06 April, 2010

Peranan Pengetua Sekolah Dalam Memimpin Penggunaan ICT Di Sekolah

Tidak dinafikan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dapat membantu  pengetua dalam membuat keputusan, menyesuaikan diri dengan perubahan dan selanjutnya dapat meningkatkan komunikasi dalam organisasinya.   Pengetua sekolah  tidak dapat mengelak daripada membuat keputusan pada setiap hari. Ia merupakan elemen penting dalam mentadbir dan mengurus sekolah. Laudon dan Laudon  ( 1997 )  menyatakan  sistem maklumat dan komunikasi adalah komponen-komponen  bersepadu yang mengumpul dan menyimpan maklumat  bagi membantu organisasi membuat keputusan, merancang, mengawal dan menganalisis. Justeru bagi membolehkan pengetua  memimpin penggunaan ICT untuk pengurusan dan pengajaran di sekolah, beberapa perkara perlulah diambilkira.
Peranan pengetua adalah amat penting dalam membudayakan ICT di sekolah. Selain memberi sokongan dalam bentuk kewangan, pengetua  juga menjadi model sebagai pengguna ICT dalam pentadbiran dan memberi respons kepada perubahan. Bagi tujuan ini, pengetua harus merangka dan menyediakan satu dokumen polisi bertulis. Polisi ini perlu untuk membantu merekabentuk dan mengurus program ICT agar guru dan pelajar menguasai ICT secara teratur dan progresif. Polisi ini perlu disemak walaupun setahun sekali untuk melihat perkembangan kemajuan dan kepakaran guru dalam menguasai ICT. Kerangka polisi ICT dibina berdasarkan kepada matlamat dan perancangan sekolah, pandangan daripada ibu bapa dan komuniti,  polisi daripada Kementerian Pelajaran khususnya tentang pengajaran dan pembelajaran yang efektif dan perkembangan teknologi.
Pengetua sekolah juga harus dapat memastikan prasarana yang lengkap dikendalikan dan digunakan secara optimum oleh guru semasa P&P dijalankan. Penggunaan makmal komputer hendaklah mengikut jadual waktu yang ditetapkan agar kekecohan dan kecelaruan tidak timbul di kalangan guru-guru. Peranan penyelaras ICT juga mesti dipantau supaya budaya menyelenggara alat-alat perkakasan sentiasa dilakukan selepas makmal komputer digunakan. Penyelaras ICT harus peka dan  jelas dengan arahan-arahan Kementerian Pendidikan tetapi dalam melaksanakannya di peringkat sekolah dengan berkesan.
Pemberian komputer daripada pihak swasta atau atas inisiatif PIBG hendaklah digunapakai di bilik-bilik darjah. Makmal komputer telah disediabekalkan dengan peralatan komputer. Kewujudan computer di dalam bilik darjah  akan menambahkan lagi penggunaan ICT oleh guru semasa proses P&P malah meningkatkan lagi minat murid untuk menguasai bidang ICT.
Selain itu, perkembangan dan pembangunan staf dalam penggunaan ICT tidak harus diabaikan pengetua sekolah. Pembangunan staf yang melibatkan ICT dan inovasi adalah berdasarkan kepada dua bidang iaitu penguasaan ICT dan perkembangan aktiviti pembelajaran mengikut keperluan murid. Guru-guru perlu dirancang dan bersedia untuk mengikuti mana-mana program atau kursus yang berkaitan dengan ICT. Lantas, pengetua sekolah hendaklah sentiasa mengenal pasti tahap penguasaan guru dalam bidang kemahiran ICT.  Program perkembangan staf amat penting untuk memastikan guru-guru menguasai ilmu dan peralatan ICT seterusnya membantu pelajar-pelajarmenguasai ICT. Program ini harus selari dengan polisi ICT dan pelan pembangunan sekolah.
Pengetua perlu mengetahui dan menguasai kemahiran-kemahiran ICT yang terlibat dengan aspek pengurusan organisasi kerana tahap penguasaan pengetua sebagai pemimpin organisasi akan memberi impak yang besar kepada ahli organisasinya. Pengetua akan mampu untuk memperkatakan sesuatu kemahiran itu bersesuaian atau tidak, ataupun mampu memberi pandangan yang berkaitan dengan bidang ICT yang terlibat. Keadaan ini akan menjadikan pengetua lebih dihormati dan dilihat sebagai pakar dalam pengaplikasian ICT dalam pengurusan sekolah khususnya.

No comments: