04 October, 2011


Prosa Tradisional (Ting.4)

Hikayat Indera Nata

Tema : Pengembaraan Anak Raja Menempuh Pelbagai Cabaran
Indera Nata mengembara mencari gajah bergading emas atas perintah ayahandanya, Raja Rom. Pelbagai cabaran dihadapi dalam pengembaraan tersebut antaranya menemui binatang buas di dalam hutan, mendaki bukit yang terlalu tinggi, menyelamatkan tujuh orang puteri daripada tawanan raksasa, dan hampir ditangkap dan dibunuh oleh raksasa.

Persoalan

1. Persoalan keberanian dan kehebatan anak raja
 Indera Nata berani menentang binatang buas dan menyelamatkan Indera Jenaka daripada dibaham binatang buas yang terdapat di dalam hutan.
 Indera Nata berani masuk ke mahliga raksasa dan menyelamatkan tujuh orang puteri.
 Indera Nata mempunyai kebolehan bercakap atau berinteraksi  dengan haiwan.

2. Persoalan kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya
 Si Batu Kembar memeluk dan mencium anaknya Indera Jenaka yang baru balik darpada mengembara.
 Ibu Indera Nata iaitu Tuan Puteri Cenderawati sangat bimbang dan bersedih ketika menunggu kepulangan anaknya itu daripada mengembara.

3. Persoalan kebijaksanaan untuk mendapatkan sesuatu dan menyelamatkan diri
 Tuan Puteri Cendera Kesuma membuat helah dengan menyuruh raksasa mencari gajah bergading emas sekiranya raksasa mahukan mereka cepat besar, tetapi sebenarnya dia bertujuan membantu Indera Nata mendapatkan gajah bergading emas segera.
 Tuan Puteri Cendera Kesuma membuat helah sekali lagi dengan menyuruh raksasa lelaki mencari kijang putih bertanduk emas dan raksasa perempuan mencuci kain hitam menjadi putih sebagai tanda sayang kepada mereka. Sebenarnya dia bertujuan untuk melarikan diri bersama Indera Nata dan puteri-puteri yang lain semasa ketiadaan raksasa.

4. Persoalan tolong-menolong sesama manusia
 Indera Nata membantu menyelamatkan Indera Jenaka daripada serangan binatang buas di hutan.
 Indera Nata membantu menyelamatkan ketujuh-tujuh puteri daripada tawanan raksasa.

Watak dan Perwatakan

Watak Utama

Indera Nata
 Anak kepada Raja Rom dan Tuan Puteri Cenderawati
 Digelar Si Piatu
 Sangat disayangi oleh ibunya - Ibu Indera Nata iaitu Tuan Puteri Cenderawati sangat bimbang dan bersedih ketika menunggu kepulangan anaknya itu daripada mengembara.
 Mempunyai kesaktian – Indera Jenaka hairan melihat kelakuan Indera Nata yang boleh bercakap dengan binatang.
 Seorang yang berani –Menyelamatkan Indera Jenaka daripada serangan binatang buas
 Seorang yang baik hati - Menyelamatkan tujuh orang puteri daripada tawanan raksasa.


Watak Sampingan
Tuan Puteri Cendera Kesuma
 Anak Raja Mesir
Memiliki rupa paras yang cantik
 Menjadi tawanan raksasa .
 Petah berkata-kata  -Tuan Puteri bukan sahaja cantik malah pandai berkata-kata dan berpantun.
 Bijaksana – pandai membuat helah untuk membantu Indera Nata dan untuk menyelamatkan diri daripada raksasa

Raksasa suami isteri
 Tinggal di mahligai di atas sebuah bukit yang tinggi.
 Kejam – menawan tujuh orang puteri untuk dijadikan makanan.
 Besar, kuat dan gagah. – gerakan mereka berbunyi seperti rebut
 Pemarah dan ganas – membunuh semua rombongan Raja Rom yang pergi berburu untuk mendapatkan gajah bergading emas yang dinaiki oleh Raja Rom
 Mudah diperdaya – percaya helah yang dibuat oleh Tuan Puteri Cendera Kesuma

Indera Jenaka
 Anak Tuanku Syah Alam dan Si Batu Kembar
 Menghargai jasa – Indera Jenaka menghargai Indera Nata dengan menceritakan kebaikan dan kelebihan Indera Nata kepada kedua-dua ibu bapanya.
 Seorang yang berterus terang - Memberitahu kedua-dua ibu  bapanya siapa sebenarnya Si Piatu iaitu Indera Nata.

Latar

Latar Tempat
i. Negeri Rom (rumah Si Batu Kembar)
 Indera Jenaka menceritakan kepada ibu bapanya siapa Si Piatu dan darihal Indera Nata
ii. Negeri Pattani
 Indera Nata menentang haiwan buas dan menyelamatkan Indera Jenaka dan Indera Nata boleh bercakap dengan haiwan.
iii. Sebuah bukit yang tinggi
 Tempat tinggal sepasang raksasa suami isteri di sebuah mahligai yang indah bersamasama tujuh orang puteri yang ditawan.
iv. Sebuah peti emas
 Tempat Indera Nata disembunyikan oleh Tuan Puteri Cendera Kesuma semasa raksasa balik ke mahligai.
v. Tepi Laut / Pantai
 Tempat isteri raksasa mencuci kain hitam supaya menjadi putih.
  Rumah Bonda Indera Nata (Tuan Puteri Cenderawati)
 Kepulangan Indera Nata bersama tujuh puteri.
 Ketujuh-tujuh puteri menetap di situ.

Latar Masa
Waktu pagi – raksasa keluar mencari kijang putih bertanduk emas.
 Waktu petang – raksasa tidur.
 Waktu siang – raksasa keluar mencari gajah bergading emas.
 Tujuh hari tujuh malam – perjalanan Indera Nata pulang ke rumah bondanya bersama tujuh puteri.
 Waktu tengah malam – Indera Nata tiba di rumah bondanya bersam tujuh puteri.


Latar Masyarakat
 Golongan bangsawan – Raja Rom, Tuanku Alam Syah, Tuan Puteri Cenderawati, Tuan Puteri Cendera Kesuma
 Golongan bawahan –  rakyat yang mengikut Raja Rom pergi berburu yang semuanya dimakan oleh raksasa
 Masyarakat taat kepada perintah – Indera Nata mengikut perintah Raja Rom mengembara mencari gajah bergading emas
 Masyarakat yang memiliki kesaktian dan hikmat-  Indera Nata boleh berinteraksi dan bercakap dengan haiwan, mempunyai gemala hikmat yang boleh menyeru dan meminta bantuan Betara Gangga.
 Masyarakat raksasa – sepasang suami isteri raksasa yang tinggal di atas sebuah bukit.
 Masyarakat haiwan – gajah bergading emas, ular sakti dan naga


Gaya Bahasa

 Bahasa Klasik – sebermula, hatta
 Bahasa istana  - tuanku ,  kakanda , anakanda .
 Simile –  maka ia mendengar bunyi seperti ribut , ia berani dengan segala binatang itu adalah ia berkata-kata seperti ia berkata dengan manusia juga.
 Puisi – pantun contoh:
              Ikan pari bertelur beribu
              Bertelur sejengkal juga;
              Hujan arah ke langit biru,
              Tawakalku dapat juga.                      
 Bahasa Arab – Allah
 Hiperbola – gajah bergadingkan emas , kijang putih bertandukkan  emas , parasnya gilanggemilang, cahayanya kilau-kilauan.      

Nilai

 Nilai Bijaksana – Tuan Puteri Cendera Kesuma membuat helah untuk melepaskan diri.
 Nilai Keberanian – Indera Nata berani masuk ke mahligai raksasa dan menyelamatkan tujuh puteri.
 Nilai Kasih Sayang – Tuan Puteri Cenderawati amat menyayangi Indera Nata.
 Nilai Tolong-menolong - Indera Nata menyelamatkan tujuh puteri daripada  tawanan raksasa dan Tuan Puteri Cendera Kesuma membuat helah supaya raksasa mencari gajah bergading emas bagi membantu Indera Nata.


Pengajaran

 Kita mestilah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai  sesuatu yang dihajati.
 Kita mestilah saling menyayangi antara satu sama lain supaya dapat  hidup harmoni.
 Kita hendaklah bijak menyelesaikan masalah yang timbul.
 Kita mestilah menghargai budi yang diterima dan membalas dengan sebaik-baiknya.
 Kita hendaklah tolong-menolong antara satu sama lain.

No comments: