13 April, 2010

Kecelaruan


Pengenalan
“….banyak manusia banyak ragam….suka, duka, hipokrit, bergaya, hedonistik(berfoya-foya),destruktif(suka merosakkan), suka buat chaos (kecoh), mencuri, dan banyak lagi yang boleh diandaikan sebagai feel manusia. Tentang fesyen pula, pelbagai ragam digayakan di jalanan kalaupun tidak secara rasmi. Kalau dahulu, yang berambut kuning selayaknya di atas pokok. Berbeza sekarang anak-anak muda sangat berbangga mewarnakan rambut dengan warna-warna kesukaan mereka walaupun nanmpak janggal, kerana itu mereka katakan mengikut arus pemodenan. Hakikat sebenarnya, kumpulan remaja ini sedang mencari identiti
Sidek Baba(2008) menjelaskan isu identity sering dihubungkaitkan dengan persoalan imej atau personality. Isu remaja tidak sahaja dihubungkan dengan perilakunya tetapi dihubungkan dengan cara berfikir, aliran kegiatan dan dikaitkan dengan potensi hari depan. Lebih jauh daripada itu, identity remaja berkait rapat dengan jenis kepimpinan dan golongan yang bakal mewarisi kepimpinan negara. Ia menetukan sama ada remaja adalah pendukung idealism bina negara atau menjadi liabiliti yang berpanjangan kepada masyarakat.

Konsep
Sidek Baba(2008) berpendapat kecelaruan sering dikaitkan dengan keadaan yang hilang pedoman, Ia juga dikaitkan dengan isu hala tuju perjuangan yang kehilangan visi dan misi. Kecelaruan juga difahamkan dalam konteks perbuatan dan amalan yang tidak selari dengan norma-norma positif dalam kehidupan. Lebih pedih lagi kecelaruan dikaitkan dengan remaja yang sudah hilang pertimbangan diri iaitu membina idola dan ‘diva’ yang bukan fitrah sifatnya, mengagumi proses pembaratan secara melulu dan hilang pertimbangan kenegaraan hingga menyebabkan dirinya tidak lagi dapat diharapkan sebagai penyumbang kepada pembangunan tamadun bangsa.
Justeru, diandaikan juga bahawa kecelaruan ini merupakan satu tingkahlaku dan pembawaan yang tidak berarah atas dasar kemajuan pembinaan identiti diri yang pada hakikatnya  terpesong dari landasan dan norma masyarakat  sehingga menjadikannya sebagai satu liabiliti dalam masyarakat.

Senario
Walau apa pun yang kita bincang tentang kecelaruan, tidak semua remaja terjebak dalam kancah itu. Kecelaruan melibatkan beberapa individu yang tertentu sahaja. Mereka memiliki ciri-ciri khusus yang membezakan mereka dengan kumpulan yang tidak bercelaru. Mengandaikan kesemua remaja adalah bercelaru merupakan suatu pertimbangan yang kurang elok malah tidak adil. Ia sekadar melihat kepada senario yang berlaku di sekitar kita. Umpamanya gaya hidup remaja yang seolah-olah hanyut dari umbi jati diri dan mengikuti haluan dan arah yang samar sehingga imej mereka terpesong dari landasan yang sebenarnya.
Pada masa yang sama juga kita menerima alasan daripada mereka bahawa keadaan ini perlu dilakukan malah perlu diteruskan kerana peredaran masa. Mereka bertunjangkan kemajuan dalam kehidupan yang juga menuntut material dan hedonistik. Namun hakikatnya kemajuan itu tidak berjalan pada landasan yang baik dan sepatutnya. Lantas tuntutan material dan hedonistik boleh menjurus kepada hilangnya budaya ketimuran yang kita agung-agungkan sebelum ini. Rasa hormat kepada orang tua terutamanya ibu bapa akan lenyap, adap dan tradisi dipijak-pijak, guru-guru seumpama rumput di jalanan malah pemimpin-pemimpin diandaikan anjing menyalak bukit yang sebenarnya cuba  membawa pembangunan.
Anak-anak muda seperti tidak mengerti makna cita-cita. Harapan untuk membina bangsa, umat dan tamadun hilang dalam kamus fikiran. Malah kehidupan beragama menjadi pertikaian antara ‘halal-haram’ pertembungan benar salah atau maaruf dan mungkar.

Jenis Kecelaruan
Jenis kecelaruan yang sangat terkenal ialah antisosial. Kecelaruan ini juga dikenali sebagai kecelaruan personaliti sosiopathik. Remaja atau mana-mana individu yang tergolong dalam kumpulan celaru ini biasanya cenderung untuk tidak memperdulikan norma-norma dan etika dalam masyarakat. Mereka suka untuk memanipulasikan sesuatu situasi atau perkara kerana hakikatnya mereka seperti disukai ramai atau nampak berilmu pengetahuan. Terdapat  ciri-ciri tertentu bagi  individu yang antisosial ini. Apabila mereka melakukan sesuatu perkara yang bertentangan dengan etika, mereka seperti tidak rasa bersalah. Malah semasa mereka menyakiti hati dan perasaan orang lain ( walaupun naluri dan minda mereka menyedari tindakan itu adalah salah) mereka langsung tidak ada rasa menyesal. Selain itu, individu ini juga bersikap impulsif iaitu tidak mampu berhadapan dengan kegagalan atau kekecewaan. Apabila berlaku situasi itu, mereka sedaya upaya keluar dari kepompong kegagalan itu dengan apa cara sekalipun walaupun dengan mengganggu kedudukan atau kesejahteraan orang lain. Pada masa yang sama, individu antisosial ini berupaya memanipulasikan orang lain. Mereka berpersonaliti baik, menarik, pandai mengambil hati dan mampu menyakinkan orang lain sehingga tertipu dan menyerahkan kesemua wang atau barang kemas kepadanya.
Kecelaruan yang seterusnya ialah narsisistik. Individu ini digambarkan seorang yang perasan bahawa dirinya adalah orang penting dalam sesebuah situasi. Dia mengharapkan orang lain melayaninya dengan baik dan diberi keutamaan, sedangkan pada masa yang sama dia tidak memperdulikan perasaan orang yang berada di sekelilingnya. Lantas dia tidak dapat merasai empati terhadap orang lain.

Faktor-Faktor Kecelaruan Remaja
Banyak faktor yang mengheret individu untuk terjebak dalam kecelaruan ini. Zaman remaja terutamanya adalah zaman yang agak kritikal dalam sejarah hidup manusia. Masing-masing mempunyai potensi tersendiri sama tergolong dalam kumpulan yang membawa kebaikan atau satu kumpulan lagi yang terjebak dalam kandang yang buruk. Semuanya berganntung kepada corak pendidikan yang diterimanya sama ada di rumah, sekolah, dan masyarakatnya.

Rumah
Sidek Baba(2006) mengatakan kecelaruan bermula apabila rumah tangga dan keluarga tidak memainkan peranan yang wajar dalam pembentuk watak anak-anak. Masa berkualiti banyak dihabiskan di luar rumah. Anak-anak memerlukan belaian kasih sayang, perhatian, asuhan malah limpahan rasa keibuan dan kebapaan sebagai tempat mengadu permasalahan yang dialami. Anak-anak dahagakan ‘sentuhan’ ibu bapa yang sepatutnya tempat mereka bermesra dan bermanja malah berkongsi masalah.
Pada masa yang sama kedapatan juga ibu bapa yang kurang berilmu atau berketrampilan sebagaimana sepatutnya dalam mendidik dan mengasuh anak-anak. Mengikut kajian, tidak ramai ibu bapa yang memahami perkembangan minda dan naluri anak-anak yang ada hubungkaitnya dengan perkembangan tingkahlaku seharian.
Media elektronik, orang gaji atau seumpamanya telah mengambil peranan dalam mendidik anak-anak. Hasilnya, berlakulah ketirisan jiwa pada anak-anak. Hati dan jiwa seakan-akan kosong. Akhirnya mereka akan membina tingkahlaku berasaskan pendedahan yang mereka terima dari benda atau persekitaran.

Sekolah
Secara realitinya sekolah pada hari ini lebih menjurus kepada kecemerlangan akademik semata-mata. Keputusan peperiksaan menjadi ukuran sama ada seseorang itu berjaya atau sebaliknya. Peranan sekolah sudah jelas menyediakan pelajar untuk lulus peperiksaan dan mendapat keputusan yang baik, kerana sekolah yang mendapat keputusan yang baik dianggap sekolah yang cemerlang. Malah diberi pengiktirafan oleh pihak yang berkenaan. Abdul Shukor Abdullah(1988) mengatakan sekolah yang berkesan adalah sekolah yang mencapai tahap terbaik, bermutu dan terunggul dalam semua bidang berkaitan akademik, sahsiah, pengurusan, perhubungan, infranstruktur dan kepimpinan. Sedangkan membangunkan jiwa dan nurani bukan lagi menjadi keutamaan. Pembentukan watak yang holistik tidak menjadi kenyataan. Lantas, berlakulah ketirisan untuk kali yang kedua pada diri anak-anak. Sekiranya seorang jiwa terlepas daripada proses mendapat didikan di sekolah, kerisauan kita tetap ada bahawa jiwa itu seperti rebung yang payah untuk dilenturkan semula. Dalam Islam malah agama-agama lain pun mengakui, umur yang seharusnya menjadi perhatian dan kritikal adalah pada hari pertama kelahiran sehinggalah ke tahap akil baligh. Justeru, untuk mengelak dari terjerumus dalam kandang kecelaruan, bentuk keperibadian di peringkat awal umpama melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Masyarakat
Membincangkan hal kecelaruan ini, masyarakat juga memainkan peranannya sebagai pihak penyumbang. Masyarakat setempat gagal untuk menyediakan suasana yang kondusif dalam usaha membentuk diri dan peribadinya secara positif. Usaha dan aktiviti tidak dirancang dengan sebaik mungkin kearah pembentukan insan kamil. Pengaruh rakan sebaya lebih kuat dari tuntutan etika masyarakat. Budaya dan aktiviti yang kurang sesuai dan bertentangan dengan norma kesihatan seperti amalan merokok, ketagihan dadah dan pergaulan bebas menjadi amalan biasa sebahagian besar anak-anak muda yang masih mentah dan bergelar pelajar.

Penutup
Remaja pelajar harus dibimbing, nasihat, didikan, pedoman sejak awal umur lagi. Ibu bapa dituntut memberi kasih sayang, belaian, manjaan, tempat meluahkan perasaan dan masalah kepada setiap anak. Persekitaran remaja pelajar terutamanya di luar rumah sangat berpengaruh membentuk keperibadian mereka ke arah yang negatif dan membentuk kecelaruan dalam hidup mereka. Ibu bapa harus menjadi pendengar yang baik dan prihatin dengan masalah anak-anak.

No comments: