03 October, 2011


Drama : Gelanggang Tok Wali (Ting.4 )

Pemikiran / Tema
Pemikiran drama Tok Wali ialah perjuangan mempertahankan warisan budaya bangsa.Tok Wali mengajarkan ilmu persilatan sejak 50 tahun lalu kepada pemuda-pemudi  kampung. Dia juga mematuhi pantang larang mencari pokok-pokok kayu herba di hutan demi memelihara
warisan hutan tersebut pada masa akan datang.

Persoalan:
1. Persoalan sikap hormat –menghormati dalam kalangan masyarakat terhadap orang yang berilmu Ripin amat menyanjung tinggi Tok Wali yang telah mengajarnya ilmu silat.
2. Persoalan budaya warisan bangsa yang diremehkan. Ada sesetengah penduduk kampung yang mencemuh Tok Wali kerana bersilat dalam majlis perkahwinan.
3. Persoalan masalah penagihan dadah yang sukar dirawat. Piee yang baru keluar dari pusat pemulihan kembali menagih kerana tidak dipantau oleh ibu bapanya.
4. Persoalan perasaan dengki dan khianat.Ada pihak yang dengki kepada Tok Wali lalu menghalau Piee dari majlis perkahwinan di rumah Haji Kodri.
5. Persoalan dendam yang berpanjangan. Siak masih menyimpan perasaan dendam kepada Tok Wali kerana Tok Wali berkahwin dengan bekas tunangnya
6. Persoalan keprihatin dan dalam kalangan masyarakat.Tok Wali merawat orang sakit, menguruskan jenazah dan perkara-perkara lain tanpa meminta sebarang upah.

Plot:
Jenis Plot :
Bersifat kronologi  – peristiwa berkembang mengikut urutan waktu babak demi babak. Walau bagaimanapun terdapat unsur imbas kembali, contohnya sejarah keris yang diwarisi oleh Tok Wali.

Pembinaan Plot:
Terdapat empat peringkat binaan plot iaitu
(i) Permulaan : Pembaca diperkenalkan dengan watak utama iaitu Tok Wali dan watak-watak sampingan iaitu Mak Umi dan Ripin. Tok Wali diundang membuat pertunjukan silat di majlis perkahwinan di rumah Haji Kodri.
(ii) Perkembangan: Tok Siak berkunjung ke rumah Tok Wali dan berjumpa dengan Mak Umi. Mereka berhasrat menasihati Tok Wali agar berhenti bersilat kerana usia Tok Wali telah lanjut dan tidak manis dipandang jika masih lagi bersilat di gelanggang.Tok Wali kesal kerana peranannya tidak lagi dihargai oleh orang-orang kampung. Berlaku pertarungan antara Siak dan Tok Wali kerana Tok Wali telah menampar anak saudara Tok Wali.
(iii) Klimaks: Tok Wali telah ditikam oleh Piee semasa Piee mencuri keris dan biola milik Tok Wali. Tok Wali mati setelah sempat menyerahkan keris kepada Ripin.
(iv)  Peleraian : Berlaku tuduh-menuduh antara Ripin dan Siak tentang pembunuh yang telah menikam Tok Wali.

Teknik Penceritaan:

1. Teknik pemerian : Pengarang menggambarkan ruang hadapan rumah Tok Wali yang dipamer dengan pelbagai jenis senjata lama.
2. Teknik dialog : Sebahagian besar drama disampaikan dalam bentuk dialog antara   watak.
3. Teknik imbas kembali : Tok Wali menceritakan  peristiwa dia menewaskan 4 orang perompak kedai emas.Secara kebetulan dia sedang duduk di bangku kedai emas tersebut.
4. Teknik suspens. Pembaca tertanya-tanya pihak  yang akan menang dalam pertarungan antara Siak dan Tok Wali.

Watak dan Perwatakan
1. Tok Wali
1. Watak utama
2. Nama sebenarnya ialah Wak Raja Waliudin bin Raja Agus.
3. Dia berumur dalam lingkungan 70-an.
4. Dia merupakan guru silat yang membuka gelanggangnya sendiri di halaman rumah.5. Dia merupakan tukang urut, penggali kubur, tok mudim, dan boleh merawat beberapa jenis penyakit. 
6. Dia seorang yang tegas dengan pendirian. Tok Wali tetap mahu bersilat di majlis perkahwinan anak Haji Kodri walaupun dinasihati oleh isterinya, Siak dan Imam.
7. Dia  seorang yang berani. Tok Wali berani bertarung dengan Siak apabila Siak datang menyerangnya.
8. Dia seorang yang pantas bertindak. Tok Wali pantas dan cekap menewaskan perompak yang cuba merompak kedai emas.
9. Dia seorang yang taat akan perintah agama. Tok Wali tidak pernah meninggalkan solat berjemaah di masjid dan rajin menunaikan solat
    sunat.
10. Dia seorang yang suka membantu orang lain. Tok Wali melakukan kerja-kerja kemasyarakatan seperti memandikan jenazah tanpa  meminta upah.

2. Ripin
1. Anak murid Tok Wali
2. Berusia dalam lingkungan 30-an
3. Anak murid yang dipercayai oleh Tok Wali untuk mewarisi kerisnya.
4. Dia seorang yang menghormati orang tua. Ripin sangat menghormati Tok Wali dan bersopan ketika bercakap dengan Tok Wali.
5. Dia seorang yang taat suruhan gurunya. Apabila disuruh oleh Tok Wali mengumpulkan anak-anakmuridnya kerana ada pemberita datang, Ripin patuh akan kehendak Tok Wali
6. Dia seorang pendendam. Ripin mahu menuntut bela atas kematian Tok Wali.

3. Mak Umi
1. Dia ialah isteri Tok Wali.
2. Berusia dalam lingkungan 50-an.
3. Dia mahir ilmu persilatan semasa muda.
4. Dia seorang yang bijak. Mak Umi bijak membalas percakapan Siak dan Imam yang mahu menasihati Tok Wali.
5. Dia seorang yang penyabar. Mak Umi sabar melayan kerenah Tok Wali yang  membidas  kata-katanya.
6. Seorang yang prihatin. Mak Umi mengambil berat tentang Piee yang menjadi penagih dadah.

Latar

Latar masa
1. Pada waktu pagi. Ketika Ripin datang ke rumah Tok Wali.
2. Pada waktu petang. Ketika Tok Wali bersiap sedia hendak pergi ke majlis kenduri di rumah Haji Kodri.
3. Pada waktu malam. Ketika Tok Wali bermain biola dan berbual-bual dengan Mak Umi.

Latar tempat
1. Di rumah Tok Wali. 2 orang pemberita datang menemu ramah  Tok Wali di rumahnya.
2. Di gelanggang silat. Tok Wali bertarung dengan Siak di gelanggang silat.

Latar masyarakat

1. Masyarakat yang mempertahankan warisan bangsa. Tok Wali  mengajarkan ilmu silat supaya dapat diwarisi oleh anak-anak muda
    kampungnya.
2. Masyarakat yang beradab. Tok Wali memenuhi jemputan Haji Kodri   supaya membuat pertunjukan silat di majlis kenduri di rumahnya.
3. Masyarakat yang saling menghormati. Ripin menghormati Tok Wali  kerana memiliki ilmu persilatan dan melayan percakapan Tok Wali dengan sopan.
4. Masyarakat yang hipokrit. Siak menggunakan alasan agama untuk mengurangkan pengaruh Tok Wali di kampung itu.
5. Masyarakat yang tidak berakhlak. Piee menjadi penagih dadah dan sukar dipulihkan lagi.
6. Masyarakat yang taat perintah agama.Tok Wali tidak pernah meninggalkan solat berjemaah di masjid.

Gaya bahasa

1. Penggunaan bahasa Arab : Assalamualaikum  Insya-Allah , Astagfirullahal’azim
2. Bahasa Inggeris : Sorrylah..
3. Bahasa Indonesia  : Bisa copot jantungku
4. Sinkope : Yang itu tak pulak disebut!.
                    Kerana dah tualah tak jadi manis tu!
5. Simile
Kawannya macam lalat
ibarat burung dalam sangkar yang terbuka pintunya.
macam rimau tak ada gigi
6. Simpulan bahasa : kambing hitam  
7. kata ganda : bertalu-talu, gegak-gempita   


Nilai

1. Nilai ketegasan : Tok Wali tegas dengan pendiriannya mahu bersilat di majlis perkahwinan anak Haji Kodri kerana baginya perbuatannya itu tidak salah.
2. Nilai keberanian : Tok Wali berani bertarung dengan Siak apabila Siak datang menyerangnya.
3. Nilai taat akan perintah agama : Tok Wali tidak pernah meninggalkan solat berjemaah di masjid dan rajin menunaikan solat sunat.
4. Nilai hormat-menghormati : Ripin menghormati Tok Wali yang tinggi ilmu persilatan dan merupakan guru silatnya.
5. Nilai bertanggungjawab : Tok Wali berasa dirinya bertanggungjawab meneruskan usaha mengajarkan ilmu silat kepada anak-anak muda kampung tersebut.
6. Nilai tolong-menolong : Ripin membantu Mak Umi yang memanggilnya supaya menamatkan pergaduhan antara Tok Wali dan Siak.
7. Nilai keprihatinan Tok Wali sering melakukan kerja kemasyarakatan tanpa mengharapkan upah seperti  menggali kubur dan memandikan jenazah.


Pengajaran:

1. Kita hendaklah mempertahankan warisan bangsa agar generasi akan dating berpeluang mendapat manfaatnya.
2. Kita hendaklah menghormati guru dan orang yang lebih tua daripada kita kerana mereka  banyak berjasa kepada kita.
3. Kita hendaklah sentiasa menghulurkan bantuan kepada orang lain tanpa mengharapkan balasan agar masyarakat hidup harmoni.
4. Janganlah kita bersikap hipokrit dalam hidup kerana sikap itu memberi kesan yang negatif.
5. Setiap masalah yang dihadapi haruslah diselesaikan secara rundingan supaya tidak berlaku kecederaan atau pertumpahan darah.
6. Kita mestilah bersabar atas ujian yang menimpa kita supaya kehidupan lebih sejahtera.
7. Kita hendaklah bijak menangani masalah yang timbul agar tidak   menimbulkan kesusahan kepada diri sendiri kelak.



Sekian.

No comments: