06 April, 2010

Fenomena Merokok Di Kalangan Murid Sekolah


Pengenalan
Pada masa ini pelbagai pandangan telah diberikan terhadap disiplin murid di sekolah menengah di negara kita. Pandangan-pandangan ini berbeza antara individu dengan individu yang lain bergantung kepada pemahaman seseorang. Ada yang melihatnya secara positif dan ada pula yang menilainya secara negatif. Penilaian atau pandangan secara negatif  adalah satu perkara yang menarik untuk dibincangkan kerana ia menggambarkan kemerosotan tingkahlaku murid sekolah. Fenomena murid sekolah yang merokok lebih-lebih lagi dalam kawasan sekolah merupakan satu hidangan yang amat payah untuk dinikmati oleh warga pendidikan terutamanya Kementerian Pelajaran. Ia merupakan satu kesalahan yang dilakukan oleh murid sekolah sama ada secara sembunyi atau terang-terangan.

Kajian
            Masalah murid merokok di sekolah memang telah wujud sejak sekian lama. Pelbagai usaha telah dilakukan untuk menanganinya, namun akhir-akhir ini masalah murid sekolah yang merokok menjadi semakin ketara.
Laporan TV1 melalui siaran Ekseklusif jam 8.30 malam pada 24 Januari 2010 bertajuk ‘Di Luar Pagar Sekolah’ telah mendedahkan aktiviti murid sekolah merokok. Kumpulan murid sekolah yang merokok ini tanpa rasa segan silu dengan tabiat yang kurang sopan ini malah mereka bebas membeli rokok dari kedai runcit-kedai runcit yang berdekatan walaupun menggunakan pakaian seragam sekolah. Mereka sanggup membeli rokok dengan harga tujuh puluh sen sebatang.
Menurut Mahmood Nazar Mohamed, Azalinda Alias (2005), perangkaan di Malaysia mencatatkan seramai 3.6 juta perokok pada tahun 2000 dan angka ini dijangka akan meningkat kepada 4.6 juta orang perokok menjelang tahun 2025. Dari segi taburan perokok mengikut jantina pula. 49% lelaki berusia 15 tahun ke atas merokok pada tahun 2000. Jumlah ini dijangka akan menyusut kepada 30% pada tahun 2025. Sementara perokok wanita yang berusia 15 tahun ke atas adalah dalam lingkungan 4% pada tahun 2000 dan bilangan ini dijangka akan meningkat (Mohamed Isa, 2000). Sejumlah 11% pula daripada perokok adalah dari golongan remaja (Norzahizan Ismail, 2000). Jelas, ini menunjukkan murid sekolah terlibat dengan masalah rokok adalah membimbangkan. Tidak mustahil masalah merokok di kalangan murid sekolah juga berlaku di sekolah-sekolah luar bandar seperti sekolah kajian pengkaji ini.

Masalah murid merokok telah dikategorikan sebagai  sebahagian daripada masalah Disiplin Berat di sekolah. Menurut Ang (2007), laporan salah laku murid tahu 2001-2003 untuk ‘Sepuluh Salah Laku Tertinggi Sekolah Rendah dan Menengah’ menunjukkan bahawa salah laku murid merokok tersenarai sebagai lima kes salah laku yang berates pada kedudukan teratas. Laporan ini konsisten dengan laporan-laporan disiplin yang dikeluarkan oleh Unit Disiplin, Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk tahun-tahun sebelum itu.

Murid-murid di sekolah menengah merupakan satu kumpulan remaja yang berusia antara 13 hingga 19 tahun. Pada usia ini naluri ingin mencuba atau meneroka sesuatu yang baru dalam kehidupan sangatlah tinggi. Contohnya merokok. Mereka mula merokok ketika masih berada di alam  persekolahan lagi. Dari sudut psikologi, masa remaja adalah peringkat usia yang amat kompleks di mana individu baik lelaki atau perempuan mengalami pelbagai jenis masalah seperti perubahan fizikal, perubahan pada emosi, perubahan pada kognitif, tanggapan pada diri sendiri (penghargaan diri), mengalami krisis identiti, mengalami konflik autonomi dan ragu-ragu pada memulakan perkara-perkara baru dalam hidup. Dalam konteks seorang murid sekolah, tabiat atau perbuatan merokok ini banyak berkaitan dengan masalah disiplin, tingkah laku, kesihatan dan sebagainya. Perbuatan yang negatif ini perlu dibendung dan dihindarkan kerana kumpulan ini merupakan pelapis kepimpinan negara suatu hari nanti.

Menurut Sufean (2004), fenomena masyarakat merokok merupakan tabiat manusia di mana kewujudannya boleh ditafsir dari pelbagai aspek, antaranya aspek sosiobudaya, kelumrahan, psikologi, pengaruh iklan, dan aspek pengaruh sosial. Dari aspek sosiobudaya, masyarakat menjadikan kelakuan merokok sebagai satu cara hidup, iaitu merokok dijadikan ukuran status kedewasaan, keranggian, kematangan, dan kesediaan memikul tanggungjawab dikalangan orang lelaki khususnya. Sebagai fungsi sosial, merokok ialah cara membina kerapatan persahabatan, malah rokok digunakan sebagai pemula bicara dan untuk merancakkan perbualan dalam kumpulan. Dari aspek kelumrahan, kelakuan merokok ialah gejala yang lumrah dalam masyarakat dan dianggap perkara biasa ditemui. Kelakuan itu pula tidak dianggap salah dari segi norma dan moral, dan ianya tidak pula dipandang sebagai perkara ganjil dan sumbang - kecuali bagi wanita yang merokok yang dianggap bukan wanita tulen.

Dari segi psikologi, merokok merupakan cara untuk meredakan kepenatan bekerja, untuk menenangkan perasaan. Waktu merokok boleh dianggap sebagai waktu inkubasi di mana perokok menggunakan waktu ini untuk berfikir bagi menyelesaikan masalah. Ada juga orang merokok untuk menghilangkan rasa mengantuk bila berjagamalam, dan ada juga orang menyatakan merokok boleh mencetuskan inspirasi dan meningkatkan keupayaan berfikir. Ringkasnya dari aspek psikologi, merokok dianggap dapat memenuhi keperluan asas fisiologi manusia serta keperluan sekunder psikologi yang lain, seperti untuk mendapatkan pengiktirafan dan keselamatan.

Dari segi pengaruh iklan, tabiat merokok boleh dicetuskan oleh imej yang dipaparkan oleh iklan rokok seperti imej kebebasan, imej kemesraan, imej status, imej berani, imej macho, imej kepantasan lumba kereta, dan imej keseronokan. Imej-imej ini dikaitkan dengan jenama rokok tertentu yang menarik perhatian golongan muda. Imej-imej ini disampaikan melalui papan iklan, poster rokok di kedai-kedai dan melalui televisyen. Sesuai dengan ciri-ciri remaja yang sedang mencari identiti, merokok merupakan cara untuk meniru gaya hero atau heroin yang mereka minati.

Dan dari segi pengaruh sosial pula, merokok boleh didorong oleh desakan rakan
sebaya atau orang di sekitar seperti di pub dan pusat hiburan. Dalam perkumpulan rakan sebaya, seseorang remaja diterima jika mereka boleh mempunyai identiti yang sarna. Sebagai contoh, dalam sesuatu perkumpulan mereka perlu berani merokok; jika tidak mereka dipulaukan oleh rakan-rakan. Dengan kepelbagaian perbezaan individu remaja ini, didapati mereka merokok dengan berbagai-bagai cara menyalakan api rokok, cara menyedut asap rokok, dan cara mengenakkan rasa rokok. Mereka belajar menikmati rokok dengan bertukar-tukar idea dan maklumat. Selain itu, kelumrahan orang merokok dalam komuniti menjadi mekanisma pembelaan diri mereka. Kelumrahan begini boleh mempengaruhi golongan muda untuk merokok atas alasan bahawa ramai orang di sekitar yang merokok, dan oleh itu tidaklah salah untuk mereka merokok.

            Terdapat remaja lingkungan belasan tahun yang tidak segan silu merokok secara terbuka di tempat awam. Fenomena ini biasa kita lihat dalam pelbagai situasi dan sesetengahnya lengkap berpakaian sekolah. Pelbagai kempen dilakukan oleh kerajaan bagi mencegah remaja daripada terjebak kedalam tabiat merokok. Kempen ini dijalankan sama ada melalui media cetak, media elektronik serta penyebaran poster. Ini menunjukkan seriusnya masalah merokok di kalangan remaja sekarang. Remaja juga merokok tanpa menghiraukan papan tanda larangan merokok samada di institusi pengajian atau di tempat awam. Tabiat ini wajar dihentikan bagi membentuk golongan remaja yang sihat demi untuk pembangunan negara pada masa akan datang.


Masalah Merokok Di Kalangan Murid sekolah

Menurut James (2007), salah satu kesalahan yang kerap dilakukan oleh murid adalah perbuatan menghisap rokok. Ia adalah salah satu daripada sepuluh kesalahan tertinggi atau paling kerap dilakukan oleh murid sekolah menengah setiap tahun, sungguhpun pelbagai langkah dan kempen diambil untuk mengurangkan gejala ini. Sungguhpun tindakan-tindakan menangani gejala merokok nampaknya kurang berkesan, para pendidik tidak perlu berasa kecewa tetapi sebaliknya meneruskan usaha membanteras gejala merokok di kalangan murid. Murid mesti dapat merasakan merokok adalah perbuatan yang tidak harus diamalkan, lebih-lebih lagi secara terbuka dan semasa zaman persekolahan mereka.

Jadual 2.1 Sepuluh Salah Laku Tertinggi Sekolah Menengah, KPM.
Bil
2001 % murid terlibat
(75, 958 kes)
2002 % murid terlibat
( 45, 117 kes)
2003 % murid terlibat
( 97, 943 kes)
1.
Ponteng Sekolah
Ponteng Sekolah
Ponteng Sekolah
2.
Tidak hormat guru
Ponteng kelas
Ponteng kelas
3.
Ancam murid
Datang lewat
Menghisap rokok
4.
Kasar dengan murid
Menghisap rokok
Datang lewat
5.
Datang lewat
Ganggu pelajaran
Pakai melanggar peraturan
6.
Pakai melanggar peraturan
Pakai melanggar peraturan
Ganggu pelajaran
7.
Ponteng kelas
Rambut panjang
Rambut panjang
8.
Menghisap rokok
Ancam murid
Ancam murid
9.
Rambut panjang
Tidak hormat guru
Bergaduh
10.
Ganggu pelajaran
Bergaduh
Berkeliaran

            Perbuatan merokok dikategorikan sebagai tingkahlaku tidak sopan dalam Panduan Bagi Ibu Bapa Menangani Disiplin Murid-Murid Sekolah (1982) dan sebagai kesalahan berat dalam SPI Bil.7/2003.

            Kementerian Kesihatan Malaysia (2005) melaporkan bahawa jumlah perokok dalam kalangan rakyat negara membangun seperti Malaysia semakin meningkat setiap tahun. Perokok yang berumur 15 tahun ke atas di Malaysia semakin bertambah daripada 21 % pada tahun 1985 kepada 31 % pada tahun 2000. Laporan tersebut juga menyatakan pada masa kini 49% daripada lelaki dewasa dan 5% daripada wanita dewasa di negara ini merokok. Sejumlah 14 batang rokok dalam tempoh sehari dihisap oleh setiap orang dalam kalangan 5 juta perokok di Malaysia. Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia menjangka bahawa separuh daripada jumlah perokok yang hidup pada hari ini akan mati akibat menghisap rokok. Statistik ini membuktikan bahawa semakin ramai kalangan remaja sekolah yang berumur 13 hingga 18 tahun terlibat dengan amalan tabiat merokok. Walaupun pihak Kementerian Pelajaran Malaysia melaksanakan pelbagai polisi bagi menangani gejala merokok dalam kalangan pelajar sekolah, fenomena tersebut masih terus berleluasa.

Mahmood Nazar Mohamed, Azalinda Alias (2005), menyatakan sememangnya ramai perokok mula merokok semasa mereka berada di zaman remaja kerana pada masa inilah mereka sedang meneroka pelbagai tingkahlaku dalam proses mencari-cari identity diri masing-masing (Coleman, 1961; Roosmalen, 1992; Harre & Lam, 1993; Kinner, 1994). Kajian yang dijalankan oleh The National Institute of Drug Abuse (NIDA, 2000) mendapat bahawa kadar merokok di kalangan pelajar sekolah tinggi atau sekolah menengah meningkat sebanyak 27.5% daripada tahun 1991 kepada 34.8% pada tahun 1997. Tren merokok yang semakin meningkat ini juga diperhatikan di banyak negara termasuk Malaysia dan ia menunjukkan permasalahan merokok yang serius di kalangan remaja pelajar.

Menurut Abdullah Sani Yahaya (2005), pada era perindustrian ini, merokok sudah menjadi satu hobi bagi semua orang bagi menikmati kehidupan yang serba moden. Oleh itu, merokok menjadi satu masalah disiplin yang tidak dapat dikawal dengan sepenuhnya. Kebanyakan pelajar terutamanya pelajar lelaki mula terjebat dalam perbuatan merokok bagi menghilangkan tekanan emosi. Perbuatan merokok adalah gejala yang tidak sihat. Oleh yang demikian, Kementerian Pelajaran Malaysia mendapati perbuatan menghisap rokok tidak boleh dianggap sebagai perkara biasa (Kementerian Pelajaran Malaysia 1983, 123). Kebanyakan pelajar merokok di dalam tandas yang menjadi tempat perlindungan merokok yang baik. Pelajar-pelajar juga begitu serius dengan perbuatan merokok dan mereka juga tidak memikirkan merokok merosakkan kesihatan. Mereka hanya mementingkan keseronokan daripada keselamatan diri mereka.

Penglibatan remaja (pelajar) dalam gejala merokok di negara kita menunjukkan peningkatan. Situasi ini sangat membimbangkan. Laporan Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2000 dalam Modul Berhenti Merokok (2001), menunjukkan 20% perokok adalah terdiri daripada kumpulan remaja. Laporan ini juga menyatakan bahawa dianggarkan 50 hingga 60 orang remaja di Malaysia memulakan tabiat merokok setiap hari.

Punca Merokok
Sufean Hussin, Mariani Md Nor (2004), mendapati sebab-musabab merokok di kalangan remaja sekolah adalah untuk menghilangkan kebosanan dan kesepian, meredakan tekanan (stress), rokok mudah diperolehi atau dibeli, keseronokkan, kelakuan yang lumrah dalam masyarakat, untuk berjaga hingga lewat malam, dipengaruhi oleh rakan-rakan dan ramai orang dalam komuniti merokok, untuk mendapatkan nikmat merokok.

            Menurut Sufean Hussin, Mariani Md. Nor (2004) menghisap rokok pada segelintir individu boleh membuatkan mereka berasatenang dan dapat mengatasi tekanan serta menambahkan keceriaan (Warburton, 1992). Teori pelaziman tingkah laku (Skinner, 1990) menjelaskan bahawa sesuatu perbuatan yang mendatangkan ganjaran atau yang dapat memuaskan sesuatu keperluan akan mendorong perbuatan itu diulangi. Jika merokok dapat menonjolkan sifat berani dan unik, maka remaja akan mengulanginya, dan mereka akan mengubah tingkah laku untuk menarik perhatian. Sebaliknya jika perbuatan merokok itu mendapat hukuman dan cemuhan, maka perbuatan itu akan disingkirkan. Teori psikoanalitik (Freud) menjelaskan sesuatu perbuatan itu adalah untuk menonjolkan kelebihan diri atau untuk menutup kelemahan diri. Misalnya, individu yang kurang ketinggiannya cuba bersikap berani dalam banyak perkara - orang ini dikatakan mempunyai ego terbantut (underdeveloped ego), dan biasanya bertindak emosional. Sebaliknya, individu yang mempunyai kelebihan diri akan menonjolkan dengan bangganya kelebihan itu, umpamanya orang kaya akan menghisap rokok atau cerut yang mahal. Ini dikatakan ego lampau (superego).

            Abel, Plumridge, dan Graham (2002) menyatakan bahawa persekitaran dalam rangkaian hubungan sosial merupakan penyumbang utama terhadap peniruan tingkah laku berisiko. Beliau menegaskan bahawa secara makro dan struktural merokok berkaitan dengan tanggapan personaliti individu tentang risiko penyalahgunaan bahan. Hal ini berkaitan dengan tanggapan personaliti remaja untuk menerima atau menolak tingkah laku merokok yang amat dipengaruhi oleh kelaziman fenomena merokok dalam rangkaian perhubungan sosialnya. lnilah merupakan cabaran utama terhadap remaja yang ingin mengubah tingkah laku merokok jika mereka hidup dalam khalayak masyarakat yang majoritinya merokok secara terbuka di tempat-tempat awam.

            Austin dan Gortmaker (2001), menyatakan ramaja perempuan yang mengawal pemakanan untuk menurunkan berat badan mempunyai risiko yang tinggi untuk memulakan tabiat merokok. Hal yang demikian ini kerana mereka beranggapan merokok dapat mengurangkan berat badan selain daripada langkah mengawal pemakanan. Memandangkan kebanyakan remaja perempuan terlalu prihatin tentang penjagaan berat badan berbanding pelajar lelaki, maka kerisauan tentang berat badan memberi kesan meningkatkan kemungkinan merokok dalam kalangan mereka. Malahan kebanyakan wanita menganggap merokok adalah strategi yang berkesan untuk mengawal berat badan.

Kesimpulan
Rawatan pemulihan amalan tabiat merokok di kalangan pelajar sekolah perlu dilaksanakan. Penekanan kepada penguatkuasaan peraturan sahaja masih tidak mencukupi. Langkah tersebut memerlukan sokongan pelbagai pihak yang terlibat dengan pendidikan, bukan sahaja guru, ibu bapa dan komuniti setempat malah para pemimpin dan agensi kerajaan atau NGO juga harus turun padang menangani masalah ini dengan mengadakan pelbagai program pemulihan bagi memulihkan remaja daripada terus ketagih merokok. Kita tidak seharusnya sekadar pandai melaungkan slogan-slogan anti merokok tetapi buktikan dengan tindakan yang kita ambil. Masalah merokok di kalangan pelajar sekolah perlu ditangani dengan serius supaya tidak melebarkan masalah-masalah sosial yang lain terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah. Pelajar hari ini adalah harapan kita untuk memimpin negara pada masa yang akan datang.
 Pelajar Didahulukan Pencapaian Diutamakan ! Katakan AKU TAK NAK ROKOK !!!

No comments: