11 April, 2010

Resiliensi


Pengenalan
Kehidupan manusia adalah rencam. Seribu satu macam bentuk , panorama, suasana, pengalaman atau apa sahaja keadaan dan situasi yang harus ditempuhi. Ada yang manis. Ada yang menyedihkan. Ia adalah asam garam kehidupan. Sama ada kita mampu menghadapinya dan terus berusaha keluar dari permasalahan hidup atau, sebaliknya sehingga seseorang itu terjebak dalam kancah kelesuan hidup, bergantung kepada daya tahan dan keimanan seseorang sebagai hambaNya.

Konsep
Werner (1995) telah menjelaskan konsep resiliensi kepada tiga situasi iaitu ;
1.    Perkembangan yang sihat dalam situasi yang beresiko tinggi
2.    Berkedudukan baik pada keadaan yang mencabar dan menekan
3.    Pemulihan dari trauma

Pengertian
Menurut Bonanno (2004) resiliensi adalah kemampuan individu dalam mengatasi situasi yang sulit (kesengsaraan dan penderitaan).
Suria Baba (2010) resiliensi merupakan keupayaan untuk mengadaptasi denga baik dalam keadaan yang tidak selesa, tekanan, trauma, tragik. Seseorang yang resiliensi kekal stabil dan sihat dari segi fizikal, mental dan psikologi dalam keadaan diskruptif (gangguan) atau chaos (kecoh).

Istilah
Perkataan resiliensi berasal dari perkataan Latin iaitu ‘resilire’ yang bermakna anjal, melambung kembali.
Pada mulanya perkataan ‘resilien’ digunakan dalam bidang sains hayat atau fizik. Ia membawa maksud kemampuan untuk kembali kepada keadaan asal atau pulih semula dari keadaan asal setelah dibengkokkan, ditekan, dilentur atau diregangkan.
Apabila dirujuk kepada bidang psikologi, resilien bererti kemampuan manusia untuk pulih dari perubahan, sakit, kemalangan atau kesusahan.

Sinario
Dalam merentasi kehidupan di dunia ini, seseorang individu tidak akan dapat mengelakkan diri dari permasalahan dan tragedi kehidupan seperti bencana, kesusahan, kemalangan, kekecewaan dan seumpamanya. Situasi-situasi seperti ini akan menyebabkan seseorang itu kesedihan dan kemurungan. Jika keadaan ini berterusan, kehidupan tidak akan ceria, menarik dan terasa seolah-olah dunia akan gelap buat selama-lamanya. Malah tidak mustahil, keadaan yang dianggap sebagai tidak bersinar ini akan menyebabkan seseorang itu menjadi trauma berdasarkan pengalaman yang dilaluinya.
Berbeza pula bagi individu yang cekal, tabah, dia akan  berusaha untuk keluar dari kepompong yang tidak bersinar ini.  Individu tersebut tergolong dalam kumpulan yang dikatakan sebagai resiliensi. Dia  berusaha untuk kembali seperti biasa setelah mengalami kesukaran. Dia bangkit dari tekanan hidup tetapi berusaha mencari elemen yang positif samada secara dalaman atau luaran. Orang yang resilien akan menunjukkan kemampuannya berhadapan atau melalui liku-liku cabaran. Dia mampu menyesuaikan diri dan menghadapi tekanan terhadap perubahan, tuntutan dan kekecewaan dalam kehidupannya.

Ciri-Ciri Individu Yang Resilien
Individu yang tergolong dalam kumpulan yang resilien mempunyai cirri-ciri seperti berikut ;
1.    Celik akal
Dia berupaya atau dapat memahami, mengerti seterusnya member sumbangan kepada keadaan persekitarannya, orang-orang yang berada di sekelilingnya samada melalui tingkahlaku atau verbal dalam berkomunikasi. Dia mampu menyoal keadaan yang dihadapinya dan berupaya menjawabnya dengan jujur. Maka keadaan ini juga akan membantunya untuk memahami dirinya dan orang-orang di sekelilingnya malah lebih menguntungkan lagi keadaan ini akan membantunya untuk berhadapan dalam pelbagai situasi dengan jayanya.

2.    Kemandirian atau Stabil.
Ciri ini merupakan kemampuan seseorang itu menguasai emosinya atau emosi orang lain berdasarkan permasalahan yang dihadapi. Ia juga merujuk kepada keseimbangan emosi secara jujur dan ikhlas terhadap diri ataupun orang lain. Dia biasanya bercakap dengan jujur dan tidak sebarangan, malah dapat pula mengatakan ‘tidak’ dengan tegas berdasarkan alasan yang logic. Dia sangat optimis atau yakin dengan masa depannya.

3.    Hubungan / Komunikasi.
Seseorang yang resilien dapat mengadakan hubungan yang positif dengan orang lain. Komunikasinya adalah jujur dan ikhlas, membantu dan boleh dijadikan teladan atau role model kepada orang yang dengannya berkomunikasi. Hasil dari itu, wujudlah kejelekitan dalam komunikasi yang menguntungkan secara timbale balik kerana terdapat cirri-ciri yang member dan menerima.

4.    Inisiatif
Insiatif merupakan keinginan yang kuat untuk bertanggungjawab keatas apa-apa bentuk kehidupan. Individu yang resilien adalah individu yang proaktif, bertanggungjawab untuk memecah kebuntuan atau masalah, berusaha memperbaiki diri atau keadaan yang telah diubah dan meningkatkan kemampuan untuk menghadapi keadaan dan perkara yang tidak dapat diubah. Bagi dia, hidup ini adalah cabaran. Tetapi personalitinya adalah konstiten dan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya.

5.    Kreativiti
Kreativiti melibatkan kemampuan berfikir dengan berbagai cara atau pilihan dan beralternatif untuk menghadapi cabaran kehidupan. Individu resilien tidak terlibat dalam perilaku yang negatif kerana kemampuannya memikirkan perkara-perkara yang positif walaupun pada situasi yang negatif. Kreativitinya melibatkan daya imaginasi untuk mengaprisiasikan diri dalam seni kehidupan sehingga orang-orang di sekelilingnya terhibur dan melupakan masalah kehidupan. Ini adalah kerana bentuk kreativiti itu melibatkan minat, kegemaran dan aktiviti yang berinovasi.

6.    Humor / Menghiburkan
Humor dikatakan sebagai kemampuan untuk menceriakan atau menemukan kebahagiaan dalam apa sahaja keadaan. Seseorang yang resiliensi akan menggunakan humornya untuk berhadapan dengan masalah kehidupan dengan cara yang baru, lebih mudah tetapi menghiburkan. Apabila humor atau hiburan digunakan masalah yang berat akan dilupakan atau sekurang-kurangnya menjadi lebih ringan.

7.    Bermoral / Berakhlak.
Bermoral pula dikatakan sebagai keinginan untuk menjalani kehidupan dcengan lebih baik, sempurna dan produktif. Seseorang yang resiliensi mampu mengeksploitasikan berbagai keadaan. Dia juga mampu membuat keputusan yang tepat tanpa ada rasa takut dengan pendapat atau idea orang lain. Malah baiknya dia mampu mengenepikan kepentingan diri dan membantu orang yang memerlukan bantuannya. Moraliti adalah kemampuan berkelakuan baik atas dasar nurani yang ikhlas dan jujur.

Hasil kajian resiliensi telah menunjukkan bahawa resiliensi wujud secara biological dalam perkembangan kemanusiaan. Ia lahir secara semulajadi apabila berhadapan dengan situasi-situasi tertentu. Justeru setiap manusia dilahirkan untuk beresiliensi.

Meningkatkan Resiliensi Pelajar
Menurut Kate Thomson (2002) satu cara untuk meningkatkan resiliensi pelajar adalah meningkatkan kemahiran pengetahuan mengenai diri (Intrapersonal Self-Knowledge) dan pengetahuan mengenai orang lain ( Interpersonal People – Knowledge). Ia melibatkan ;
1.    Keupayaan pelajar iaitu penerimaan, pengalaman dan persekitaran.
2.    Tindakbalas emosi pelajar terhadap maklumat
3.    Keupayaan pengurusan dan kawalan emosi diri pelajar
4.    Keupayaan mengenali emosi diri melalui tindakan dan gerakbalas daripada orang lain.
5.    Keupayaan menangani dan mengurus emosi orang lain.

Manakala Comer (1984), Edmond (1986), Rutter et analisis (1979), Weis & Fine (1993) mendapati tiga faktor yang dapat meningkatkan resiliensi pelajar iaitu ;
1.    Perhubungan yang erat iaitu menyokong dan menyayangi
2.    Harapan yang tinggi dan positif
3.    Peluang untuk penyertaan yang tinggi.
Dalam hal ini resiliensi pelajar dapat dipupuk melalui sikap prihatin guru iaitu
memahami, tanpa mengira siapa pelajar tersebut dan sentiasa meberi motivasi dan sokongan serta menunjukkan kasih sayang untuk perkembangan emosi dan pelajarannya.
Verner & Smith’s (1989) pula berpendapat pelajar yang resiliensi memiliki guru yang bukan sahaja berkemahiran akademik tetapi sebagai model positif untuki ditiru oleh pelajar.
Nodding (1988) mengatakan perhubungan dengan kasih sayang guru akan memberi pelajar motivasi untuk berjaya. Justeru, sekolah seharusnya dapat berfungsi sebagai tempat untuk guru dan pelajar menjalani hidup bersama, berkomunikasi secara formal dan informal, dan prihatin dengan orang lain.
Tiga elemen yang utama bagi membentuk perhubungan yang erat ialah ;
1.    Minat
2.    Hormat-menghormati
3.    Sikap memahami
Kajian Rutter et al (1979) mendapati sekolah yang menetapkan harapan yang lebih tinggi sedikit dengan keupayaan pelajar akan memperoleh pencapaian yang lebih tinggi. Masalah keciciran, penyalahgunaan dadah, kehamilan, dan vandalism kurang berlaku. Penetapan yang terlalu tinggi atau terlalu rendah akan memperoleh pencapaian yang rendah. Justeru, resiliensi pelajar perlu dibuna berdasarkan minat, motivasi, kesempurnaan diri, kepercayaan dan keyakinan diri.
Sarason (1990) mendapati sekolah yang mengabaikan keperluan asas dan tanpa member peluang penyertaan pelajar akan menghasilkan kekecohan dan masalah disiplin.
Dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, cara untuk meningkatkan resiliensi ialah melalui kepelbagaian teknik mengajar, melibatkan pelajar dalam aktiviti pembelajaran dan menggunakan kaedah penyoalan yang sesuai dengan aras mereka.

Individu yang resiliensi adalah seorang yang optimis, percaya bahawa segala sesuatu dapat berubah untuk menjadi lebih baik dan sempurna. Faktor yang mendukung resiliensi seseorang adalah faktor persekitarannya dan memiliki stress yang rendah. Individu yang memiliki resiliensi yang tinggi mempunyai hubungan sosial yang baik dan stressnya berada pada tahap yang minimum.


No comments: