14 April, 2010

Sekadar Pandangan Dan Cadangan: Pemimpin Sekolah Sebagai Role Model Dalam Bidang ICT Di Sekolah


Pengenalan

Tidak dinafikan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dapat membantu  pemimpin sekolah dalam membuat keputusan, menyesuaikan diri dengan perubahan dan selanjutnya dapat meningkatkan komunikasi dalam organisasinya.   Pemimpin sekolah  tidak dapat mengelak daripada membuat keputusan pada setiap hari. Ia merupakan elemen penting dalam mentadbir dan mengurus sekolah. Laudon dan Laudon  ( 1997 )  menyatakan  sistem maklumat dan komunikasi adalah komponen-komponen  bersepadu yang mengumpul dan menyimpan maklumat  bagi membantu organisasi membuat keputusan, merancang, mengawal dan menganalisis. Justeru bagi membolehkan pemimpin sekolah  memimpin penggunaan ICT untuk pengurusan dan pengajaran di sekolah, beberapa perkara perlulah diambilkira.


Peranan Pemimpin Sekolah Dalam ICT

Peranan pemimpin sekolah adalah amat penting dalam membudayakan ICT di sekolah. Selain memberi sokongan dalam bentuk kewangan, pemimpin sekolah  juga menjadi model sebagai pengguna ICT dalam pentadbiran dan memberi respons kepada perubahan. Bagi tujuan ini, pemimpin sekolah harus merangka dan menyediakan satu dokumen polisi bertulis. Polisi ini perlu untuk membantu merekabentuk dan mengurus program ICT agar guru dan pelajar menguasai ICT secara teratur dan progresif. Polisi ini perlu disemak walaupun setahun sekali untuk melihat perkembangan kemajuan dan kepakaran guru dalam menguasai ICT. Kerangka polisi ICT dibina berdasarkan kepada matlamat dan perancangan sekolah, pandangan daripada ibu bapa dan komuniti,  polisi daripada Kementerian Pelajaran khususnya tentang pengajaran dan pembelajaran yang efektif dan perkembangan teknologi.

Pemimpin sekolah juga harus dapat memastikan prasarana yang lengkap dikendalikan dan digunakan secara optimum oleh guru semasa P&P dijalankan. Penggunaan makmal komputer hendaklah mengikut jadual waktu yang ditetapkan agar kekecohan dan kecelaruan tidak timbul di kalangan guru-guru. Peranan penyelaras ICT juga mesti dipantau supaya budaya menyelenggara alat-alat perkakasan sentiasa dilakukan selepas makmal komputer digunakan. Penyelaras ICT harus peka dan  jelas dengan arahan-arahan Kementerian Pendidikan tetapi dalam melaksanakannya di peringkat sekolah dengan berkesan.

Pemberian komputer daripada pihak swasta atau atas inisiatif PIBG hendaklah digunapakai di bilik-bilik darjah. Makmal komputer telah disediabekalkan dengan peralatan komputer. Kewujudan computer di dalam bilik darjah  akan menambahkan lagi penggunaan ICT oleh guru semasa proses P&P malah meningkatkan lagi minat murid untuk menguasai bidang ICT.

Selain itu, perkembangan dan pembangunan staf dalam penggunaan ICT tidak harus diabaikan pemimpin sekolah. Pembangunan staf yang melibatkan ICT dan inovasi adalah berdasarkan kepada dua bidang iaitu penguasaan ICT dan perkembangan aktiviti pembelajaran mengikut keperluan murid. Guru-guru perlu dirancang dan bersedia untuk mengikuti mana-mana program atau kursus yang berkaitan dengan ICT. Lantas, pemimpin sekolah hendaklah sentiasa mengenal pasti tahap penguasaan guru dalam bidang kemahiran ICT.  Program perkembangan staf amat penting untuk memastikan guru-guru menguasai ilmu dan peralatan ICT seterusnya membantu pelajar-pelajar menguasai ICT. Program ini harus selari dengan polisi ICT dan pelan pembangunan sekolah.

Pemimpin sekolah perlu mengetahui dan menguasai kemahiran-kemahiran ICT yang terlibat dengan aspek pengurusan organisasi kerana tahap penguasaan pemimpin sekolah sebagai pemimpin organisasi akan memberi impak yang besar kepada ahli organisasinya. Pemimpin sekolah akan mampu untuk memperkatakan sesuatu kemahiran itu bersesuaian atau tidak, ataupun mampu memberi pandangan yang berkaitan dengan bidang ICT yang terlibat. Keadaan ini akan menjadikan pemimpin sekolah lebih dihormati dan dilihat sebagai pakar dalam pengaplikasian ICT dalam pengurusan sekolah khususnya.

Hakikatnya  memang teknologi maklumat dan komunikasi  (ICT) dapat meningkatkan komunikasi dalam organisasi sekolah yang mendorong untuk menjadikan sekolah sebuah organisasi pembelajaran  dan mewujudkan persaingan yang sihat di kalangan warga sekolah.  


Halangan

Dalam memimpin penggunaan ICT untuk pengurusan dan pengajaran di sekolah, pemimpin sekolah mungkin akan berhadapan dengan beberapa halangan yang boleh membantutkan kemajuan penggunaan ICT di sekolah. Halangan-halangan ini dapat dilihat dalam  beberapa aspek.

Pertamanya, aspek pemimpin sekolah itu sendiri. Pengetahuan dan kemahiran pemimpin sekolah tentang ICT yang masih terbatas. Kebanyakan pemimpin sekolah tidak mempunyai pengetahuan dan menguasai kemahiran tentang ICT secara mendalam, malah ada sesetengahnya fobia dengan peralatan tersebut.  Situasi ini akan menjejaskan penguasaan ICT dengan lebih berkesan. Faktor pendorong kepada masalah ini dapat dilihat dari beberapa sudut. Antaranya kemampuan pemimpin sekolah untuk mengaplikasikan ICT dalam pengurusan, aspek kemudahan infrastruktur ICT yang masih tidak sempurna dan kemampuan atau kesediaan pemimpin sekolah untuk menjadi pakar rujuk kepada guru-guru yang lain dalam bidang ICT.

Untuk menyediakan diri  mendalami pengetahuan dan kemahiran ICT dalam pengurusan adalah suatu perkara yang menggerunkan bagi pemimpin sekolah. Hal ini ditokoktambah dengan tugas-tugas rasmi pentadbiran yang lebih mendesak. Kemajuan bidang ICT yang terlalu cepat boleh menyebabkan mereka ketinggalan dalam penguasaan ICT, seterusnya menjejaskan keinginan mereka untuk menguasai ICT dengan sempurna. Situasi ini ditambah lagi dengan proses untuk menguasai kemahiran-kemahiran ICT yang memerlukan tumpuan dan pembelajaran yang sistematik.

Kemudahan infrastruktur ICT yang belum sempurna juga merupakan halangan kepada pemimpin sekolah untuk menggunakan ICT dalam pengurusan. Keadaan ini lebih menyedihkan apabila merujuk  kepada sekolah yang berada di pedalaman yang kebanyakkannya masih mundur dari segi kemudahan asas terutamanya bekalan elektrik. Masalah ini akan membantutkan pengaplikasian ICT dalam pengurusan lebih-lebih lagi  ketiadaan talian yang menghubungkan sekolah dengan pusat kawalan utama ICT. Sumber elektrik amat penting dalam memastikan keberkesanan pengaplikasian ICT dalam pengurusan sekolah kerana tanpanya aplikasi tersebut tidak dapat dijalankan.

Halangan seterusnya ialah apabila melihat kepada faktor masa yang diperlukan untuk menyediakan bahan-bahan ICT.  Masa yang lama diperlukan kerana ketelitian serta penglibatan orang-orang yang pakar menyediakan peralatan ICT.  Malah, proses pemantauan dan kemaskini data-data yang sistematik dan berterusan sangat perlu supaya data yang dibekalkan adalah relevan dengan situasi semasa. Selain itu, ia juga memerlukan kos yang tinggi iaitu untuk pembelian peralatan yang berkualiti dan kos penyelenggaraan peralatan sekiranya berlaku kerosakan.


Isu

Terdapat beberapa isu berkaitan dengan ICT sekiranya pemimpin sekolah ingin meneruskan penggunaannya untuk pengurusan dan pengajaran di sekolah. Ia perlu ditangani agar pengurusan dan pengajaran guru berjalan dengan lancar. Berikut adalah dua isu utama yang perlu diketahui dan ditangani bagi tujuan yang telah dinyatakan.

Isu yang utama ialah tahap perngetahuan dan kemahiran pemimpin sekolah yang masih terhad dan belum menyakinkan. Ini kemungkinan kerana kebanyakan pemimpin sekolah yang ada sekarang terdiri daripada golongan veteran dan berusia. Sebahagian besar kumpulan ini masih tertinggal dengan arus perkembangan teknologi  semasa yang akhirnya melahirkan rasa fobia terhadap penggunaan ICT dalam menjalankan tugas. Perkara ini difikirkan sangat penting kerana pengetua merupakan pemimpin nombor satu di sekolah. Pemimpin sekolah perlu memiliki kemahiran menguasai ICT dan kemahiran ini harus melebihi kemahiran ahli-ahli lain dalam organisasi pentadbirannya.

Isu ini dapat ditangani sekiranya pemimpin sekolah bijak menggunakan sumber yang ada di sekolah termasuk menimba ilmu dan pengetahuan daripada guru-guru yang lebih muda dan berkemahiran ICT atau guru-guru lulusan Teknologi Maklumat. Kebijaksanaan pengetua memaksimumkan penggunaan sumber yang ada ini lebih bermakna daripada membawa tenaga luar yang sememangnya tidak memahami keperluan sekolah.

Isu kedua yang perlu ditangani pemimpin sekolah adalah aspek penerimaan guru-guru terhadap pengaplikasian ICT dalam pengurusannya. Persoalannya adakah guru-guru bersedia dengan inovasi yang dibawa oleh pemimpin sekolah itu ? Guru-guru juga perlu bersedia menerimanya secara positif dan jelaskan manfaat yang akan diterima berbanding dengan situasi sebelumnya. Ini akan membantu kelicinan perjalanan organisasi sekolah dalm pergurusan dan pengajaran di dalam kelas. Justeru, penglibatan secara aktif sangat perlu kerana kesannya adalah positif untuk semua warga sekolah. Guru-guru digalakkan untuk menerima ICT sebagai satu inovasi dalam pengurusan dan diharapkan dapat mengaplikasikan ICT dalam pengajarannya bagi memastikan pelajar dapat menerima kehadiran ICT dalam pembelajarannya serta dapat meningkatkan pemahaman mereka terhadap apa yang dipelajari.

Kesimpulannya, pemimpin sekolah perlu menjadi role model dalam mengaplikasikan penggunaan ICT di sekolah agar dapat meningkatkan kecekapan pengurusan dan pengajaran di sekolah. Seharusnya seorang pemimpin sekolah tidak boleh menggunakan alasan `tidak tahu’ atau `tidak minat’ untuk tidak memanfaatkan ICT dalam pentadbirannya. Pemimpin sekolah boleh mendapatkan ilmu berkaitan ICT daripada kursus-kursus yang disediakan oleh Institut Aminuddin Baki (IAB), Jabatan Pelajaran Negeri dan daripada agensi-agensi tertentu yang menganjurkan kursus-kursus ICT sama berbayar atau tajaan oleh Jabatan Pelajaran Negeri. Ternyata banyak ruang dan peluang untuk pemimpin sekolah meningkatkan kemahiran mereka dalam ICT bagi membolehkan mereka melaksanakannya di sekolah mereka.


Penutup

Kemajuan dan perkembangan ICT secara langsung telah mengubah cara atau budaya kerja. Bidang pendidikan khususnya pengajaran dan pembelajaran tidak terkecuali dari tuntutan ini. Justeru, beberapa cabaran terpaksa dan mesti ditempuhi dan ditangani oleh pemimpin sekolah. Perubahan di peringkat pengurusan terutamanya sangat perlu kerana pemimpin sekolah adalah role model kepada seluruh warga sekolah dalam meneruskan anjakan paradigm pendidikan khususnya dalam bidang ICT.


No comments: