| MAKSUD | ||
| Peradaban zaman semakin berlalu dan meninggalkan kesan kepada masyarakat. Adat tradisi nenek moyang mempunyai nilai murni yang tinggi dari aspek keindahan budayanya. Budaya tradisi ini mulia dan sesuai untuk dijadikan bahan kajian. Sikap gadis timur yang penuh kesopanan dan sang teruna yang mempunyai pegangan agama yang sangat sepadan untuk digandingkan bersama di atas pelamin. Namun kini perubahan zaman telah memberi kesan dalam kehidupan masyarakat. Kini gadis yang bersopan santun amat sedikit dan lelaki yang kuat pegangan agama dan nilai ketimuran mulai lenyap ditelan arus globalisasi. Golongan tua kini berasa malu dengan sikap anak muda yang suka berkelakuan tidak sopan di tempat awam tanpa segan silu. Sehinggakan ada sesetengahnyayang melampaui batasan agama. | ||
| TEMA | ||
| Perubahan adat tradisi akibat arus modenisasi. | ||
| PERSOALAN | ||
| 1 | Adat ketimuran yang tinggi nilainya. Adat timur amat indah dan mulia dalam kehidupan masyarakat terdahulu | |
| 2 | Pergaulan bebas dalam kalangan anak muda. Pada hari ini anak muda bergaul bebas tanpa rasa malu. | |
| 3 | Perasaan kecewa golongan tua terhadap generasi muda. Golongan tua berasa sangat kecewa dan sedih apabila melihat budaya kuning yang menjadi ikutan dan sanjungan. | |
| 4 | Pegangan agama yang kuat dapat mengelakkan unsur-unsur negatif. Gadis yang mempunyai pegangan agama mampu mengelakkan diri daripada perbuatan yang negatif seperti pergaulan bebas. | |
| BENTUK | ||
| 1 | Sajak ini terdiri dari 1 rangkap. | |
| 2 | Panjang pendek baris tidak sama dengan jumlah perkataan yang tidak terkawal. | |
| 3 | Terdiri daripada 4 – 13 suku kata. | |
| 4 | Sajak berbentuk bebas. | |
| NADA | ||
| Melankolik. | ||
| GAYA BAHASA | ||
| 1 | Pemilihan kata atau diksinya indah. | |
| Contoh : warak si teruna jadi ikatan | ||
| 2 | Aliterasi :pengulangan konsonan l | |
| Contoh : terlalu mulia apabila diselidik (rangkap 1,baris 4) | ||
| 3 | Asonansi :pengulangan vokal a | |
| Contoh : sama cantik sama padan | ||
| 4 | Metafora | |
| Contoh : si tua berduka lara (rangkap 1, baris 16) | ||
| 5 | Anafora | |
| Contoh : terlalu indah apabila dipandang (rangkap 1, baris 3) Terlalu mulia apabila diselidik (rangkap 1, baris 4) | ||
| 6 | Inversi | |
| Contoh : adat sezaman ditinggal jauh (rangkap 1, baris 4) Adat agama dipandang remeh (rangkap 1, baris 21) | ||
| NILAI | ||
| 1 | ketinggian budi bahasa. Pada masa dahulu anak gadis dan teruna mempunyai budi pekerti yang tinggi. | |
| 2 | ketakwaan. Ketakwaan pada ajaran agama mampu menghindarkan seseorang itu daripada melakukan perbuatan yang melampaui batas agama. | |
| 3 | Jati diri. Gadis yang mempunyai jati diri pasti akan menjunjung adat ketimuran. | |
| PENGAJARAN | ||
| 1 | Kita hendaklah mengikut adat dan berpegang teguh kepada ajaran agama. Adat dan agama mampu menjadi panduan untuk mengekang masyarakat daripada melakukan perkra yang melanggar norma-norma hidup. | |
| 2 | Kita hendaklah mempunyai nilai jati diri yang utuh. Sekiranya remaja mempunyai nilai jati diri yang tinggi, mereka pasti akan menjunjung adat ketimuran. | |
| 3 | Kita hendaklah bijak memilih pasangan. Seseorang yang rasional akan memilih pasangan yang berpegang teguh kepada ajaran agama supaya terhindar daripada pergaulan bebas. | |
28 September, 2011
Sajak Adat Sezaman (T4)
Ayat Pasif
Ayat pasif terbentuk apabila objek dalam ayat pasif transitif bertugas sebagai subjek, contohnya seperti ayat di bawah ini.
Saya sudah melaksanakan kerja itu semalam. (Ayat aktif= pelaku sebagai subjek)
Objek
Kerja itu sudah saya laksanakan semalam. (Ayat Pasif=objek sebagai subjek)
Subjek
Jenis-jenis Ayat Pasif
Terbahagi kepada:
1. Ayat pasif dengan kata ganti nama diri pertama dan kedua.
2. Ayat pasif dengan kata ganti diri ketiga.
3. Ayat pasif berimbuhan ‘ber...- dan ‘ke-...-an’
4. Ayat pasif berimbuhan ‘ter-...’
5. Ayat pasif dengan perkataan ‘kena’ yang hadir sebelum kata kerja.
1. Ayat pasif dengan kata ganti nama diri pertama dan kedua.
Kata ganti nama orang pertama dan kedua tidak boleh menerima kata kerja pasif berimbuhan ‘di-‘. Oleh itu, kata ganti nama diri orang pertama (aku, saya, kami, kita, patik, hamba) dan kata ganti nama orang kedua (anda, awak, engkau, kamu, kalian) haruslah berada di hadapan kata kerja (tanpa imbuhan ‘di’).
Contoh:
Kerja itu sudah saya laksanakan semalam (√) – ayat pasif
Kerja itu sudah dilaksanakan oleh saya semalam. (X)
(Saya sudah melaksanakan kerja itu semalam. – ayat aktif transitif)
Rumah itu telah kami cat bersama-sama. (√)
Rumah itu telah dicat oleh kami bersama-sama. (X)
(Kami telah mengecat rumah itu bersama-sama. – ayat aktif transitif)
Cerita seram itu telah kalian dengar. (√)
Cerita seram itu telah didengar oleh kalian. (X)
(Kalian telah mendengar cerita seram itu. – ayat aktif transitif)
Hutang itu mesti engkau jelaskan esok. (√)
Hutang itu mesti dijelaskan oleh engkau esok. (X)
(Engkau mesti menjelaskan hutang itu esok.- ayat aktif transitif)
*Walau bagaimanapun, kata kerja berimbuhan ‘ter’ boleh menerima kata sendi ‘oleh’ yang diikuti kata ganti nama diri pertama dan kata ganti nama diri kedua. Contohnya seperti ayat di bawah ini.
Meja yang besar itu terangkat oleh saya. (√)
Nota:
Ayat pasif dengan kata ganti nama diri pertama dan kata ganti nama diri kedua mesti ditulis bersebelahan dengan kata kerja pasif tanpa imbuhan awalan ‘di’ (hukum aneksi persona). Kesalahan berlaku jika kata-kata lain seperti kata bantu (telah, perlu, sudah, akan dll.) disisipkan antara pelaku dengan kata kerja pasif.
Contoh:
Kereta itu awak harus pandu. (X)
Kereta itu harus awak pandu. (√)
Kerja itu kami sedang siapkan. (X)
Kerja itu sedang kami siapkan. (√)
Tuan Pengetua saya akan temui esok. (X)
Tuan Pengetua akan saya temui esok. (√)
2. Ayat pasif dengan kata ganti nama diri ketiga (termasuk pelaku = kata nama khas dan kata nama am).
Kata kerjanya mengandungi imbuhan kata kerjapasif ‘di-’
Contoh:
Motosikal itu telah ditunggang oleh Rahim kelmarin. (√)
Motosikal itu telah Rahim tunggang kelmarin. (X)
Kerusi dan meja itu sudah disusun oleh murid kelas 3A pagi tadi. (√)
Kerusi dan meja itu sudah murid kelas 3A susun pagi tadi. (X)
Bola itu ditendang oleh Helmi dengan kaki kiri. (√)
Bola itu ditendang dengan kaki kiri oleh Helmi. (√)
Bola itu ditendang dengan kaki kiri Helmi. (X)
Bola itu Helmi tendang dengan kaki kiri. (X)
Nota : Kata sendi ‘oleh’ boleh digugurkan jika tidak menjejaskan makna.
Contoh:
Motosikal itu telah ditunggang Rahim kelmarin. (√)
Kerusi dan meja itu disusun pengawas sekolah pagi tadi. (√)
Perhatian : Jika kata sendi ‘oleh’ terletak jauh daripada kata kerja, maka ‘oleh’ tidak boleh digugurkan kerana akan menjejaskan makna ayat.
Contoh:
Motosikal itu telah ditunggang kelmarin oleh Rahim. (√)
Motosikal itu telah ditunggang kelmarin Rahim. (X)
3. Ayat pasif berimbuhan (ber-.., dan ke-...-an)
Contoh:
Baju Raju belum bercuci lagi (belum dicuci).
Kumisnya itu belum bercukur (belum dicukur).
Seluruh dunia kegemparan oleh serangan Amerika itu (ditimpa rasa gempar).
Rumah Pak Abu kecurian petang semalam. (ditimpa kejadian curi)
Aminah kehujanan ketika pulang dari sekolah (ditimpa hujan)
4. Ayat pasif berimbuhan ‘ter-...’
(a) sudah di-
terasing = sudah diasingkan
terhasil = sudah dihasilkan
(b) keupayaan atau kemampuan
Novel yang tebal itu tidak terbaca oleh saya.
Batu yang besar itu tidak terangkat oleh mereka.
Gunung Ledang yang terkenal dengan legendanya terdaki oleh kami.
(c) Imbuhan awalan ‘ter’ yang membawa maksud ‘tidak sengaja’ (juga digunakan dalam ayat aktif transitif)
terbawa = tidak sengaja membawa / dibawa
tersepak = tidak sengaja menyepak / disepak
tertembak = tidak sengaja menembak / ditembak
Contoh ayat: Pemburu itu tertembak rakannya sendiri (ayat aktif transitif)
Rakannya sendiri tertembak oleh pemburu itu. (ayat pasif)
5. Ayat pasif dengan perkataan ‘kena’.
Ayat pasif jenis ini mengandungi perkataan ‘kena’ di hadapan kata kerja dasar yang tidak menerima imbuhan awalan.
Contoh:
Anak ahli korporat itu kena culik.
Budak nakal itu kena rotan oleh bapanya.
Pencuri itu kena tangkap oleh polis.
Ah Chong kena kejar oleh anjing.
6. Ayat pasif yang mempunyai DUA objek
Contoh : (1) Upin membelikan Ipin sebatang pembaris (ayat aktif)
(objek tepat) (objek sipi)
(2) Upin menghadiahi Ipin sebuah buku (ayat aktif)
(objek tepat) (objek sipi)
Nota: Apabila ayat di atas dipasifkan hanya objek tepat sahaja yang bertugas sebagai subjek dalam ayat. Jika objek sipi yang dibawa ke hadapan (bertugas sebagai subjek) ayat itu dianggap tidak gramatis.
Contoh:
(1a) Ipin dibelikan sebatang pembaris oleh Upin (√)
Sebatang pembaris dibelikan kepada Ipin oleh Upin. (X)
(2a) Ipin dihadiahi sebuah buku oleh Upin. (√)
Sebuah buku dihadiahi oleh Upin kepada Ipin. (X)
Susunan Ayat Songsang
Susunan biasa ayat dalam bahasa Melayu ialah subjek + predikat. Ayat songsang pula terbentuk daripada proses transformasi ayat biasa. (subjek + predikat) . Penyongsangan dapat dilakukan melalui proses pendepanan bertujuan memberikan penegasan kepada predikat.
Pendepanan seluruh predikat.
Cikgu Hanif / berfikiran kreatif. (susunan biasa)
Berfikiran kreatif / Cikgu Hanif. (susunan songsang)
Proses pendepanan berlaku juga pada ayat yang mengandungi kata penegas. (-lah, -tah, dan –kah)
Ibu saya / dia. (susunan biasa – ibu saya sebagai subjek)
Dialah / ibu saya. (susunan songsang)
Dia / ibu saya. (X = dari segi susunan ayat songsang. Ayat ini gramatis dalam ayat susunan biasa tetapi subjeknya ‘Dia’)
Pendepanan sebahagian daripada predikat.
(a) Pendepanan Frasa Kerja
i. Pendepanan kata kerja:
Ramli bekerja setiap hari. (susunan biasa)
Bekerja setiap hari Ramli. (susunan songsang)
ii. Pendepanan frasa kerja dengan objek.
Zaleha membaca buku. (susunan biasa)
Membaca buku Zaleha. (susunan songsang)
iii. Pendepanan kata kerja dengan kata bantu.
Murid-murid itu masih makan. (susunan biasa)
Masih makan murid-murid itu. (susunan songsang)
b) Pendepanan Frasa Adjektif
i. Pendepanan kata adjektif sahaja.
Ramli rajin. (susunan biasa)
Rajin Ramli. (susunan songsang)
ii. Pendepanan kata adjektif dengan kata bantu.
Rumah Kak Zue masih teguh. (susunan biasa)
Masih teguh rumah Kak Zue. (susunan songsang)
iii. Pendepanan kata adjektif dengan kata penguat.
Encik Zaidi sangat segak. (susunan biasa)
Sangat segak Encik Zaidi. (susunan songsang)
iv. Pendepanan kata adjektif, kata bantu dengan kata penguat
Haji Nasser masih segak amat. (susunan biasa)
Masih segak amat haji Nasser. (susunan songsang)
c) Pendepanan Frasa Sendi Nama
i. Frasa sendi nama sebagai predikat.
Rantai emas itu untuk ibu. (susunan biasa)
Untuk ibu rantai emas itu. (susunan songsang)
ii. Frasa sendi nama sebagai keterangan dalam predikat.
Penonton-penonton merempuh masuk ke dalam dewan. (susunan biasa)
Ke dalam dewan penonton-penonton merempuh masuk. (susunan songsang)
FORMULA AYAT SONGSANG.
Ayat biasa:
Dia / membeli buku di kedai itu.
Cara Songsangan Ayat:
Nomborkan penggalan ayat.
| 1 | 2 | 3 | |
| Dia | membeli | buku | di kedai itu. |
| KGND - Ketiga | Frasa Kerja Transitif | Objek | Frasa Keterangan |
| Subjek | Predikat | ||
FORMULA:
Ayat Biasa : 1+2+3
Ayat songsang:
i. 2+3+1
ii. 2+1+3
iii. 3+1+2
iv. 3+2+1
Ayat Biasa:
| 1 | 2 | 3 |
| Dia | membeli buku | di kedai itu. |
Contoh ayat songsang (i)
| 2 | 3 | 1 |
| Membeli buku | di kedai itu | dia |
Contoh ayat songsang (ii)
| 2 | 1 | 3 |
| Membeli buku | dia | di kedai itu |
Contoh ayat songsang (iii)
| 3 | 1 | 2 |
| Di kedai itu | dia | membeli buku |
Contoh ayat songsang (iv)
| 3 | 2 | 1 |
| Di kedai itu | membeli buku | dia |
Subscribe to:
Posts (Atom)