23 September, 2009
Malam Rayo Keduak
19 September, 2009
Malam Hari Raya
13 September, 2009
Pemandangan Dari Kediamanku [Tingkat 21, Kondominium Villa Putera ]
Aktiviti-Aktiviti Bersama Rakan Serumah
Sesi mendengar taklimat di Bahagian Perkembangan Kurikulum,Kementerian Pelajaran Malaysia, Putrajaya
...duduk bersebelahan Wan Mohd Faizal
Jalan-jalan Hujung Minggu Ke Bandar Seremban
Release tension....
Malam-Malam Penghujung....
Untuk anak isteri....aku berbelanja besar sikit...bukan ape...sayang bini dan anak katakan....raye setahun sekali. Sape tak sayang bini..oi...!!! Kawan sebelah aku tu...tujuh cadar tilam dia beli....jelouse i.....!!!! katenye...setiap hari nak tukar cadar sebab jarang balik kampung....!!!
Ape pun same-samelah berbahagia di hari raye ini....kerana aku balik awal sikit setelah dapat pelepasan dari pengarah. Aku balik pagi rabu ni...students yang lain balik khamis....
Kepada semua....selamat hari raya....maaf zahir batin....
05 September, 2009
Amalan Pengajaran Pembelajaran Yang Bermakna Dan Berkesan
Pengenalan
Pengajaran merupakan satu proses aktiviti yang khususnya disusun untuk membawa perubahan kepada pelajar. Sebagai seorang guru, banyak amalan perlu dilakukan agar pengajaran dan pemebalajaran di dalam kelas menjadi berkesan dan bermakna kepada pelajar. Suasana pembelajaran dan pengajaran guru akan menjadi hambar dan tidak bermakna kepada pelajar sekiranya mutu pengajaran dan pembelajaran tidak berada pada tahap yang memuaskan. Ini adalah kerana pengajaran dan pembelajaran adalah satu proses menyampaikan ilmu pengetahuan. Justeru, amalan pengajaran dan pembelajaran yang sempurna dan menyakinkan perlu disusun dengan mengutamakan objektif secara jelas, tepat serta mudah difahami. Strategi pengajaran dan pembelajaran perlu dirancang dengan sebaik mungkin supaya matlamat pengajaran tercapai malah pelajar dan guru akan sama-sama berasakan puas setelah tamat satu-satu sesi pengajaran pembelajaran. Sebagai seorang guru, berikut dihuraikan sepuluh cadangan amalan bermakna dan berkesan dalam proses penyampaian pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Cadangan ini adalah berdasarkan pengalaman saya yang baru tujuh belas tahun mengajar pada dua peringkat iaitu sebagai guru di sekolah rendah selama lapan tahun dan di sekolah menengah selama sembilan tahun. Cadangan-cadangan itu adalah seperti berikut ;
1. Merancang Persediaan Sebelum Mengajar
Sebelum memulakan sesuatu sesi pengajaran pembelajaran saya akan merancang satu persediaan untuk mengajar. Langkah pertama yang lakukan adalah mengenalpasti tajuk yang hendak diajar. Pemilihan tajuk ini boleh dirujuk melalui Huraian Sukatan Pelajaran (HSP) HSP yang dibekalkan kepada kita. Dapatkan HSP ini daripada Ketua Panitia matapelajaran. Setelah itu saya akan menentukan dan menyenaraikan beberapa objektif yang harus dikuasai oleh pelajar saya selepas sesi pengajaran dan pembelajaran nanti. Dalam hal ini saya akan cuba mengambilkira tahap kebolehan pelajar saya agar sesi pengajaran pembelajaran itu akan lebih memudahkan saya dan pelajar yang akan menerima pelajaran itu nanti. Setelah saya dapat menetukan objektif pengajaran, seterusnya saya akan merancang apakah aktiviti-aktiviti yang sesuai dijalankan untuk diserapkan dalam sesi pengajaran pembelajaran saya. Aktiviti-aktiviti tersebut mestilah bersesuaian, menarik, kepelbagaian teknik penyampaian, mempunyai bahan bantu mengajar yang mampu memberansangkan minat pelajar dan tidak menjemukan. Bagi saya sekiranya perancangan aktiviti-aktiviti di atas dapat dilaksanakan, pastinya pengajaran dan pembelajaran yang saya laksanakan untuk matapelajaran berkenaan akan menjadi bermakna dan berkesan kepada pelajar. Saya perlu bertanggungjawab untuk mempastikan pengajaran saya berkesan dan dapat diterima oleh pelajar saya selain mencapai objektif yang saya kehendaki tadi.
2. Proses Pengajaran
Dalam proses menyampaikan ilmu kepada pelajar, saya menyedari bahawa saya harus dapat memainkan peranan sebagai pendidik, pembimbing, pembaru, agen perubahan, teladan, pencari, penyelidik, pengasuh, penasihat, pendorong, kaunselor, pereka, pencerita, pelakon, motivator, pencetus ilham dan idea, pengurus, perancang,pemerhati, penilai, rakan, penguatkuasa peraturan, pemberi petunjuk, ibu atau bapa, saudara, pengasuh dan apa-apa sahaja yang dapat menyenagkan pelajar di dalam kelas. Justeru, langkah pertama yang harus saya laksanakan untuk proses pengajaran ini, saya perjelaskan kepada semua pelajar di dalam kelas berkenaan apakah objektif pengajaran yang saya kehendaki daripada setia pelajar untuk sesi pengajaran pembelajaran pada hari tersebut. Penjelasan awal ini sangat penting untuk membantu pelajar menguasai pelajaran malah membantu saya untuk mencapai objektif pelajaran pada sesi berkenaan. Setelah objektif pengajaran diketahui dan difahami, saya memulakan sesi pengajaran dengan set induksi atau aktiviti pengenalan pengajaran pembelajaran. Sebaiknya dalam set induksi ini saya akan menagitkannya dengan pelajaran-pelajaran yang lepas dan disesuaikan dengan pengalaman sedia ada pelajar. Ini perlu dilakukan untuk menaikkan mood pelajar kepada pelajaran tersebut. Dalam masa yang sama juga saya harus mempersembahkan bahan bantu mengajar agar mood pelajar saya akan berterusan. Sesi set induksi ini jangan terlalu panjang. Sekiranya masa sesi pengajaran pembelajaran itu berlaku untuk tempoh empat puluh minit ( satu masa ) saya akan cuba gunakan lima hingga tujuh minit untuk sesi ini. Tetapi jika masa sesi pengajaran pembelajaran itu berlangsung untuk tempoh lapan puluh minit, saya akan gunakan sepuluh minit untuk set induksi. Kalau masa untuk set induksi terlalu panjang, ia akan membosankan pelajar kerana pelajar akan tertanya-tanya dalam diri mereka kemanakah guru ini hendak membawa saya.
3. Berpakaran Mengurus Kelas
Kelas atau bilik darjah merupakan tempat yang tetap untuk menjalankan sesi pengajaran pembelajaran. Selain daripada pelajar, banyak harta benda yang terdapat di dalam kelas sebagai membantu pelajar untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Antara harta-benda tersebut adalah seperti kerusi meja, papan tulis, gambar-gambar, sudut papan kenyataan, sudut-sudut matapelajaran, alat-alat pembersih seperti penyapu, penyodok sampah, pemadam papan tulis, almari buku, lampu, kipas, suiz elektrik dan sebagainya. Benda-benda ini harus diurus dengan baik. Saya sepatutnya dapat menunjukkan kepada pelajar saya bagaimana saya mengurus benda-benda ini supaya selamat. Tunjukkan cara merekod benda-benda ini. Pamerkan rekod itu di dalam kelas dan maklumkan kepada semua pelajar di dalam kelas itu bahawa menjadi tanggungjawab bersama ini menjaga keselamatan benda-benda ini daripada rosak ataupun hilang. Kelas juga harus ditadbir supaya sentiasa ceria dan kelihatan kondusif. Kedudukan susunan pelajar dan kerusi meja harus dapat mengawal disiplin pelajar agar mereka dapat mengikut sesi pengajaran dengan lancer dan berkesan. Untuk itu , saya harus dapat mempastikan mana-mana pelajar yang lemah atau bijak, berkebolehan atau kurang menguasai, tinggi atau rendah, rabun penglihatan atau sebaliknya, pendiam atau aktif, degil atau penurut arahan dan sebagainya yang berkaitan dengan kemampuan menerima sesuatu pengajaran daripada guru. Saya harus bijak menguruskan kelas kerana saya adalah model ikutan pelajar saya. Sekiranya amalan ini dapat saya lakukan, sesi pengajaran pembelajaran saya di dalam kelas akan menjadi bermakna kepada setiap pelajar. Saya percaya kepada kata-kata cerdik pandai yang mengatakan kelas yang ceria, kondusif dan ditadbir urus dengan baik dan sempurna mampu meningkatkan kecemerlangan akademik dan moral pelajar dan kepercayaan serta keyakinan kepada guru.
4. Memberi Latihan, Penilaian Dan Pentaksiran
Pada akhir sesi pengajaran pemeblajaran di dalam kelas, saya akan memberi latihan dan penilaian kepada pelajar saya. Aspek yang diberikan penekanan ketika membuat latihan ialah kejujuran. Ia adalah sebahagian daripada tanggungjawab dan dilakukan bukan kerana terpaksa atau dipaksa atau melaksanakan sekadar melepas batuk di tangga, tidak menipu dengan cara meniru rakan secara menyalin semula jawapannya, belajar menerima hakikat iaitu menyatakan kemampuan sebenar. Ini membolehkan saya membuat penambahbaikan. Dengan keputusan dari latihan itu, pelajar dapat mendengar nasihat guru dan melaksanakan tugasan dengan baik. Sebaik-baiknya, setiap tajuk yang dipelajari diberikan latihan untuk dilaksanakan di minit-minit terakhir. Sekiranya latihan itu tidak dapat diselesaikan di dalam kelas pelajar boleh menyambung tugasan itu di luar kelas atau di rumah sebagai kerja rumah. Saya akan menggalakkan pelajar menjawab latihan mengikut teknik jawapan yang betul dan jawapan yang dikemukakan itu adalah betul. Saya akan membenarkan pelajar berbincang dengan rakan-rakan sekiranya tidak yakin dengan jawapan yang diberikan itu. Nasihatkan mereka secara ikhlas supaya mereka tidak menyalin terus daripada jawapan rakannya itu. Berikan penekanan bahawa pelajar yang ikhlas dan yakin dengan pekerjaan akan mudah mencapai kejayaan dan keberkatan.
5. Mengadakan Sesi Pemulihan, Pengukuhan dan Pengayaan
Bagi memastikan pencapaian pelajar yang berterusan saya juga akan mengendalikan program pemulihan, pengukuhan dan pengayaan. Program ini boleh dilaksanakan di masa pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Saya akan cuba mengenal pasti pelajar yang masih tidak menguasai tajuk atau bidang berkenaan kemudian diberi pemulihan segera. Sekiranya masa tidak mencukupi, saya akan melanjutkannya di luar bilik darjah iaitu semasa lapang atau di luar waktu persekolahan. Manakala bagi program pengukuhan dan pengayaan, ia akan saya lakukan dari masa ke semasa melalui kelas-kelas tambahan atau tugasan tambahan yang diberikan kepada murid untuk diselesaikan secara individu atau kelompok. Ia lebih intensif dilaksanakan beberapa minggu sebelum peperiksaan semester atau percubaan. Selepas setia kali peperiksaan saya akan membuat analisa keputusan untuk melihat kelemahan dan kekuatan murid kemudian tindakan susulan dijalankan bagi membantu meningkatkan kemahiran.
6. Pemupukan dan Penerapan Nilai
Saya menggunakan pendekatan ini bagi memandu pelajar ke arah menghayati dan mengamalkan nilai-nilai murni serta mengaitkan dengan isu-isu yang berkaitan dengan nilai secara rasional. Adakala nilai-nilai intrinsik dalam beberapa mata pelajaran sama dengan nilai sejagat (universal), misalnya kejujuran dalam melaporkan dapatan fakta dalam buku teks dengan kejujuran dalam urusan hidup harian. Saya yakin nilai intrinsik ini boleh mengukuhkan nilai-nilai murni yang hendak dipupuk. Selain itu saya memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar melalui kandungan sukatan mata pelajaran sejarah seperti yang berlaitan dengan tema kemerdekaan, sewaktu melaksanakan kerja kumpulan, menjalankan kerja projek dan amalan harian yang menjadi budaya sekolah.
7. Amalan Penyoalan Berfokus
Dalam usaha memperkembangkan daya efektif pelajar, saya akan ajukan beberapa soalan-soalan yang sesuai, beraneka dan mencabar supaya proses intelek pelajar sentiasa aktif. Soalan-soalan lebih berfokus kepada inkuiri supaya mereka dapat berfikir untuk memahami konsep, faktor penyebab, membuat perbandingan, membuat ramalan dan menilai. Contohnya dalam mata pelajaran sejarah, pelajar akan mempelajari fakta-fakta tentang kaum-kaum zaman dahulu. Soalan seperti bagaimanakah kehidupan sesuatu kaum pada masa itu, apakah bahasa yang digunakan; apakah kemajuan yang dicapai oleh kaum itu; menggalakkan pelajar berfikir, menimbang sesuatu dan membuat rumusan dengan tepat. Kaedah penyoalan saya bergantung kepada situasi dan menilai pengetahuan sedia ada dalam kalangan pelajar. Ada kala saya meminta pelajar lain memberi rangsangan dalam membantu seseorang pelajar memberi jawapan yang tepat. Saya sentiasa menggalakkan pelajar memberi idea tanpa memperdulikan jawapan itu betul atau salah. Penghargaan dan pengukuhan adalah amalan yang berkesan bagi menarik minat pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
8. Melatih Pelajar Menguasai Kemahiran Belajar
Salah satu perkara yang menjadi amalan saya dalam menyampaikan proses pengajaran pembelajaran ialah memberi penekanan kepada penguasaan kemahiran belajar. Kesannya pelajar akan lebih berdikari dan melahirkan apa yang disebut sebagai kemenjadian murid.. Contohnya saya akan menggalakkan pelajar membuat perbandingan persamaan dan perbezaan, menyatakan idea-idea utama, mengelas atau menyusun fakta dan peristiwa mengikut urutan, mengkaji apa yang telah dipelajari, mengaplikasi konsep, fakta, prinsip dan teori dalam situasi baru bagi menyelesaikan masalah di samping mengenal pasti kekuatan dan kelemahan sesuatu peristiwa untuk ramalan akan datang. Saya juga akan mendedahkan dan melatih mereka dengan kemahiran teknologi maklumat dan penggunaan komputer sepenuhnya dalam pengajaran. Beberapa kumpulan pelajar dibentuk dan terlibat secara langsung membuat bahan bantu belajar di makmal komputer sekolah. Proses belajar bagi mereka telah bertambah iaitu melibatkan pembacaan, mencari dan menulis fakta, membuat persembahan dalam kelas dan mendokumentasi sebagai bahan bantu belajar. Selama saya bertugas dan mengajar pelajar tingkatan empat dan lima, keberkesanan amalan ini terbukti apabila peratus gagal dalam kalangan pelajar amat kecil.
9. Pembelajaran Akses Kendiri
Untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran bermakna, saya juga akan menggunakan kaedah Pembelajaran Akses Kendiri (PAK). Kaedah ini merupakan pendekatan pembelajaran yang memberi akses kepada sumber pembelajaran. Kaedah ini membolehkan pelajar saya mendapat pengetahuan dan kemahiran secara berdikari. Dalam program PAK, pelajar saya akan belajar mengikut minat, keperluan, tahap kemampuan serta gaya pembelajaran mereka. Bagi membolehkan pelajar saya mendapat maklum balas tentang pencapaian dan kemajuan mereka, progran PAK meyediakan pentaksiran kendiri. Dalam P&P ‘Daripada Pelajar Untuk Pelajar’ ini pelajar dikehendaki:
a) Mengenal pasti keperluan mereka
b) Mengenal pasti tahap kebolehan mereka sendiri
c) Menetapkan matlamat pembelajaran sendiri
d) Mengenal pasti masa pembelajaran yang ada
e) Menyediakan pelan pembelajaran yang realistic
10. Mengadakan Aktiviti Kritik Secara Terbuka
Saya juga akan mengadakan aktiviti mengkritik secara terbuka dalam sesi pengajaran pembelajaran. Aktiviti ini selalu dilupakan oleh guru. Kritikan terbuka membabitkan kemahiran pengucapan awam pelajar, dalam matapelajaran kebahasaan seperti Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Pada penghujung kelas, pelajar akan dipilih secara rawak untuk berucap selama 5 minit kepada rakan-rakan sekelas. Pelajar akan diberi satu topik yang mudah untuk dibincangkan seperti apa yang telah diajar sebelum itu, atau mengenai tugasan yang telah diberi. Semasa ucapan pelajar, seorang panel penilai akan memberi markah atas ucapan yang diberi. Pelajar akan diberi markah berdasarkan lima perkara: intonasi dan kejelasan suara, keyakinan diri di khalayak ramai, kelancaran bahasa, penampilan, dan maklum balas terhadap soalan yang diterima. Komen daripada panel penilai akan disampaikan kepada pelajar untuk membaiki kelemahan yang ada. Dengan adanya kaedah kritikan terbuka ini, pelajar mendapat peranan yang lebih aktif di dalam kelas seterusnya menyediakan pelajar saya untuk lebih berkeyakinan berhadapan dengan komuniti yang lebih besar seperti dalam apa-apa pertandingan.. Selain itu, ianya juga dapat membantu meningkatkan kemahiran komunikasi awam di kalangan para pelajar.
Penutup
Sepanjang perkhidmatan saya sebagai seorang guru, saya sangat seronok menjalankan tugas mengajar. Ia satu hobi yang wujud secara tidak langsung dalam diri saya. Dihadapan pelajar kita dapat berlakon dengan pelbagai watak. Kepelbagaian watak ini boleh menimbulkan minat pelajar untuk terus belajar dibawah pengajaran saya. Disamping itu, saya juga cuba untuk melahirkan pelbagai watak dalam diri pelajar saya agar pengajaran pembelajaran itu akan bermakna, harmonis dan memberansangkan berdasarkan gaya pembelajaran pelajar, personality serta kemampuan mereka. Untuk itu, saya akan cuba mempamerkan penampilan diri yang menyakinkan, ceria dengan senyuman dan mengambil berat tentang kebajikan pelajar. Apa yang saya harapkan, amalan-amalan seperti yang telah dijelaskan diatas akan menjadikan pengajaran pembelajaran saya bermakna kepada setiap pelajar yang saya ajari.
23 July, 2009
Pengurusan Kelas Yang Efektif
1.0 Pengenalan.
Mengikut Kamus Dewan (2005) pengurusan bermakna mengurus sesuatu atau perihal mengurus. Ini membawa pengertian yang lebih luas kearah mengendalikan sesuatu agar ia lebih teratur. Dalam kontek pendidikan, pengurusan bilik darjah yang baik boleh menjurus kepada situasi yang lebih baik dan berprosedur sempurna untuk mencapai objektif-objektif aktiviti yang lebih berkesan dan bermakna. Justeru, keadaan fizikal bilik darjah seharusnya menggalakkan proses pembelajaran dan pengajaran. Ia turut merangkumi susun atur kerusi meja pelajar, jadual waktu mata pelajaran dan tugasan, peraturan kelas, kemudahan asas, pencahayaan dan sebagainya.
Dalam pelaksanaan sesuatu kurikulum, terdapat jurang perbezaan diantara perancangan kurikulum dengan realiti yang terdapat dalam bilik darjah (kementerian Pendidikan Malaysia : Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK), 1998:12 ). Jurang ini meliputi kandungan kurikulum, penilaian dan peperiksaan, pendekatan pengajaran dan pembelajaran, penggunaan bahan-bahan kurikulum dan pengurusan kurikulum.
Situasi ini ada hubungkaitnya dengan pengurusan bilik darjah. Menurut Hj. Samsudin Mohd. Nor, pengurusan bilik darjah yang menyeluruh melibatkan pengurusan fizikal, peralatan dan sumber, pengurusan murid (pelanggan), pengurusan organisasi, pengurusan masa dan pengurusan pengajaran dan pembelajaran serta penilaian.
Bagi Hj. Samsudin Mohd.Nor, pengurusan bermaksud satu proses mendapatkan penyertaan, kerjasama, dan campurtangan ahli untuk mencapai objektif-objektif organisasi atau kumpulan, gerakerjanya termasuk proses merancang, mengelola, memimpin, mengarah dan mengawal. Bilik darjah sebagai tempat berlakunya proses pengajaran dan pembelajaran, merupakan tempat yang terpenting di sekolah. Bilik darjah juga merupakan medan perjuangan utama kerjaya seorang guru.
Dalam hal ini kita melihat pengurusan kelas adalah satu proses yang melibatkan penyusunan fizikal kelas yang merangkumi galakan komunikasi, interaksi antara murid, penyusunan kerusi meja serta penjaminan cukupnya cahaya dan udara untuk pengajaran dan pembelajaran yang berkesan (Ee Ah Meng : 1997). Ini penting sebagai faktor penggalak kepada pembangunan kelas. Dengan kata lain, aspek fizikal kelas perlu menekankan aspek-asoek keselamatan, kebersihan, keselesaan, keindahan, susun atur meja, penyediaan fail murid dan penyediaan bahan bantu mengajar guru untuk kemudahan murid. Justeru, sesebuah kelas yang diurus baik dari segi fizikalnya perlulah ceria, murid rasa seronok menghadiri kelas, gejala ponteng dapat dikurangkan dan kelas menarik dan kondusif.
2.0 Objektif
Antara objektif penambahbaikan ini adalah seperti berikut ;
2.1 Meningkatkan motivasi kendiri pelajar-pelajar agar lebih berkeyakinan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
2.2 Mewujudkan suasana kelas yang ceria, kondusif dan selamat bagi pelajar.
2.3 Menjadikan kelas sebagai rumah kedua pelajar dan guru, selaras dengan slogan sekolahku syurgaku.
3.0 Pengisian Penambahbaikan.
Bagi tujuan pengisian penambahbaikan program ini, beberapa perkara perlu difikirkan dan seterusnya dilaksanakan. Perkara-perkara atau langkah-langkah tersebut adalah dicadangkan seperti berikut ;
3.1 Berbincang dengan semua Guru Tingkatan tentang program yang akan dilaksanakan. Ini akan memberi peluang kepada setiap guru yang terlibat agar bersedia dengan apa-apa perkembangan semasa berkaitan dengan penambahbaikan kelas dan sekolah amnya.
3.2 Merangka kerja-kerja panambahbaikan pengurusan kelas sesuai dengan keperluan kelas. Dalam hal ini pengetua harus bijak, kreatif dan berhati-hati memanipulasikan bahan-bahan yang sedia ada di sekolah ataupun mencari sumber kewangan untuk penambahbaikan setiap aspek yang ada kekurangan itu.
3.3 Memantau keberkesanan program dan mempastikan ia adalah selari dengan matlamat dan visi sekolah. Apabila program selari dengan matlamat dan visi sekolah, ini akan menghala kepada sekolah yang efektif dan kecemerlangan untuk semua warga sekolah. Ini sesuai dengan pendapat Abdul Ghani Abdullah dan rakan-rakan (2008:216) bahawa pemimpin perlu mencari pengikut baru dalam usaha mengimplementasikan idea mereka.
4.0 Pelaksanaan.
Bagi tujuan penambahbaikan kelas ini banyak perkara yang perlu difikirkan
sebelum melaksanakannya. Berikut adalah beberapa cadangan yang difikirkan sesuai untuk program penambahbaikan ini.
4.1 Mesyuarat
Sebagai permulaannya, satu mesyuarat kecil perlu diadakan di peringkat pengurusan sekolah. Ia melibatkan semua guru penolong kanan dan ketua bidang. Dalam mesyuarat kecil ini, perlu dijelaskan kepada setiap ahli akan objektif, kumpulan sasaran, keperluan dan apa-apa sahaja yang berkaitan dengan program penambahbaikan ini.
Tujuan mesyuarat di peringkat pengurusan ini diadakan adalah untuk mendengar pendapat-pendapat setiap ahli dalam jawatankuasa pengurusan sekolah agar hala tuju dan objektif asal dapat dimurnikan lagi.
Selepas mesyuarat di peringkat pengurusan dijalankan, barulah mesyuarat yang melibatkan semua guru tingkatan diadakan. Dalam mesyuarat ini perlu dijelaskan objektif program sebagai objektif sepanjang tahun, maklumat-maklumat yang diperlukan untuk disenaraisemak keperluan yang perlu untuk penambahanbaikan, sumber keperluan dan tanggungjawab setiap guru kelas dan pelajar sekolah terutamanya dalam menjaga keselamatan dan menceriakan kelas masing-masing.
Program ini sebaiknya dimaklumkan kepada semua warga sekolah agar mereka akan ada satu rasa sepunya dan sayangkan kepada sekolah sebagai sebuah institusi. Malah ia juga patut disebarluaskan kepada komuniti setempat sebagai usaha menarik minat ibu bapa untuk terlibat sama dalam menjayakan visi dan misi sekolah.
4.2. Menyemak, mencari maklumat tambahan dan mengemaskinikan fail murid.
Sebagai pengetua sekolah, saya akan mengarahkan kepada setiap guru kelas agar menyemak semua fail pelajar dan mengemaskinikannya untuk rekod semasa pelajar. Selain itu, maklumat-maklumat tambahan perlu direkodkan untuk memudahkan dalam apa sahaja urusan pihak sekolah terhadap pelajar berkenaan atau sebaliknya.
4.3 Memantau dan mencatat kekurangan peralatan di dalam kelas.
Pengetua semestinya memantau apa-apa sahaja permasalahan dan kekurangan yang ada dalam setiap kelas untuk diambil tindakan. Selain itu, pengetua juga boleh memohon bantuan dan kerjasama daripada setiap guru kelas untuk menyenaraikan apa sahaja masalah dan kekurangan yang ada untuk penambahbaikan. Mengikut Ayop Jantan (2005:124) menjadi komitmen dan tanggungjawab kepimpinan sekolah memastikan tidak ada bentuk peralatan dan kemudahan yang boleh mendatangkan bahaya ataupun yang dapat digunakan secara bahaya oleh pelajar. Ini termasuk susun atur meja, pasu-pasu bunga, cermin tingkap, papan kenyataan, pokok-pokok bunga yang ditanam sebagai landskap, jeriji pintu dan sebagainya.
4.4 Menceriakan dan menghias kelas.
Pengetua perlu meminta kerjasama setiap guru kelas untuk menceria dan menghiaskan kelas. Jelaskan kepada mereka tentang objektif dan matlamat menceria dan menghiaskan kelas supaya ia tidak tersasar dari objektif sebenar.
Dalam hal ini, sebaiknya guru kelas perlu kreatif dan mendapat kerjasama daripada setiap pelajar bagaimana untuk menceria dan menghiaskan kelas mereka. Malah ia perlu dapat menarik perhatian sepanjang masa.
Untuk menarik perhatian dan semangat semua pelajar, pengetua boleh memutuskan untuk mengadakan pertandingan keceriaan dan kebersihan antara kelas pada setiap bulan sebagai mempastikan tangungjawab setiap guru kelas dan pelajar sentiasa berfungsi sepanjang masa.
4.5 Pemerhatian dan Penyeliaan
Pemerhatian yang dimaksudkan adalah berkaitan dengan pemerhatian untuk setiap bilik darjah. Menurut Zaidatol Akmaliah Lope Pihie, Foo Say Fooi (2003:131) pemerhatian di bilik darjah merupakan prosedur yang paling praktis untuk mengumpul data berkaitan dengan perlakuan guru di bilik darjah. Manakala Hallinger (2003:250) mengatakan para pengetua di sekolah berkesan kerap menyelia pengajaran di dalam bilik darjah dalam peranan mereka sebagai penyelia...Mereka bekerjasama dengan para guru untuk mempastikan agar objektif bilik darjah selaras dengan matlamat sekolah.
Malah James Ang Jit Eng, Balasandran Ramiah (2009:202) mengatakan perkara di atas bersesuaian dengan `Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.3/1987: Penyeliaan Pengajaran Pembelajaran di dalam Kelas oleh Pengetua dan Guru Besar (Lampiran 5.1) menegaskan penyeliaan yang dimaksudkan meliputi bidang berkaitan organisasi dan pengurusan yang menyokong pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di kelas.
5.0 Penutup
Kemahiran seseorang guru dalam pengurusan kelas adalah sangat penting. Ia secara tidak langsung akan meningkatkan motivasi pelajar untuk belajar dengan lebih berkeyakinan. Menurut Ee Ah Meng (1994), pakar-pakar pendidikan telah menjalankan berbagai-bagai penyelidikan dan telah merumuskan bahawa suasana fizikal yang baik akan menjamin kelicinan dan keberkesanan pengajaran-pembelajaran. Antara faktor-faktor fizikal bilik darjah yang dimaksudkan dan perlu diberi perhatian adalah seperti saiz bilik darjah, hiasan, warna dinding, kelengkapan almari buku dan fail murid, sudut-sudut mata pelajaran, langsir tingkap, pencahayaan dan pengudaraan.
Susunan fizikal di dalam kelas boleh memberi sumbangan dari segi kawalan, perhubungan guru dengan murid dan sesama murid di dalam kelas malah mewujudkan keseronokan bekerja bersama-sama untuk mencapai sesuatu visi. Ini sangat sesuai sepertimana menurut Marland (1975), suasana fizikal di dalam bilik darjah mungkin merupakan kawan atau musuh dalam pengajaran.
Kerjasama sesama murid untuk menjaga keselamatan harta benda, kebersihan dan keceriaan di dalam kelas sangat penting. Ia akan mewujudkan semangat kebertanggungjawaban seseorang murid terhadap harta milik bersama malah milik kerajaan sekaligus. Sikap ini perlu disemai dalam diri seseorang murid bagi melahirkan seorang murid ideal.
Pengurusan sesebuah kelas merupakan satu aspek yang tidak boleh dipandang ringan. Pihak Pengurusan Sekolah, guru dan murid harus bersama-sama dapat memainkan peranan masing-masing. Pengurusan kelas yang efisien dan bersistematik pastinya menjurus kepada kecemerlangan akademik dan sahsiah diri semua pengguna kelas berkenaan.