12 April, 2010

Membangunkan Sahsiah Pelajar Melalui Falsafah Pendidikan Negara


Pengenalan
Falsafah Pendidikan Negara (FPN) merupakan tunjang utama  kejayaan pendidikan negara. Ia adalah garis panduan untuk menjana kecemerlangan pendidikan negara agar ia sesuai dengan situasi semasa dan aspirasi negara. Ia direncanakan berdasarkan keperluan individu, masyarakat dan rasa keabdian kepada tuhan  tanpa meminggirkan tuntutan keharmonian dan kemakmuran kaum di negara kita. Ini sangat jelas apabila FPN disuratkan sebagai berikut ;


Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan kearah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta member sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.







Keperluan Dalam Falsafah Pendidikan Negara
Jelas, kandungan yang tersirat dalam ayat-ayat yang tersurat Falsafah Pendidikan Negara menuntut kepada kecemerlangan individu pelajar yang seimbang dalam intelek, rohani, emosi dan jasmani yang didasari dengan nilai-nilai keagamaan yang kukuh. Dengan kata yang lain, tuntutan dalam FPN ini adalah seimbang bagi dua elemen manusia yang berjaya iaitu Kecerdasan Intelektual (IQ) dan Kecerdasan Emosi (EQ). Sekiranya kedua-dua elemen itu berjaya diterapkan dalam sistem pendidikan di negara kita, matlamat untuk mencapai kesejahteraan diri yang menyumbang kepada keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan Negara akan tercapai.
Persoalannya, adakah kedua-dua elemen iaitu IQ dan EQ berjaya diterapkan dalam sistem pendidikan negara kita ?

Senario Pembangunan Sahsiah Pelajar
Kualiti pendidikan di negara kita bolehlah dikatakan sedang menuju ke era kecemerlangan khususnya dirantau Asean. Perkembangan sains dan teknologi yang diajar di sekolah-sekolah dan institusi pendidikan telah menjadi teladan dan ikutan negara-negara lain malah mereka juga telah menghantar beberapa delegasi ke negara ini untuk melihat seterusnya meminjam dan membawa ilmu itu ke negara mereka. Institusi pendidikan tinggi pula turut menjadi tumpuan untuk penyelidikan sains dan teknologi khususnya bagi negara-negara membangun. Dalam hal ini, FPN telah berjaya mengetengahkan perkembangan intelektual pelajar seperti yang terkanndung dalam FPN. Namun apa halnya dengan rohani, emosi dan jasmani ?
Asmawati Desa (2009) menyatakan sistem pendidikan di Malaysia hari ini lebih mementingkan aspek pemikiran pelajar bagi tujuan melahirkan insan yang berilmu. Dengan itu, masyarakat hari ini menyanjung individu-individu yang mempunyai tahap kecerdasan tinggi sebaliknya memandang rendah kepada mereka yang lemah kecerdasan serta pencapaian akademiknya. Tidakkah kita tertanya-tanya mengapa mereka yang berilmu pengetahuan tinggi mampu menjejakkan kaki ke menara gading dan berjawatan tinggi itu sanggup membuat bermacam-macam perkara yang tidak senonoh serta salah laku di sisi undang-undang dan agama yang berprestij tinggi ? Di mana silapnya ?
Kenyataan ini seolah-olah menggambarkan ada kepincangan dalam sistem pendidikan negara kita khususnya kemajuan dalam FPN.
Menurut Asmawati Desa (2009) lagi, setiap individu mampu menjadi insan yang baik dari segi tingkahlaku, walaupun ada kemungkinan tidak berapa ‘baik’ amalan keagamaannya. Malah, orang yang bukan Islam sekalipun akan menunjukkan sifat-sifat yang elok dan berbudi bahasa jika mereka memperoleh kesejahteraan psikologi. Justeru, pendidikan yang ada pada hari ini perlu mampu mengubah tingkahlaku individu pelajar daripada yang kurang baik kepada ‘baik’ dan daripada baik kepada yang ‘lebih baik’.
Dalam kebanggaan kita menyebut kecemerlangan pendidikan di negara ini, realitinya masih kedapatan peratusan yang tinggi individu pelajar tidak dapat berhujah secara kritis dan meyakinkan tentang sesuatu perkara. Malah, ada juga yang masih tidak dapat berdikari dan memerlukan bantuan idea daripada guru untuk melakukan sesuatu perkara. Selain itu, pembudayaan ilmu sangat kurang dipratikkan khususnya amalan membaca yang masih rendah di negara ini. Situasi ini jelas menggambarkan bahawa penghayatan kepada kehendak dalam FPN masih malap.

Membangunkan Sahsiah Pelajar Melalui FPN
Bagi meningkatkan penghayatan kita terhadap kehendak dalam FPN, perkara-perkara berikut dicadangkan agar elemen-elemen emosi, rohani dan jasmani tidak dipinggir atau sekadar sebagai pelengkap dalam FPN.
1.    Pelaksanaan Dasar.
Dasar-dasar yang cuba dilaksanakan adalah merujuk kepada kandungan FPN. Pihak yang berwajib perlu merujuk FPN dalam merangka pelan atau dasar pembangunan pendidikan negara. Ketepikan desakan emosi atau keperluan pihak-pihak yang tertentu. Masa depan negara bergantung kepada dasar pendidikan yang kita rangka pada hari ini. Kepentingan bersama antara kaum di negara ini harus menjadi tunjang utama membentuk apa-apa dasar yang hendak dilaksanakan.

2.    Keintelektualan Guru.
Guru perlu menghayati kandungan dalam FPN untuk disesuaikan dalam pengajaran dan pembelajaran termasuk semua aktiviti ko kurikulum sama ada di dalam atau di luar kawasan sekolah. Guru yang mengajar secara membuta tuli dan tidak mengikut sukatan pelajaran adalah satu usaha yang sia-sia sahaja. Dalam menterjemahkan ilmu pengetahuan kepada pelajar, kecerdasan emosi tidak harus dipinggirkan. Selitkan budaya menghargai, berdikari, ramah dan mudah mesra, kebolehan menyelesaikan masalah pergaulan, menghormati orang lain dan seumpamanya dalam pengajaran pembelajaran. Ini akan melahirkan pelajar yang lengkap dengan kesempurnaan emosi, jasmani dan rohani termasuk intelektual seperti yang digarap dalam FPN.

3.    Penggredan Sekolah.
Amalan penggredan kecemerlangan sekolah yang berdasarkan kecemerlangan akademik semata-mata harus diubah supaya seimbang dengan pencapaian sahsiah dan moral pelajar. Secara tidak langsung ini akan meningkatkan daya motivasi, inovasi, ko kurikulum, nilai kerohanian  dan semangat nasionalisme di kalangan pelajar. Jelas, ini akan mendukung tuntutan perkembangan jasmani, emosi, rohani dan intelek dalam FPN. Kecemerlangan sekolah tidak harus berkiblatkan pencapaian akademik semata-mata.

4.    Silaturahim.
Pihak kementerian, jabatan dan pengurusan sekolah harus dapat merangka kerjasama dan hubungan silaturahim di kalangan pelajar melalui program-program pemupukan jati diri, motivasi, semangat nasionalime dan sebagainya. Hal ini tidak harus di pandang ringan oleh pihak-pihak yang berkaitan terutamanya golongan ibu bapa yang sangat mengharap sepenuhnya anak-anak mereka berjaya dalam bidang pelajaran. Kesempurnaan hidup masa depan pelajar atau anak-anak mereka tidak hanya bergantung kepada pencapaian akademik yang cemerlang sahaja tetapi harus diiringi dengan kecemerlangan sahsiah.

5.    Pendidikan Aliran Vokasional dan Pertukangan.
Pihak yang berkenaan harus juga melihat kepentingan pendidikan aliran vokasional, pertukangan dan pertanian. Aliran ini tidak dinafikan banyak membantu dalam melahirkan pelajar yang rajin berusaha, berinovasi, kreatif dan bermoral sesuai dengan aspirasi dalam FPN.

6.    Budaya Bermasyarakat.
Pihak yang berkenaan juga harus mengutamakan budaya mengambil berat tentang masalah rakan sebaya, jiran dan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama individu. Ketengah budaya Satu Malaysia. Hindarkan budaya atau perumpamaan ‘jangan menjaga tepi kain orang’ tetapi semaikan amalan ‘masalahmu masalahku juga’ di kalangan pelajar sekolah.

Penutup
Bagi melahirkan pelajar yang bersahsiah tinggi dan berkualiti, aspek psikologi, toleransi, rohani dan budi, nasionalisme dan bakat jangan dipinggirkan. Jika sistem pendidikan hari ini gagal untuk membekalkannya kepada kita, maka kita harus mendapatkannya melalui cara yang lain seperti kreativiti, berinovasi, mengikuti kursus, membaca, mendengar ceramah, banyak berbincang dan bertanya kepada orang yang lebih berpengalaman.

(Tulisan di atas adalah berdasarkan pemerhatian saya, tiada kaitan sama sekali dengan emosi atau pihak-pihak yang tertentu)

No comments: