11 April, 2010

Stress


Pengenalan
Masalah ? Bimbang ? Runsing ? Tension ? Dalam kehidupan kita, apa-apa pekerjaan yang dilakukan atau dalam situasi pembelajaran tidak sah sekiranya tidak diselubungi oleh permasalahan. Setiap permasalahan pula akan menerbitkan kerisauan atau kebimbangan. Kalaupun tidak secara maksima, secubit masalah akan membawa kepada rasa kebimbangan dalam diri seseorang. Justeru, seseorang itu (selalunya pelajar) akan mengadu bahawa dia mengalami tekanan, stress, tegang, atau tension. Situasi ini merupakan satu gejala. Pelajar harus bijak menanganinya untuk mengelak daripada terjerumus kepada situasi yang lebih membebankan dan menyediakan pelajar kepada kondisi yang negatif.
Peningkatan gejala stress di kalangan pelajar selalunya dikaitkan dengan tugasan dan musim peperiksaan. Satu bebanan akan menyusul. Ia memerlukan kebijaksanaan untuk menghadapi dan menyelesaikannya. Kekadang ia akan mendorong seseorang itu untuk meluahkan rasa tiada minat, tiada mood untuk belajar atau ulangkaji. Malah bagi individu bukan pelajar pula, masalah stress dikaitkan dengan masalah kehidupan yang lebih rencam seperti kewangan, pengurusan diri atau pengurusan rumahtangga.
Stress merupakan ujian daripada Allah swt. Ini dijelaskan melalui firmanya dalam Surah Al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud Allah menguji seseorang itu dengan perasaan takut, kerlaparan, kekurangan harta, nyawa dan hasil-mahsul yang tidak menjadi dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang bersabar.
Allah swt juga telah berfirman dalam Surah Al-Mulk ayat ke 2 yang bermaksud Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidupnya (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu : Siapakah diantara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dialah yang maha kuasa lagi maha pengampun.

Menurut sebuah hadis Riadus Solihin kesedihan atau malapetaka yang menimpa seseorang muslim merupakan kafarah kepada dosa yang dilakukan.


Definisi
Menurut Suria Baba (2010) stress merupakan tindakbalas dari minda dan fizikal terhadap perubahan-perubahan yang berlaku di persekitaran individu. Ia juga merujuk kepada satu keadaan gangguan emosi, pemikiran dan fizikal seseorang. Dalam kehidupan manusia, stress dikatakan sebagai satu fakta kehidupan harian yang tidak boleh dihindarkan.
Ahmad Embran (2006) menyebut stress melibatkan penggunaan semua sistem yang ada dalam badan melampaui keupayaan. Individu berkenaan mendapati sukar menyesuaikan diri dengan keadaan dan memerlukan usaha yang lebih untuk mencapai keseimbangan dalam dirinya dan dengan alam sekitar.
Manakala Selye (1976) mengatakan stress sebagai desakan atau tekanan yang dihadapi oleh individu berikutan peristiwa yang berlaku padanya.
Rumusnya, stress dapatlah disimpulkan sebagai tekanan atau beban dalam lingkaran kehidupan fizikal dan mental seseorang.

Jenis-Jenis Stress
Suria Baba (2010) mengatakan stress terbahagi kepada tiga jenis iaitu stress fizikal yang diakibatkan oleh kuasa luaran seperti membawa barang berat, panas dan sebagainya; stress biologikal iaitu dahaga, lapar, perubahan fisiologikal akibat kecederaan atau penyakit; dan stress psikologikal iaitu tindakbalas terhadap ancaman, harga diri, banyak hutang dan sebagainya.

Manakala Salim Md. Amin (2009) telah membahagikan stress kepada beberapa jenis iaitu fisiologi, psikologi, tersembunyi, krisis kehidupan, perubahan hidup dan dari sudut kesihatan.
Quick & Quick (1984) mengkategorikan stress kepada dua elemen iaitu eustress yakni hasil dari respon terhadap stress yang bersifat sihat, positif dan konstruktif. Keduanya distress iaitu hasil daripada respon terhadap stress yang bersifat tidak sihat dan destruktif.

Punca Stress
Dalam membicarakan stress, tidak lengkap sekiranya sebab musabab stress tidak dibincangkan.  Beberapa pendapat terkini telah diambilkira untuk mengetahui punca-punca stress ini wujud dalam diri seseorang.
Suria Baba (2010) menyatakan stress berpunca dari empat perkara iaitu dalam diri sendiri iaitu harapan, keperibadian, pengalaman yang traumatik semasa kecil dan lain-lain pengalaman ; tekanan rumahtangga iaitu perkahwinan, keibubapaan dan sebagainya;  tekanan sosial iaitu masalah perhubungan, tekanan dari kehidupan Bandar atau kampung ; dan tekanan pekerjaan iaitu merujuk kepada jenis pekerjaan, resiko atau tanggungjawab pekerjaankeadaan fizikal pekerjaan, organisasi, peranan atau tugas, perkembangan kerjaya dan komunikasi yang tidak berkesan.
Manakala Salim Md. Amin (2009) menyenaraikan punca-punca stress adalah psikososial, biologikal dan personaliti. Aspek psikososial melibatkan penyesuaian, kekecewaan, bebanan dan pengurangan. Aspek biologikal berkaitan dengan pemakanan, kebisingan dan perulangan aktiviti kehidupan. Aspek personaliti pula melibatkan kendiri, tingkahlaku, kebimbangan dan kawalan. Bagi golongan remaja pula, stress adalah disebabkan oleh marahan ibu bapa, perasaan rendah diri, dipulaukan kawan-kawan, tidak memahami pelajaran, tidak dihargai, benci kepada guru dan tiada wang.
Menurut Islam pula stress itu bukan punca dari tekanan mental semata-mata tetapi lebih berakar umbi dari kecelaruan dan kelemahan hati, ruh, nafsu dan akal. Allah swt telah berfirman dalam Surah Toha ayat 124 yang bermaksud sesiapa yang berpaling dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan himpunkan dia di hari qiamat dalam keadaan buta.

Kesan Stress
Apabila stress telah memenuhi ruang hidup seseorang individu terutamanya pelajar, ini merupakan satu bebanan yang boleh menjuruskan dia melakukan perkara-perkara yang negatif dan bertentangan dengan norma-norma sosial.
Suria Baba (2010) telah menyenaraikan lapan situasi akan menyelubungi pelajar yang berkeadaan stress. Antaranya pelajar tersebut akan berada dalam keadaan keresahan yang tinggi, bermasalah untuk tidur, marah dan bersikap agresif, terlibat dalam penyalahgunaan bahan terlarang dan bertingkahlaku berisiko, berfikiran negative terhadap keluarga dan tempat kerja, mempunyai gangguan mental yang berat, dan berkeadaan murung.
Manakala Salim Md.Amin (2009) menyebut enam kesan daripada berkeadaan stress dalam diri pelajar. Enam elemen tersebut ialah berperasaan takut dan gusar, gementar dan berkesedihan, hilang semangat dan sentiasa bermimpi ngeri, kurang daya tumpuan dan susah membuat keputusan, pelupa dan mungkin sakit otak, dan sentiasa bersituasi tegang dan sakit hati.

Cara Membantu Pelajar Menangani Stress
Umum mengetahui remaja pelajar adalah harapan memimpin negara pada yang akan datang. Mereka perlu dibimbing, diasuh, dididik agar memiliki personaliti yang sempurna , meyakinkan dan mampu menghadapi rintangan hidup sebelum keluar dari alam persekolahan. Apabila mereka berada dalam keadaan stress, sedikit sebanyak prestasi mereka akan terjejas sekiranya stress itu menjurus kepada perkara-perkara yang negatif.
Dalam membantu pelajar menangani stress, eloklah dirujuk kepada ruang lingkup keagamaan. Umpamanya dalam Islam, pelajar harus didekatkan dengan membaca, memahami, mendalami dan menghayati Al-Quran untuk memberi ketenangan hati nurani, ruh dan jasmaniah. Tingkatkan atau perbanyakkan aktiviti keinsafan diri sebagai hamba yang kerdil ciptaan Allah dengan berqiamullail, banyak beristighfar dan berzikir. Allah telah berfirman dalam Surah Ar-Ra’d ayat 28 yang bermaksud (iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.
Pelajar juga harus dididik dengan rasa syukur dan berterima kasih sepanjang masa kepada Allah yang maha pencipta. Elakkan daripada mengharapkan balasan atau ucapan terima kasih daripada orang lain sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Insan ayat 3 yang bermaksud sesungguhnya kami member makan kepada kamu kerana Allah semata-mata kami tidak mengharapkan sebarang balasan atau ucapan terima kasih.
Salim Md.Amin (2009) mencadangkan 6 perkara untuk mengatasi stress dikalangan pelajar. Antaranya nasihatkan pelajar sentiasa tabah, didik pelajar tentang pengurusan masa yang baik, pandai menyesuaikan diri dalam apa sahaja keadaan, rajin bersolat, rajin belajar dan banyakkan aktiviti untuk memenuhi masa-masa yang terluang.

Penutup
Suria Baba (2010) menyatakan stress atau tekanan merupakan fitrah hidup manusia. Setiap tekanan yang datang adalah ujian dari Allah bagi meningkatkan darjat dan martabat seseorang di sisi Allah. Dalam hal ini Islam telah menetapkan setiap manusia akan diuji bagi memilih calon terbaik bagi mendiami syurga Allah yang menjadi idaman semua orang.
Setiap permasalahan ada jalan penyelesaiannya. Hanya bergantung kepada kebijaksaan manusia itu sendiri untuk memilih jalan terbaik bagi dirinya sama ada melalui bantuan orang lain atau atas usahanya sendiri. Seseorang yang mudah berputus asa secara tidak langsungnya mendekatkan dirinya dengan syaitan yang membawa kepada kegagalan.
Jika anda menghadapi masalah berhubung dengan manusia, cuba nilai semula hubungan anda dengan Allah swt sebagai pencipta yang Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihani setiap hambaNya. Renung-renungkan….fikir-fikirkan.
Saya sekadar ingin berkongsi pengetahuan hasil kuliah  dengan munsyi  yang sangat banyak menyedarkan dan menginsafkan saya sebagai hambaNya.



No comments: