke hospital baru-baru ini,” jelas Salim.
“Oh begitu! Salim, saya cadangkan awak berjumpa dengan Cikgu Khairul dan jelaskan perkara yang sebenarnya,” kata Nizam.
“Tapi, saya takutlah Nizam. Cikgu Khairul tu garang sangat,” kata Salim.


Latihan 4:
Tukarkan cakap ajuk di bawah ini kepada cakap pindah

MAWI : Wah, sedap betul mi ini. Apa namanya ?
FELIX : Mi Pedas.
MAWI : Yalah ,minya pedas.Memang pedas......... tapi apa namanya ?
FELIX : Mi pedas. Si Dolah tu kata namanya Mi Pedas.
MAWI : Oh begitu, jadi kau masuk ke kedai ini sengaja nak makan Mi Pedaslah?
FELIX : Yalah. Kan aku dah janji nak belanja kau dulu.Inilah dia. ............



Latihan 5:
Tukarkan cakap ajuk di bawah ini kepada cakap pindah.

Norhayati        : Syikin, mengapa Syikin tidak datang ke sekolah semalam?
Norasyikin       : Syikin minta maaflah. Semalam Syikin ada hal di rumah.
Norhayati        : Apa halnya? Ceritakanlah kepada Yati. Andainya susah, sama-samalah kita tanggung. Bukankah kita sudah lama berkawan?
Norsyikin         : Sebenarnya ibu Syikin sakit.




B. AYAT CAKAP PINDAH KEPADA AYAT CAKAP AJUK.

a. Langkah menukarkan cakap pindah kepada cakap ajuk:

1. Ada dua cara: (anda boleh memilih mana-mana cara di bawah)
i. Menggunakan dialog biasa dalam bentuk perenggan.
ii. Menggunakan dialog seperti wawancara.
2. Jaga penukaran ayat yang telah dipelajari. Anda hanya perlu menukarkannya semula kepada bentuk asal seperti yang telah dipelajari dalam “menukarkan ayat cakap ajuk kepada ayat pindah”. Jika anda lupa, sila rujuk semula.
3. Jaga penggunaan tanda bacaan, tanda kata, tanda seruan dan sebagainya untuk mengelakkan markah anda ditolak.

b. Contoh soalan dan jawapan:

Contoh 1:
Tulis semula petikan di bawah dalam bentuk cakap ajuk. Anda dikehendaki mengekalkan susunan isi dalam petikan ini.

Kamariah berkata kepada Aziz dan Samad bahawa negara Malaysia memang banyak mempunyai tempat menarik untuk dikunjungi. Pendapatnya itu disokong oleh samad dengan mengatakan bahawa negara ini mempunyai pantai-pantai yang bersih dan hutan semula jadi yang indah. Aziz pula menyatakan kehairanannya tentang ramai orang Malaysia yang masih suka melancong ke luar negara seperti ke Indonesia, Thailand, Singapura dan negara-negara Eropah. Kamariah menyetujui pandangan itu. Samad berpendapat mungkin keadaan ini berlaku kerana kurangnya promosi untuk menarik pelancong tempatan melancong di dalam negeri. Aziz bersetuju dengan pendangan Samad itu. Kamariah pula mencadangkan supaya pihak swasta seperti pusat-pusat pelancongan tempatan memberi potongan harga istimewa kepada pelancong tempatan yang mengunjungi pusat percutian mereka. Samad pula mengatakan bahawa di samping itu, kesedaran rakyat Malaysia tentang faedah melancong di dalam negeri perlu ditanam dalam diri. Kamariah dan Samad mengiakan pendapat itu.


Jawapan :

Kamariah        : Malaysia mempunyai banyak tempat menarik untuk dikunjungi.

Samad             : Negara ini mempunyai pantai-pantai yang bersih dan hutan semula jadi
yang indah.

Aziz                  : Ramai rakyat Malaysia yang suka melancong ke luar negara seperti Indonesia,
Thailand, Singapura dan negara-negara Eropah.

Samad             : Keadaan ini berlaku kerana kurangnya promosi untuk menarik pelancong
                            tempatan melancong di dalam negeri.

Kamariah        : Pihak swasta seperti pusat-pusat pelancongan tempatan perlu memberi potongan
harga istimewa kepada pelancong tempatan yang mengunjungi pusat percutian mereka.
Samad             : Kesedaran rakyat Malaysia tentang faedah melancong di dalam negeri perlu ditanam dalam diri.


Contoh 2:
Tulis semula petikan di bawah dalam bentuk cakap ajuk. Anda dikehendaki mengekalkan susunan isi dalam petikan ini.

Mak Limah bertanya arah tujuan suaminya setelah melihat suaminya itu dalam keadaan tergesa-gesa hendak keluar. Pak Usop mengatakan bahawa dia hendak berjumpa dengan ahli-ahli jawatankuasa Koperasi Maju. Mak Limah mencadangkan agar suaminya makan nasi dahulu walaupun sibuk dengan kerja kerana dia takut suaminya akan berasa lapar . Pak Usop memberitahu ii itsterinya bahawa dia hendak meletakkan jawatan sebagai pemandu bas koperasi itu. Mak Limah bertanya cara suaminya hendak mendapatkan pekerjaan sekiranya dia berhenti kerja. Pak Usop menjelaskan bahawa dia hendak memohon pinjaman daripada pihak MARA untuk membeli sebuah bas.

Jawapan:

Mak Limah ......: Abang hendak ke mana dalam keadaan tergesa-gesa ini?
Pak Usop......... : Saya hendak berjumpa dengan ahli-ahli jawatankuasa Koperasi Maju.
Mak Limah...... : Kalau sibuk dengan kerja pun makanlah nasi dulu, nanti lapar.
Pak Usop .........: Abang hendak meletakkan jawatan sebagai pemandu bas koperasi itu.
Mak Limah ......: Sudah tu, abang hendak kerja dengan siapa?
Pak Usop .........: Minta pinjaman daripada MARA, abang beli sebuah bas.


c. Soalan Latihan:

Latihan 1:
Tulis semula petikan di bawah dalam bentuk cakap ajuk. Anda dikehendaki mengekalkan susunan isi dalam petikan ini.

Azman bertanya kepada Yahya tentang keputusan muktamadnya hendak ke bandar. Yahya mengiyakannya dan menyatakan bahawa dia sudah nekad dan tidak mahu Azman memujuknya lagi. Azman cuba menyedarkan Yahya bahawa kampung mereka pun tiada kurangnya berbanding dengan bandar. Yahya menegaskan bahawa dia sudah bosan hidup di kampung yang bergelumang dengan lumpur sawah. Azman cuba menyedarkan Yahya bahawa mereka lulusan bidang pertanian dan bekerja sebagai petani iatulah yang sepatutnya menjadi pilihan mereka. Sekali lagi Yahya menegaskan bahawa Azman sahajalah yang mengerjakan sawah tetapi dia tetap hendak ke bandar. Azman tetap mengajaknya mengerjakan tanah terbiar di kampung mereka kerana hasilnya tentu lumayan. Yahya tetap berkeras dan menyuruh Azman sahaja mengerjakannya, manakala dia hendak bekerja makan gaji di bandar.


Latihan 2:
Tukarkan karangan di bawah dalam bentuk perbualan.
Redwan dan Kamarul berkawan baik dan hubungan mereka dengan Cikgu Hassan sangat rapat.Kamarul telah menyahut sapaan Cikgu Hassan yang berada di halaman rumah dengan mengatakan bahawa mereka berada di dalam rumah.Setelah berada di tangga rumah Redwan, Kamarul dengan hormat mempersilakan Cikgu Hassan naik ke rumah dan/ sambil mengatakan bahawa Redwan berada di dalam rumah.Dengan nada mengusik Cikgu Hassan membalas ajakan itu dengan mengatakan bahawa dia tentu akan naik kerana kalau tidak masakan dia datang ke situ.Redwan memohon maaf kerana keadaan rumahnya belum berkemas. Kamarul pula menjelaskan bahawa mereka tidak berkesempatan mengemas rumah kerana kerja-kerja menuai padi baru selesai dua hari sebelumnya

18 April, 2012

Panduan Menulis Karangan


KARANGAN
Jenis-jenis Karangan
Karangan umum terdiri daripada karangan berformat dan tidak berformat.


Karangan Berformat
Karangan dalam bahagian ini terdiri daripada syarahan, ucapan, ceramah, perbahasan, rencana, laporan, surat kiriman rasmi, surat kiriman tidak rasmi, wawancara, ulasan buku, cerpen dan drama.
Setiap bentuk karangan ini mempunyai ciri-ciri tersendiri, seperti berikut:

1. Perbahasan, ceramah, syarahan, ucapan
(menghadap majlis/kata alu-aluan, penghargaan kepada audien seperti ucapan tuan-tuan dan puan-puan, penutup)
2. Surat kiriman rasmi
(nama dan alamat pengirim, nama dan alamat penerima, tarikh, menghadap surat, tajuk, tandatangan)
3. Rencana, laporan, cerpen
(tajuk, nama penulis)
4. Wawancara
(pendahuluan, berbentuk dialog)
5. Ulasan buku
(judul buku, nama penulis, nama penerbit, nama pengulas)
6. Skrip drama
(judul drama, nama penulis, latar tempat/masa, dialog)


Karangan Tidak Berformat


Karangan tidak berformat merangkumi kategori penulisan yang berikut, iaitu perbincangan/bincangkan, perbahasan/bahaskan, ulasan, komen, fakta, pendapat, penjelasan/jelaskan, cadangan, gambaran/imaginasi.


MENULIS PENDAHULUAN KARANGAN

Jenis-jenis pendahuluan :-
(i) pendahuluan jenis definisi
(ii) pendahuluan jenis pendapat
(iii) pendahuluan jenis suasana
(iv) pendahuluan jenis persoalan
(v) pendahuluan jenis peribahasa


PENDAHULUAN JENIS DEFINISI ·

memberikan takrif · makna · definisi
Contoh : Jenayah ditakrifkan sebagai perbuatan yang melanggar undang-undang atau peraturan.Jenayah bukan sahaja membabitkan orang dewasa malahan golongan remaja juga. Menurut kajian polis, jumlah kes jenayah telah bertambah daripada 40 021 kes pada tahun 1997 kepada 43 210 kes pada tahun 1998 Di samping itu, kesalahan yang dilakukan juga semakin serius dari semasa ke semasa.


PENDAHULUAN JENIS PENDAPAT -

menyatakan pendapat seseorang tokoh
Contoh : Menurut Y.A.B Datuk seri Dr. Mahathir Mohamad, pencemaran alam sekitar berpunca daripada kegiatan pembangunan. Walau bagaimanapun pembangunan tidak boleh dihentikan sama sekali. Apa yang perlu adalah dengan mengurangkan pencemaran tetapi dalam masa yang sama meneruskan pembangunan.

PENDAHULUAN JENIS SUASANA -

menggambarkan sesuatu melalui suasana yang sesuai.
Contoh : Bas yang berhawa dingin terus berlalu menyusur jalan yang bengkang-bengkok dengan perlahan sekali. Rasa mual dan mengantuk hilang apabila kami dihiburkan oleh abang-abang yang memandu kami . sepanjang perjalanan ke puncak Bukit Fraser , sepasang anak mataku sempat mengintai hutan rimba yang akan kami lalui nanti.


PENDAHULUAN JENIS PERSOALAN -

mengemukakan beberapa ayat tanya yang berkaitan dengan tajuk
Contoh: Setiap orang memerlukan kecemerlangan untuk menjamin kejayaan bagi diri mereka. Apakah yang dikatakan kecemerlangan ? Apakah dengan kecemerlangan boleh membuatkan seseorang itu berjaya ? Apakah dengan berdiam diri sahaja tanpa sebarang usaha seseorang itu boleh mencapai kecemerlangan ? Soalnya , apakah faktor-faktor yang mempengaruhi kecemerlangan ?


PENDAHULUAN JENIS PERIBAHASA -

memasukkan satu atau lebih peribahasa Melayu yang sesuai.
Contoh: Peribahasa Melayu ' ringan sama dijinjing, berat sama dipikul' dan 'seperti aur dengan tebing ' amat sesuai ke arah mewujudkan masyarakat penyayang yang anggota-anggotanya mengamalkan sifat-sifat yang mengambarkan wujudnya hubungan kasih sayang dalam sesebuah komuniti.


MENULIS PERENGGAN ISI

Jenis-jenis perenggan:
- perenggan deduktif
- perenggan induktif
- perenggan gabungan induktif dan deduktif

PERENGGAN DEDUKTIF

isi penting huraian isi contoh-contoh
Contoh soalan : Laporan tentang punca-punca pelajar kurang berminat menggunakan perpustakaan sekolah. Punca pertama, walaupaun pihak perpustakaan telah cuba sedaya upaya mendapatkan buku-buku untuk kegunaan pelajar, tetapi kebanyakan buku yang disediakan sudah terlalu lama. Isi buku-buku tersebut sudah ketinggalan zaman dan tidak dapat memenuhi keperluan pelajar. lagipun terdapat banyak buku yang mengalami kerosakkan . Contohnya , masih tedapat buku-buku yang diterbitkab pada tahun 60-an dan 70-an. Isi Buku yang disediakan sudah terlalu lama Huraian Isi buku-buku tersebut sudah ketinggalan zaman dan tidak dapat memenuhi keperluan pelajar. Lagipun tedapat banyak buku yang mengalami kerosakkan. Sebagai ontohnya, masih terdapat buku-buku yang diterbitkan pada tahun 60-an dan 70-an.

PERENGGAN INDUKTIF

huraian isi contoh-contoh isi penting
Contoh soalan : Sebab-sebab berlakunya kemalangan jalan raya. Selekoh yang tajam , jalan berlopak, cahaya lampu, cahaya matahari, dan hujan juga merupakan punca terjadinya kemalangan jalan raya . Misalnya, jalan menuju ke Genting Highlandmempunyai banyak selekoh yang tajam dan berbahaya kepada pengguna jalan tersebut. Jelaslah kepada kita bahawa factor alam dan keadaan jalan raya itu sendiri juga merupakan punca berlakunya kemalangan jalan raya di negara ini. Huraian Selekoh yang tajam , jalan belopak, cahaya lampu, cahaya matahari, dan hujan juga merupakan punca terjadinya kemalangan jalan raya. Contoh Misalnya, jalan menuju ke Genting Highlands Isi Jelaslah kepada kita bahawa faktor alam dan keadaan jalan raya itu sendiri juga merupakan punca berlakunya kemalangan jalan raya di negara ini.


PERENGGAN GABUNGAN INDUKTIF DAN DEDUKTIF

isi penting huraian isi contoh-contoh isi penting
Contoh Soalan: Mengatasi masalah inflasi. Akhirnya, usaha yang sepatutnya dilakukan oleh kerajaan dalam menangani masalah ini ialah melalui kempen. Kempen yang dijalankan secara bersungguh-sungguh serta mendapat sokongan daripada semua pihak sudah tentu akan memberi kesan dan kesedaran yang positif kepada para pengguna. Misalnya , dengan menghidupkan semula laungan, "Belilah Barangan Buatan Malaysia". Oleh itu, kempen –kempen yang terancang hendaklah dilaksanakan dengan kadar yang segera agar pengguna dapat disedarkan daripada lena yang panjang. Isi Akhirnya, usaha yang sepatutnya dilakukan oleh kerajaan dalam menangani masalah ini ialah melalui kempen. Huraian Kempen yang dijalankan secara bersungguh-sungguh serta mendapat sokongan daripada semua pihak sudah tentu akan memberi kesan dan kesedaran yang positif kepada para pengguna. Contoh misalnya , dengan menghidupkan semula laungan, "Belilah Barangan Buatan Malaysia". Isi Oleh itu, kempen-kempen yang terancang hendaklah dilaksanakan dengan kadar yang segera agar pengguna dapat disedarkan daripada lena yang panjang.

MENULIS PERENGGAN PENUTUP

Kesimpulan mestilah lembut tetapi berkesan -
Jangan mengulangi isi-isi yang telah dikemukakan -
Gunakan penanda wacana yang sesuai

Contoh :-

(i) Kesimpulannya, kita perlulah berhati-hati apabila menerima kedatangan pekerja asing kerana pelbagai masalah sosial yang dibawa oleh mereka. Mereka seharusnya ditapis sebelum diterima bekerja di sini.

(ii) Oleh yang demikian, marilah kita bersama-sama menjadi pengguan yang bijak dan bergabung tenaga untuk membanteras inflasi.Ini sejajar dengan wawasan Perdana Menteri kita yang berkeyakinan bahawa inflasi di Malaysia boleh mencapai nilai 0%.

(iii) Jelaslah kepada kita bahawa semua pihak memainkan peranan yang penting dalam usaha membantu kerajaan membendung masalah inflasi merupakan masalah kita bersama. Masalah inflasi tidak akan menjadi gawat dan membimbangkan sekiranya semua pihak mempunyai kesedaran.

(iv) Natijahnya, sektor perindustrian bukan sahaja mendorong pertumbuhan ekonomi Negara malah mengembleng tenaga belia ke arah penerokaan suatu bidang baru . Oleh itu, langkah-langkah yang sewajarnya harus diambil oleh pihak kerajaan bagi membendung pelbagai masalah negatif dalam sektor ini untuk menjamin keutuhan dan kejayaannn sektor perindustrian di Malaysia.

(v) Pada keseluruhannya, lawatan sambil belajar itu sungguh berjaya. Menurut beberapa orang ahli yang ditemu ramah, mereka sedar bahawa kegiataan penubaan ikan merupakan satu cara yang tidak bermoral. Sebaliknya , penternakan ikan di dalam sangkar perlu digalakkan bagi mendapatkan hasil yang lumayan di samping dapat mengelakkan keracunan dan pencemaran sungai.

PANDUAN MEMBUAT PERENGGAN :

Untuk menghasilkan perenggan yang baik dan berkesan :
1. Tentukan ayat-ayatnya berkait.
2. Ada kesatuan dan pertautan isi.
3. Kesatuan hanya dapat dicapai jika isi yang berkait sahaja dipilih.
4. Pertautan pula dapat dicapai dengan menggunakan penanda wacana. Contohnya: selain itu, tambahan lagi, di samping itu, juga, seterusnya dan selanjutnya.

PERENGGAN DALAM KARANGAN RESPONS TERBUKA.
1. Perenggan pengenalan
2. Perenggan isi
3. Perenggan kesimpulan

PERENGGAN PENGENALAN :
Terdapat dua jenis ayat dalam perenggan pengenalan karangan respons terbuka iaitu :
1. Ayat rangsangan.
2. Ayat arah.

AYAT RANGSANGAN :
Ayat rangsangan ialah ayat yang berkaitan dengan tema atau soalan karangan. Kebiasaannya, ayat 1 hingga ayat 4 pengenalan merupakan ayat rangsangan (AR). Ayat rangsangan tidak membincangkan perkara yang akan disentuh dalam perenggan isi.

Soalan contoh :
Pada pendapat anda, apakah kesan-kesan yang akan timbul jika peperangan terus berlaku ?
(AR1) : Dalam tempoh 10 tahun belakangan ini, peperangan telah berlaku di merata-rata kawasan di dunia ini.
(AR2) : Peperangan ini melibatkan negara-negara yang berjiran atau negara-negara yang mempunyai idealogi yang bertentangan.
(AR3) : Peperangan juga berlaku disebabkan oleh sikap sesetengah kuasa besar yang ingin menguasai negara kecil demi memenuhi kepentingan ekonomi mereka atau amaran kepada negara lain.
(AR4) : Dalam akhir abad yang lalu, negara Bosnia telah berperang dengan negara Serbia, Amerika Syarikat telah menyerang negara Afganistan dan Iraq, dan banyak lagi.

AYAT ARAH :
Ayat arah ialah ayat yang menjawab soalan karangan. Ayat ini ialah ayat yang menjurus kepada kehendak karangan atau ayat yang menyatakan fokus utama perbincangan karangan.
Soalan contoh :
Pada pendapat anda, apakah kesan-kesan yang akan timbul jika peperangan terus berlaku ?

Ayat arah :
Kesemua siri peperangan yang berlaku ini sebenarnya banyak menimbulkan kesan yang negatif, baik kepada negara mahupun kepada masyarakat dunia yang lain.

PERENGGAN ISI :
1. APAKAH AYAT TOPIK ?
Ayat topik menyatakan isi utama yang ingin disampaikan dalam sesuatu perenggan. Ayat topik mempunyai perkara pokok atau satu aspek yang ingin dinyatakan tentang perkara pokok tersebut. Biasanya pernyataan sesuatu aspek itu akan dapat memberikan fokus kepada penulis dan pembaca. Ayat topik bertindak sebagai satu kawalan dalam penulisan isi (isi sokongan) dalam sesuatu penulisan.

2. APAKAH AYAT HURAIAN ?
Ayat topik perlu disokong oleh ayat huraian yang terdiri daripada isi sokongan. Isi sokongan pula boleh didapati dalam pelbagai bentuk seperti fakta, pendapat, peristiwa, sebab dan akibat, statistik dan contoh. Biasanya, isi sokongan dapat memberikan bukti, menghuraikan idea atau menjawab soalan yang dikemukakan oleh isi utama dalam ayat topik, dan isi tersebut mestilah berkait antara satu sama lain. Dalam penghasilan isi dan penulisan ayat huraian, isi kawalan dalam ayat topik menjadi dasar utama.

3. APAKAH AYAT PENYIMPUL ?
Ayat penyimpul terdiri daripada tiga jenis iaitu :
1. Ayat yang menyatakan semula ayat topik.
2. Ayat yang menyimpul keseluruhan isi dalam perenggan.
3. Ayat menyimpul yang menghubungkan perenggan.

4. MASUKKAN PERIBAHASA ATAU UNGKAPAN MENARIK YANG RELEVEN DENGAN TOPIK YANG DISENTUH.
Soalan contoh :
Pada pendapat anda, apakah kesan-kesan yang akan timbul jika peperangan terus berlaku ?
Contoh peribahasa/ ungkapan yang boleh digunakan:
1. Kalah jadi abu, menang jadi arang.
2. Jong pecah yu kenyang.
3. Kalau terbakar padang, maka terbakar belalang.
4. Air mata jatuh ke perut.

PERENGGAN PENUTUP :
Penutup merupakan kesimpulan daripada huraian yang telah ditulis dalam perenggan isi. Penutup merupakan rumusan menyeluruh yang merangkumkan keseluruhan karangan dalam satu penerangan yang padat. Tanpa kesimpulan, karangan berkenaan dikatakan tidak lengkap atau tidak sempurna.

JENIS AYAT DALAM PERENGGAN PENUTUP:
1. Ayat kesimpulan umum
2. Ayat pendapat
3. Ayat cadangan
4. Ayat komen
5. Ayat penilaian
6. Ayat harapan
7. Ayat penutup

Ayat kesimpulan umum : Masalah disiplin.
Tuntasnya, jelaslah bahawa masalah disiplin yang berlaku dalam karangan murid di sekolah disebabkan oleh kurangnya kasih sayang daripada keluarga.

Ayat pendapat : Kesan peperangan.
Kesimpulannya, semua peperangan yang berlaku di mana-mana bahagian dunia ini banyak membawa kesan buruk, baik kepada negara itu sendiri mahupun kepada negara lain.

Ayat cadangan : Kesan peperangan.
Oleh itu, setiap pihak atau negara yang berkenaan mestilah mencari jalan yang terbaik atau berunding supaya peperangan dapat dielakkan.

Ayat komen : Ulasan cerpen.
Cerpen ini mampu untuk memberikan kesedaran, khususnya kepada remaja, betapa kejayaan dapat dicapai oleh sesiapa sahaja jika ada kesungguhan, kecekalan, semangat, dan kemahuan yang tinggi.

Ayat penilaian : Kesan peperangan.
Jika langkah ini tidak diambil, negara di seluruh dunia akan menghadapi masalah atau menerima kesan daripada peperangan tersebut.

Ayat harapan : Kepentingan perpaduan.
Jadi, rakyat harus sedar akan kepentingan perpaduan kerana sekali perpaduan itu runtuh, maka susah untuk mewujudkannya semula.Ingatlah pepatah Melayu yang mengatakan bahawa bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Ayat Penutup: Kesan peperangan
Peperangan merupakan kejadian yang sia-sia kerana peperangan ini tidak membawa kebaikan kepada mana-mana pihak seperti yang terungkap dalam pepatah Melayu kalah jadi abu, menang jadi arang.



FRASA MENARIK YANG BOLEH DIGUNAKAN UNTUK MENULIS KARANGAN
-mendepani realiti baru dunia yang pantas berubah dan berkembang
-mendukung kebenaran yang kita sepakati
-mengamalkan sikap dan perwatakan yang murni
-mengambil langkah sederap
-menghirup udara hasil kemerdekaan
-mengikut acuan sendiri
-mengundang kontroversi
-menjadi cerucuk utama pembangunan
-menjulang negara ke puncak jagat
-menuntut setiap anak watan mengotakan aspirasi
-menyambut gamitan menara impian
-menyebabkan imej negara tercalar
-menyediakan kursus dan latihan yang relevan
-menyembunyikan masalah utama masyarakat
-mereka lebih cenderung kepada keseronokan dan berpeleseran
-mewujudkan masyarakat yang bermaklumat dan berpengetahuan
-milineum baru ini pasti sahaja sarat dengan muatan cabaran reformasi
-muafakat merupakan inti kepada perpaduan
-negara kita akan bersih daripada unsur sosial yang tidak sihat
-nilai keinsanan yang syumul
-nilai-nilai material semakin memberkas dan meluas dalam masyarakat
-pandangan pro dan kontra yang dipaparkan
-pelbagai cabaran yang bakal menghambat
-pelbagai masalah sosial sedang menghinggapi masyarakat
-pembentukan masyarakat sakinah
-pembudayaan ilmu perlu dipupuk dan dibajai oleh generasi muda masa kini
-pendedahan oleh pihak media massa menghangatkan senario ini
-perlu dibaja kembali
-perubahan yang diharap masih belum menjelma
-petanda kehancuran generasi
-pewujudan masyarakat madani-propaganda negatif terhadap negara kita dapat ditepis
-kita perlu mengorak langkah
-kita tidak wajar hanya akur dengan arus yang songsang ini
-komitmen menyeluruh agensi yang terlibat
-kongkongan yang selama ini dianggap membelenggu
-Masalahnya, kita mahu memberi pendapat tetapi tidak rela dikritik
-makmur dari segi ekonomi tetapi muflis nilai kekeluargaan
-mampu mengadunkan satu kombinasi usaha yang cukup padu
-manifestasi kesanggupan bangsa
-manusia bukanlah `haiwan robotik’ yang tidak mempunyai rasa dan jiwa
-masa depan menjanjikan cabaran di luar jangkaan
-masalah putusnya komunikasi dan jurang generasi
-masalah sosial dan susila yang meruncing
-masih terbelenggu dengan cara berfikir yang sempit
-masyarakat yang naif dengan mata kebendaan yang melalaikan
-melangkah dengan seribu kekuatan
-melontarkan soalan yang cukup penting
-melupakan cita-cita yang lebih luhur
-membangunkan generasi yang berketerampilan, bersahsiah mulia dan berilmu
-membebaskan mereka daripada belenggu kejahilan dan kegelapan
-membenam budaya hedonistik yang tidak berfaedah
-membetulkan ketidaktepatan fakta
-membimbing mereka memenuhi impian
-membina impian masa depan yang lebih gemilang
-membongkar kepincangan
-membuktikan sensitiviti, kepekaan dan keprihatinan mereka
-mempengaruhi minda generasi muda
-mempertahankan perasaan saling bersefahaman
-mempertingkat dan memperteguh kefahaman
-mempraktikkan elemen tolak ansur
-memudaratkan kesejahteraan rakyat
-menabur bakti kepada mereka yang kurang beruntung
-menaburkan nilai kebendaan yang tidak bertahan lama
-menagih komitmen dan pengertian serius semua pihak
-menampilkan wajah baru yang disulami tekad
-menangkis tuduhan yang tidak berasas
-mencapai tahap yang mencemaskan
-mencerminkan dengan jelas akan hakikat ini
-mencerminkan generasi yang muflis dan tercabut daripada akar tradisinya
-mendapat perhatian dan liputan media massa
-mendepani masa depan yang tidak menentu

KATA-KATA HIKMAT DIGUNAKAN DALAM KARANGAN

1. baik kaya ialah kaya hati,sebaik-baik bekal ialah takwa,seburuk-buruk buta ialah buta hati dan    sebesar-besar dosa ialah berdusta.
2. Kecantikan yang abadi terletak pada keelokkan adab dan ketinggian ilmu seseorang,bukan terletak pada wajah dan pakaiannya. (Hamka).
3. Orang yang takut menghadapi kesukaran selamanya tidak akan maju. ~Horne
4. Yang dikatakan kawan bukanlah orang yang sentiasa memuji-muji kamu, tetapi adalah orang yang dapat menunjukkan kesalahan kamu.
5. Kalau hidup ingin merdeka, Tiada tercapai hanya berkata, Ke muka maju sekata, maju kita,elemparkan jauh jiwa hamba. ~Usman Awang
6. "Dan berbuatlah kamu akan kebaikan supaya kamu mendapat kemenangan." ~Surah al-Hajj:77
7. "Maka sifat sabar itu adalah sikap yang baik, dan hanya Allah sajalah tempat meminta pertolongan" ~Surah Yusuf:18
8. Berunding cerdik dengan pandai, faham dua menjadi satu.
9. Yang paling kita perlukan dalam kehidupan ialah adanya seseorang yang selalu memberi semangat untuk melaksanakan hal-hal yang dapat kita kerjakan. ~Davey John Schwartz
10. "Peristiwa itu memberi pengajaran kepada saya mengenai bagaimana guru besar perlu bersikap profesional dan tidak menggunakan emosi dalam melakukan tindakan."~Tengku Habsah Tengku Petera (Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan)
11. "Satu perkara yang menakutkan saya pada masa ini ialah peningkatan gejala rasuah.Secara umumnya, lebih tinggi rasuah yang ada, lebih kurang kemerdekaan yang dimiliki." ~Profesor Diraja Ungku Aziz
12. Sabar penghilang penat, tekun pembawa dekat.
13. Lebih berharga mutiara sebutir daripada pasir sepantai.
14. Terbang bangau sepanjang hari, ke tasik jua akhirnya dicari.
15. Biar kamu tidak cantik di mata penduduk bumi tetapi namamu menjadi perbualan penduduk langit.
16. Siapa yang banyak bicara, banyak pula salahnya; siapa yang banyak salah, hilanglah harga dirinya; siapa yang hilang harga dirinya, bererti dia tidak warak; sedangkan orang yang tidak warak itu bererti hatinya mati. ~ Saidina Ali Abu Talib
17. Sabda Rasulullah s.a.w: "Akhlak yang buruk merosakkan amal seperti cuka merosakkan madu."
18. Kita sering mengimbas kembali kenangan lalu tetapi jarang sekali berusaha untuk mengejar impian hari esok.
19. Manusia yang berbuat baik dengan mengharapkan sesuatu balasan bukanlah manusia yang jujur.Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat, asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh dengan agama Allah. (surah Al-Baqarah:214)
20. Kekitaan yang erat tiada yang berat.
21. Belajarlah berdiri dahulu sebelum cuba untuk berlari.
22. Orang bakhil tidak akan terlepas daripada salah satu daripada empat sifat yang membinasakan iaitu; dia akan mati dan hartanya akan diambil warisnya, lalu dibelanjakan bukan pada tempatnya atau; hartanya akan diambil secara paksa oleh penguasa yang zalim atau; hartanya menjadi rebutan orang-orang jahat dan akan
digunakan untuk kejahatan atau; adakalanya harta itu akan dicuri dan digunakan untuk berfoya-foya. - Saidina Abu Bakar
 23. Kekayaan yang hilang boleh dikejar dengan usaha yang bersungguh-sungguh.Kesihatan yang hilang boleh diperolehi dengan ubat-ubatan yang baik tetapi masa yang hilang sekali hilang akan terus hilang.
24. Jadilah seperti pohon kayu yang berbuah lebat, dibaling dengan batu dibalas dengan buah.
25. Tunjuk menjadi telaga budi, ajar menjadi suluh hati.

17 April, 2012

Teknik Menulis Rumusan Karangan SPM


Merumus Karangan merupakan satu soalan wajib untuk dijawab di peringkat SPM kertas Bahasa Malaysia II. Pelajar atau calon-calon SPM perlu peka dan bersedia untuk menjawab soalan rumusan yang berdasarkan kepada satu petikan. Petikan yang dikemukakan biasanya adalah berkaitan dengan isu-isu semasa. Pelajar dan calon-calon SPM perlu dapat menguasai teknik penulisan merumus karangan. Justeru, berikut dicadangkan beberapa teknik untuk menulis rumusan karangan untuk kebaikan dan manfaat para pelajar dan calon-calon SPM.

A. MENULIS PENGENALAN:
1. Tulis dan ubah perkataan daripada kunci kata soalan pertama sahaja. (tidak boleh ada perkataan ‘dan’ dalam pengenalan.
2. Mengubah maksud perkataan kunci kata pertama soalan:
* faktor = punca = sebab = penyebab = perkara yang mempengaruhi
* langkah = inisiatif = cara = kaedah = tindakan
* kesan = implikasi = kebaikan = keburukan = kesan positif = kesan negatif
* ciri = sifat = bentuk
* masalah = halangan = cabaran = kekangan

3. Contoh:
1. Rumuskan langkah-langkah mengatasi hakisan tanah dan faedahnya kepada masyarakat.

Pengenalan rumusan :
Rencana membincangkan cara-cara mengatasi hakisan tanah.

2. Buat satu rumusan tentang faktor yang menyebabkan berlakunya banjir kilat di kawasan Bandar dan implikasinya kepada pembangunan di kawasan Bandar tersebut.

Pengenalan rumusan :
Petikan membincangkan punca-punca yang menyebabkan berlakunya banjir kilat di kawasan Bandar.

3. Rumuskan ciri-ciri yang terdapat di dalam diri seorang pelajar cemerlang dan langkah melahirkan pelajar cemerlang. Panjang rumusan hendaklah tidak lebih 120 patah perkataan.

Pengenalan rumusan :
Rencana membincangkan sifat-sifat yang terdapat di dalam diri seorang pelajar cemerlang.

4. Baca petikan di bawah dan buat satu rumusan tentang kepentingan sektor pertanian kepada Negara kita dan langkah untuk memajukan sektor pertanian negara. Panjang karangan mestilah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Pengenalan rumusan :
Rencana tersebut membincangkan faedah sektor pertanian kepada Negara.

5. Buat satu rumusan tentang keburukan makanan ringan kepada kanak-kanak dan cara-cara untuk mencegahnya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Pengenalan rumusan :
Rencana tersebut membincangkan kesan negatif makanan ringan kepada kanak-kanak.


B. MENULIS ISI TERSURAT:
1. Isi jawapan berdasarkan kunci kata soalan yang pertama. (gunakan kunci kata dalam soalan. Jangan ubah)
2. Isi hanya yang terdapat dalam petikan sahaja.
3. Beri maksimum 6 isi. (Jumlah isi tersurat dan tersirat ialah 8 isi)
4. Jika kurang isi tersurat, jangan panik. Tambah isi tersirat anda.
5. Jika jumlah perkataan masih kurang 120 perkataan, anda digalakkan tambah isi tersurat.
6. Pastikan maksimum 2 isi dalam satu ayat. SEBAIK-BAIKNYA 1 isi dalam I ayat.
7. Gunakan penanda wacana untuk menggabungkan setiap ayat.

8. Contoh penggunaan ayat:

Contoh 1: Rumusan yang baik.(Katakanlah faktor banjir kilat)

-Faktor utama yang menyebabkan banjir kilat ialah keadaan longkang yang tersumbat.
-Selain itu, faktor yang lain termasuklah kurangnya kadar serapan air di kawasan bandar.
-Sementara itu, hujan lebat yang berterusan juga turut menjadi faktor fenomena tersebut.
-Terdapat juga faktor kurangnya sistem perangkap sampah di kawasan sungai berhampiran.
-Di samping itu, kekurangan tumbuhan di bandar menyebabkan banjir kilat terjadi.
-Faktor penyebab yang terakhir ialah hakisan tanah yang dihasilkan oleh pembinaan di Bandar.

Contoh 2 : Rumusan kurang baik. (akan ditolak 1 markah bahasa)

-Faktor pertama yang menyebabkan banjir kilat ialah keadaan longkang yang sempit.
-Faktor kedua ialah kurangnya kadar serapan di kawasan bandar.
-Faktor ketiga ialah hujan lebat yang berterusan di bandar.
-Faktor keempat ialah kekurangan tumbuhan di bandar.
-Faktor terakhir ialah hakisan tanah dari kawasan pembinaan.

9. JANGAN gunakan perkataan ‘harus/ patut/ mesti/ wajib/ hendaklah/ wajarlah’ dan lain-lain yang berbentuk cadangan. (Tiada markah diberi jika perkataan ini digunakan)
Salah : Langkah mengatasinya ialah kerajaan harus menguatkuasakankan undang-undang.
Sepatutnya : Langkah mengatasinya ialah kerajaan menguatkuasakan undang-undang.

Salah : Selain itu, kerajaan harus mengenakan denda yang tinggi kepada pesalah trafik.
Sepatutnya : Selain itu kerajaan mengenakan denda yang tinggi kepada pesalah trafik.

10. Contoh :
Contoh 1 :Rumuskan faktor kemalangan jalan raya dan langkah mengatasinya.


"Kemalangan jalan raya kerap berlaku di lebuh raya. Hal ini telah banyak menyebabkan kehilangan nyawa dan kerugian harta benda. Kejadian seperti ini perlu dibendung dan sikap orang ramai menjadikan jalan raya sebagai tempat berlumba-lumba harus disekat. "

Isi tersurat :
-Faktor yang menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya ialah sikap orang ramai menjadikan jalan raya sebagai tempat berlumba-lumba.

Contoh 2 : Rumuskan kesan-kesan kemajuan teknologi kepada negara dan masalah yang dihadapi.

"Banyak kemajuan tercapai apabila manusia memperkenalkan sains dan teknologi. Pelbagai jenis ciptaan turut dihasilkan sehingga menyebabkan tugas yang dilaksanakan oleh orang ramai menjadi lebih mudah."

Isi tersurat :
- Selain itu, kesan kemajuan teknologi kepada negara ialah tugas yang dijalankan oleh orang ramai menjadi lebih mudah.

Contoh 3 : Rumuskan ciri-ciri tanaman kontan di negara kita dan kepentingannya.

"Antara tanaman kontan tersebut termasuklah getah dan kelapa sawit. Tanaman ini banyak ditanam di sini kerana tanah lateritnya yang subur. Hasil tanaman ini adalah digunakan untuk jualan yang memberi keuntungan kepada negara."

Isi tersurat :
- Ciri-ciri pertanian kontan yang lain termasuklah digunakan sebagai jualan bagi memberi keuntungan kepada negara.

Contoh 4 : Rumuskan kesan negatif kafe siber dalam kalangan remaja dan langkah mengatasinya.

"Umum mengetahui perkembangan kafe siber begitu pesat sehingga seperti cendawan tumbuh. Banyak pihak berpendapat bahawa perkembangan ini amat wajar bagi meningkatkan kemajuan IT dalam kalangan penduduk. Namun segelintir kecil menentangnya dengan alasan bahawa tempat ini akan menjadi tempat berkembangnya gejala sosial dalam kalangan remaja. "

Isi tersurat :
- Kesan negatif yang terakhir ialah kafe siber akan menjadi tempat berkembangnya masalah sosial dalam kalangan masyarakat.


C. MENULIS ISI TERSIRAT:
1. Berdasarkan kunci kata soalan yang kedua.
2. Isi bahagian ini perlu anda fikir sendiri dan bukan diambil dari petikan juga.
3. Jika isi tersirat yang anda fikirkan sudah ada dalam petikan juga, jangan ambil sebagai isi anda.
4. Penggunaan ayat dan penanda wacana adalah sama dengan isi tersurat.
5. Jumlah minimum ialah 2 isi tetapi jika isi tersurat kurang, bahagian isi ini perlu ditambah.
6. JANGAN gunakan perkataan ‘harus/ patut/ mesti/ wajib/ hendaklah/ wajarlah’ dan lain-lain yang berbentuk cadangan. (Tiada markah diberi jika perkataan ini digunakan)

7. Contoh :
Contoh 1 : Rumuskan kesan-kesan kemajuan teknologi kepada negara dan masalah yang dihadapi.

"Banyak kemajuan tercapai apabila manusia memperkenalkan sains dan teknologi. Pelbagai jenis ciptaan turut dihasilkan sehingga menyebabkan tugas yang dilaksanakan oleh orang ramai menjadi lebih mudah."

Isi tersirat :
- Masalah yang dihadapi dalam menyebarkan kemajuan teknologi ialah kekurangan pakar yang mampu memberi perkhidmatan dalam bidang ini kerana masih baru di negara kita.

Contoh 2 : Rumusan tentang kepentingan sektor pertanian kepada negara kita dan langkah untuk memajukannya.

Isi tersirat :
-Langkah untuk memajukan sektor pertanian yang seterusnya ialah kerajaan memberi kemudahan subsidi baja kepada para petani.

Contoh 3 : Rumuskan faktor kemalangan jalan raya dan langkah mengatasinya.

"Kemalangan jalan raya kerap berlaku di lebuh raya. Hal ini telah banyak menyebabkan kehilangan nyawa dan kerugian harta benda. Kejadian seperti ini perlu dibendung dan sikap orang ramai menjadikan jalan raya sebagai tempat berlumba-lumba harus disekat."

Isi tersirat :
- Langkah mengatasi kemalangan jalan raya yang terakhir adalah dengan menguatkuasakan undang-undang jalan raya kepada pemandu yang menyalahi peraturan di jalan raya.

Contoh 4 : Rumusan tentang keburukan makanan ringan kepada kanak-kanak dan cara-cara untuk mencegahnya.

Isi tersirat :
- Untuk mengatasi masalah ini, langkah lain ialah ibu bapa memberi didikan agar anak-anak memilih makanan yang seimbang.


D. MENULIS PENUTUP / ULASAN:
1. 3 aspek perlu ditulis iaitu:
i. siapa bertindak ii. apa tindakan iii. tujuan tindakan
2. Ayat mesti mengandungi perkataan berikut:
i. Kesimpulannya / Oleh itu / Justeru / Maka / Jadi
ii. harus / patutlah / mestilah / wajarlah / harus / patut
iii. supaya / agar
3. Ayat seharusnya berbunyi begini :

Contoh 1 :
Kesimpulannya, (siapa bertindak) harus (apa tindakan) agar (tujuan tindakan).

Contoh 2 :
Oleh itu, (siapa bertindak) harus (apa tindakan) agar (tujuan tindakan).

4. Contoh jawapan ulasan rumusan anda:
Contoh 1 :
Rumuskan faktor penyalahgunaan dadah dan langkah membanterasnya.

Ulasan rumusan:
Kesimpulannya, kerajaan dan masyarakat harus berganding bahu agar masalah penyalahgunaan dadah dapat diatasi.

Contoh 2 :
Buat rumusan tentang ciri makanan seimbang dan kebaikan makanan tersebut.

Ulasan rumusan:
Oleh itu, ibu bapa harus mendidik anak-anak mereka agar bijak memilih makanan yang seimbang.

Contoh 3 :
Rumuskan inisiatif untuk menggalakkan pelajar membaca dan masalah yang dihadapi.


Ulasan rumusan:
Oleh hal yang demikian, para pelajar patut bijak memilih buku yang dibaca agar mendapat pengetahuan yang berfaedah.

Contoh 4 :
Rumuskan faedah penggunaan Bahasa Inggeris dalam sains dan matematik serta permasalahannya.


Ulasan rumusan:
Kesimpulannya, para pelajar haruslah menggunakan bahasa Inggeris dalam pembelajaran mata pelajaran tersebut agar mutu bahasa Inggeris mereka dapat dipertingkatkan.